Pagi ini Malaysia menangis lagi. Tragedi lemas 6 penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ketika operasi mencari dan menyelamatkan seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana ini yang pertama dalam sejarah menyelamat di negara ini.
Merekalah wira sebenar kita. Bergadai nyawa demi mencari mangsa lemas dalam arus air yang begitu deras di kegelapan malam. Keenam-enam anggota penyelamat ini dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang serta Shah Alam.
Kira-kira 9.15 malam, 6 wira ini bersama pasukannya yang lain sampai ke tempat kejadian. Dimaklumkan, sekitar jam 5 petang, seorang remaja berusia 17 tahun tergelincir lalu jatuh ke dalam lombong ketika memancing.
Dan keenam wira ini memulakan operasi, turun ke dalam lombong mahu mencari remaja lelaki berkenaan. Baru lima minit di dalam air, tiba-tiba pusaran arus menjadi deras.
Hujan lebat menyebabkan arus menjadi kuat dan membentuk pusaran deras.
Membuatkan tali yang dipasang pada setiap anggota badan keenam-enam wira ini terbelit. Dan dipercayai ketika itulah peralatan menyelam yang dipakai tertanggal.
Melihat rakan yang sedang bergelut di dasar air, rakan-rakan pasukan di tebing berusaha menarik tali yang mengikat kesemua wira ini.
Namun, malam itu arus seakan tak mahu memberi kerjasama.
Ia tetap mengalir laju, deras menggila. Dekat 30 minit, rakan-rakan penyelamat bertungkus lumus mahu menarik rakan-rakan naik ke tebing.
Dan akhirnya, seorang wira ini berjaya dinaikkan, diikuti rakan-rakan yang lain.
Sebaik sampai ke permukaan, kesemua wira penyelamat ini tak lagi sedarkan diri. Paramedik yang berada di lokasi segera memberikan rawatan kecemasan, bantuan pernafasan (CPR).
30 minit anggota paramedik ini bergelut berusaha menyelamatkan nyawa keenam wira ini. Namun, Allah lebih menyayangi mereka.
Masing-masing tiada respons. Mereka disahkan meninggal dunia.
Kejadian yang berlaku ini, disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali. Enam mangsa ini kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Enam wira yang terkorban ketika bertugas ini adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Remaja yang lemas dekat lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan La Cottage, Selangor masih belum ditemui. Operasi mencari dilanjutkan pada jam 8 pagi ini bersama bomba dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.
Sumber/Foto : Berita Harian