“Basahkan Lidah Dengan Perkataan Alhamdulillah…” Ibu Ini Kongsi Tip Didik Anak Cintakan Allah Sejak Kecil

Share

Sebenarnya cukup penting mak ayah didik anak kenal Allah kepada si kecil walaupun mereka tidak faham lagi. Percayalah dengan mengamalkan didikan mengikut ajaran Islam, lama-kelamaan si kecil akan meletakkan Allah di tempat tertinggi dalam hati mereka.

Jadi sekarang cuba semak, betul ke cara kita didik anak untuk kenal dan sayang Allah? Dan macam mana sebenarnya cara yang betul untuk mengenalkan Allah kepada anak-anak kecil yang masih belum faham apa-apa?

Haaa… nak tahu lebih jelas macam mana cara nak didik anak cintakan Allah sejak kecil, jemput baca perkongsian daripada seorang guru kaunselor, Puan Farhan. In Shaa Allah, moga mak ayah dapat semai sikap baik-baik dalam diri anak tersayang dari peringkat awal.

Mengajar Anak Cinta Kepada Allah

1.Sentiasa menceritakan baiknya Allah

Dalam membesarkan anak anak,banyakkan menyebut betapa baiknya Allah. Ada orang suka menggambarkan kepada anak anak hukuman yang Allah sediakan saat anak melakukan kesalahan

“Kamu gaduh dengan adik nanti Allah masukkan dalam neraka”
“Kamu tak dengar cakap ibu nanti Allah tak sayang kamu”

Kita banyak menggambarkan azab-azab Allah seolah-olah Allah ini nampa menakutkan. Sedangkan untuk anak anak yang masih kecil , kita harus sentiasa menunjukkan bahawa Allah itu maha baik.

Apabila anak kita melakukan kesalahan seperti bergaduh dengan adik beradik, beritahu mereka bahawa Allah sayang orang yang berbaik dengan adik beradiknya.

Bila anak sukar mendegar kata kita, beritahu anak, orang yang mendengar kata ibunya Allah masukkan ke dalam syurga.

Gambarkan keindahan syurga dan buat anak teruja untuk masuk ke dalam syurga berbanding menakutkan anak dengan neraka.

2.Didik anak untuk sentiasa ingat nikmat Allah.

Sentiasa basahkan lidah anak anak dengan perkataan Alhmdulillah.

Apabila anda membelikan hadiah untuk anak anak, ajar anak untuk ucapkan alhmdulillah dan bukan sahaja berterima kasih kepada anda.

Tetapi ajar mereka berterima kasih kepada Allah, atas nikmat rezeki yang Allah beri. Ingatkan mereka bahawa segala hadiah itu datangnya dari rezeki yang Allah beri.

Ingatkan juga anak anak bahawa seluruh anggota tubuh mereka adalah milik Allah.

Selalu ajar anak anak bahawa mata, tangan hidung dan seluruh anggota tubuh mereka itu hak Allah yang wajib dijaga dengan baik.

3.Didik anak sentiasa ingat Allah terutamanya susah.

Pada kebiasaanya, apabila anak demam atau sakit mereka akan merengek dan menangis. Saat ini adalah saat yang sesuai untuk ingat Allah.

Apabila mereka merengek sakit, ajarkan mereka untuk memohon kekuatan dan kesembuhan dari Allah.

4.Menunjukkan kebesaran Allah

Apabila ada keluar berjalan jalan, jangan sia siakan saat itu.
Gunakan ia untuk mengajar anak tentang ciptaan Allah yang berada di sekeliling.
Angin yang bertiup, burung burung yang terbang serta awan yang cantik.

Biarkan mereka belajar dari sekecil kecil ciptaan Allah sampai sebesar besar ciptaan Allah yang pastinya akan menbuatkan membuatkan mereka kagum dan bertambah cinta kepada Allah.

5. Elakkan menakutkan dengan makhluk lain

Elakkan mengikut trend orang sekarang yang suka menakutkan anak anak dengan hantu, zombi dan sebaginya.

Ingat satu perkara bahawa anak kita itu jiwanya masih suci. Apabila kita menakutkan dengan makhluk lain, maka jiwanya sudah terisi dengan makhluk lain.

Pada mereka makhluk seperti hantu, jembalang itu adalah yang paling menakutkan sehingga kita sukar untuk mengajar tentang kekuasaan Allah.
Sepatutnya, benda pertama yang perlu kita ajar adalah Allah yang maha kuasa dan tiada makhluk lain yang melebihi kuasanya.

6.Membawa anak ke tempat ilmu

Sentiasa bawa anak ke masjid dan kuliah agar anak terbiasa mendengar perkara yang baik dan sentiasa dekat dengan Allah.

7.Berdoa di depan anak anak

Apabila berdoa, berdoalah di hadapan anak anak dengan suara yang boleh didengari oleh anak. Pastikan anak anak tahu yang kita sentiasa meminta dan berdoa kepada Allah agar mereka juga boleh mencontohi perbuatan kita.

8.Wujudkan rutin solat dan mengaji bersama

Apabila kita melakukan ibadah, jangan melakukan ibadah sendirian, tetapi ajak anak bersama sama untuk beribadah agar mereka sedar tentang kewajipan yang mereka harus laksanakan.

Kongsi ibu ini lagi, pastikan anak-anak faham kenapa mereka harus solat dan mengaji. Kalau boleh sebelum anak-anak melaksanakan perkara tersebut, biarkan mereka faham makna disebalik semua itu agar mereka tidak merasa terpaksa melakuannya kerana ibu dan ayah sahaja.

Published by
Nadia