Beratnya rasa hati bila baru mengetahui suami yang disayangi merupakan penagih dadah. Lebih sayu, bila ditangkap dan digari dihadapan anak-anak.
Wanita baru habis pantang terkejut apabila suaminya ditahan polis kerana terbabit dengan dadah di Langkawi, semalam. Wanita berusia 28 tahun itu menangis kerana ketika serbuan 12 tengah hari itu, dia bersama suami dan tiga anaknya berusia tiga bulan hingga enam
tahun bersiap untuk ke klinik.
Merayu Suami Dibebaskan
Dia merayu supaya suaminya dibebaskan kerana bimbang terpaksa menjaga anak-anaknya seorang diri disebabkan tidak bekerja selain tidak mampu membayar sewa rumah serta membeli susu anak.
Lebih meruntun hati apabila dua daripada anaknya berusia lima dan enam tahun turut terkejut melihat bapa mereka ditahan polis dengan tangan bergari. Namun, bapa tiga anak itu diberi peluang mencium anak-anak dan isterinya sebelum dibawa ke balai.
Beri Tenaga, Hilang Rasa Mengantuk
Lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan terpaksa mengambil dadah jenis syabu sejak Mac lalu untuk memberi tenaga ketika menangkap ikan di laut selain menghilangkan rasa mengantuk.
Katanya, dia pada mulanya mahu mencuba selepas rakannya yang juga nelayan menyuruh dia cuba sebelum ketagih.
“Saya guna duit hasil menangkap ikan untuk beli dadah daripada ejen yang masuk ke kawasan ini atau beli melalui rakan ketika di laut.
“Saya keluar menangkap ikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas hilang pekerjaan dan bekerja sebagai tukang baiki tangki air di kawasan Langkawi sebelum ini dan sejak itulah saya cuba mengambil dadah untuk hilang tekanan disebabkan tak ada duit,” katanya di Langkawi, semalam.
Dibawa Ke IPD Langkawi
Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut. Dalam serbuan itu, beberapa penagih dadah yang sedang berurusan dengan ejen bertempiaran lari sebaik menyedari kawasan itu diserbu polis namun sebahagiannya berjaya ditangkap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan itu dilakuka berdasarkan maklumat yang diterima anggotanya berhubung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan itu.
Beliau berkata, serbuan besar-besaran dilakukan di pulau Langkawi ini adalah untuk membanteras kegiatan dadah yang semakin membimbangkan.
“Hasil maklumat yang kita perolehi mendapati, penagih di pulau ini mendapatkan bekalan secara kecil-kecilan daripada pengedar untuk kegunaan sendiri bagi tujuan melepaskan gian.
“Bagaimanapun, melalui operasi Op Sarang yang kita jalankan ini, anggota kami berjaya menangkap ramai penagih termasuk pengedar dadah sepanjang hari dalam ops berkenaan,” katanya.
MW: Semoga wanita ini diberi kekuatan dalam menempuhi ujian yang ditakdirkan ini. Pesanan buat para suami, selaku ketua keluarga yang menanggung anak isteri atas apa juga alasan, jangan sesekali dekati dadah.Sekali terjebak payah untuk berundur. Fikirkan masa depan diri sendiri, anak isteri dan keluarga tersayang.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Tunggal Jadi Ketua Keluarga, Suami Meninggal Saat Dia Hamil Anak Ke 6
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada siapa yang menduga dalam usia 35 tahun, dialah ketua keluarga yang perlu menyara anak-anak selepas kematian suami yang dicintai.
Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tapi kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan hidup bersama 6 orang anak yang disayanginya. Dialah tempat untuk anak-anak bergantung harapan.
Sebagai ketua keluarga, ibu tunggal langsung tidak menyalahkan ketentuan takdir. Apa yang berlaku ini akan dipikul tanpa sebarang keluhan mahu pun penyesalan.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Selepas Setahun Lalui Kesedihan & Kepahitan Hidup, Akhirnya Ibu Tunggal Ini Bangkit
Ibu Tunggal Ini Seolah Sudah Lali, Anaklah Penghibur, Penawar, Kawan Karib Dunia Akhirat
Info Lebih Menarik DI SINI
Jadi Ketua Keluarga Selepas Kematian Suami
Dalam temubual eksklusif, Salasiah Matudi, 35 tahun memberitahu, beliau kehilangan pasangan hidup yang dicintainya pada 9 April tahun lalu akibat kegagalan fungsi jantung.
Pemergian arwah Kamaruddin Ahmad sangat meragut jiwa dan mindanya kerana arwah menghadap ILAHI pada usia masih muda iaitu 32 tahun dan meninggalkan enam orang zuriat.
Lebih menyentuh perasaan, ketika itu, beliau sedang hamil empat bulan.
“Hati mana yang tidak luluh. Bohong kalau saya katakan apa yang terjadi ‘tidak sakit‘. Namun, demi anak-anak, saya sesekali tidak akan menitiskan air mata di hadapan mereka. Biarlah kedukaan ini saya pendam sendirian,“ tutur beliau.
Penceritaan Salasiah terhenti seketika tatkala mula mengisahkan detik akhir suaminya ‘hilang‘ dari pandangan mata buat selama-lamanya.
“Sebaik arwah menghela nafas terakhirnya, saya meminta pihak hospital untuk membenarkan anak-anak melihat wajah arwah buat kali terakhir agar mereka tahu ‘ke mana pergi‘ ayah mereka pergi. Keadaan pada masa itu juga agak kalut kerana Perintah Kawalan Pergerakan baru dikuat kuasakan.
“Anak-anak saya rata-ratanya masih kecil, tetapi nampaknya mereka seperti memahami bahawa seseorang yang hidup, pasti akan ‘diambil‘ ILAHI,“ katanya sambil cuba menahan linangan air mata.
Cekal Tanpa Keluhan
Mengunjungi kediamannya yang terletak di Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, membuatkan emosi penulis bergejolak. Perasaan sayu dan simpati menyentuh sanubari ini.
Masakan tidak, bukan sahaja kediamannya kelihatan usang, kedudukannya juga terletak berhampiran dengan anak sungai. Ia memungkinkan segala musibah yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa.
Namun, kata Salasiah, beliau tujuh beranak sudah buntu dan tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Sebenarnya, rumah ini adalah ihsan pemilik tanah yang membenarkan saya sekeluarga menetap di sini. Biarpun berlantaikan papan dan bahagian dapur kadangkala basah dek kerana terdapat kebocoran air, tetapi kami gembira dapat tinggal di rumah dua bilik ini.
“Memang betul, sesekali air sungai deras jika hujan lebat, tetapi syukur tidak ada tanah runtuh atau banjir berlaku setakat ini. Alhamdulillah anak-anak juga bijak dan tidak ke sungai, apatah lagi bermain-main di kawasan sekitarnya kerana kesemua mereka lebih senang bermain dan duduk di dalam rumah,“ ujarnya.
Walaupun hidup tanpa dilingkari kemewahan, Salasiah berkata, pelajaran anak-anak tidak akan diabaikan.
Seorang anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Keramat, manakala tiga yang lain ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Permata.
Pada saat kerajaan melaksanakan sistem pendidikan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), mereka hanya bergantung kepada sebuah telefon bimbit milik arwah, beritahu Salasiah.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak guru bahawa sukar anak-anak untuk belajar dengan hanya sebuah telefon bimbit. Saya bimbang jika mereka ketinggalan dalam pembelajaran, tetapi apa daya, itu saja yang kami termampu,“ katanya.
Keresahan ibu tunggal itu seolah-olah didengari apabila terdapat pihak yang prihatin memberi sumbangan telefon pintar kepadanya termasuk talian internet untuk memudahkan pembelajaran anak-anak.
Dengan kemudahan itu juga, Salasiah berkata, beliau mula berjinak-jinak melakukan perniagaan dalam talian dengan menjual tudung dan cadar demi menambah pendapatan.
“Saya harap usaha ini diredai-NYA dan taklah saya terlalu bergantung dengan ihsan semata-mata. Orang memang boleh tolong, tetapi sampai bila? Jadi, saya perlu mencari jalan lain sebagai sumber rezeki demi membesarkan anak-anak.
“Saya memang tak pandai teknologi, anak-anak yang bantu. Saya juga gembira kerana kadangkala penduduk sekitar datang membeli tudung dan cadar yang saya jual,“ katanya.
Kepada penulis, Salasiah tidak henti-henti mengungkapkan ucapan terima kasih kepada jiran dan masyarakat di Ampang Jaya.
“Saya sangat berterima kasih dengan segala bantuan yang diberikan mereka terutamanya Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati.
Keprihatinan mereka juga membolehkan saya mendapat bantuan zakat dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang secara tidak langsung meringankan beban,“ kata wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kepada anda yang prihatin untuk membantu ibu tunggal enam anak yang terus gigih menjalani kehidupan meskipun tidak henti dilanda ujian, boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank Maybank di 162200112382 atas nama Salasiah Matudi.
Kredit: Sinar Plus
Mingguan Wanita : Semoga ibu tunggal ini tabah dalam meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Baca Artikel lain DI SINI: “Saya Kesempitan Wang’, Ibu Tunggal Sanggup Larikan Motosikal Untuk Membayar Kos Perubatan Anak
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Peringatan Untuk Wanita Hamil, Tolong Berbuka Kalau Tiba-Tiba Jadi 6 Perkara Ini! Serius Bahaya!
Aduhai, lesunya mak buyung. Puasa kali ni lain macam rasanya, badan cepat letih, tendangan anak dalam kandungan pun lemah. Mahu berbuka, rasa bersalah pula.
Percaya tidak, inilah antara kemusykilan ibu-ibu hamil sepanjang bulan Ramadan. Dilema tak puasa dan rasa keberatan untuk mengganti puasa selalu memeningkan kepala.
Ya, meskipun ibu hamil mampu untuk menahan makan dan minum selama lebih kurang sembilan jam namun keadaan kandungan yang memerlukan nutrisi penuh untuk tumbesaran harus diambil kira.
Tambahan pula apabila usia kandungan sudah mencecah trimester ketiga. Justeru, sebelum memutuskan untuk berpuasa ibu hamil wajar mengetahui inti pati penting di sebalik kewajipan berpuasa.
MANFAAT PUASA UNTUK IBU HAMIL
- Menstabilkan tahap insulin
- Memperbaiki sel tubuh
- Membantu meningkatkan fungsi otak
- Menjana daya tumpuan yang tinggi
- Meningkatkan sistem keupayaan tubuh / imunisasi
- Menjauhi ketagihan makanan dan minuman
- Melancarkan sistem pencernaan
- Berat badan ideal
Pun begitu, usah rasa terbeban jika tak mampu berpuasa di bulan Ramadan kerana Islam membenarkan ibu hamil yang tidak berupaya menunaikan puasa dengan menggantikannya dalam bentuk fidyah. Perkara utama yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu adalah kondisi dan kemampuan diri sendiri.
(a) Ada baiknya ibu hamil mendapatkan kaunseling daripada doktor pakar untuk mengetahui kesihatan bayi yang dikandung sebelum berpuasa.
(b) Jika tiada sebarang masalah, ibu hamil perlu menghindari pengambilan minuman kafein seperti kopi, teh dan coklat serta minuman berkarbonat yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan ibu serta bayi.
(c) Awas, ibu hamil dilarang berpuasa jika mengalami simptom berikut yang memerlukan rawatan segera daripada doktor!
- Sakit kepala
- Terganggu dengan pergerakan bayi berlebihan
- Bayi tidak bergerak
- Ibu berada dalam keadaan letih, pengsan atau tertekan
- Kehadiran kontraksi yang keterlaluan
- Rasa dahaga yang berpanjangan yang juga petanda dehidrasi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara Tambah Simpanan Emas Dengan Ar Rahnu, Lelaki Ini Tunjuk Kiraannya
Lelaki ini, Akhtar Syamir berkongsi panduan bagaimana mencipta peluang tambah simpanan emas dengan Ar Rahnu. Bahasa mudahnya, tempat untuk mak-ayah pajakkan emas secara Islam bagi mendapatkan pinjaman wang.
Macam mana melalui pajakan ini dapat menambahkan simpanan emas, lanjutkan bacaan untuk hadamkan info seterusnya.
Kelebihan Ar-Rahnu Mak Ayah Perlu Tahu
Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman mikro diatas gadaian barang kemas. Tetapi jangan pandang perkataan pajak itu sahaja. Kerana kita boleh gunakan Ar Rahnu untuk menambah simpanan emas sedia ada.
1. Satu Tempat Selamat Untuk Simpan Emas
Sebelum saya teruskan, saya perlukan anda buang persepsi yang tidak baik terhadap pajakan atau Ar Rahnu. Tidak semua orang yang pergi Ar Rahnu ialah orang tidak mempunyai duit. Ada yang menggunakan Ar Rahnu untuk menyimpan emas dan menggandakan simpanan emas sedia ada.
Untuk simpanan emas dengan selamat, tak perlu pergi bank dan sewa peti besi, Ar Rahnu ialah tempat yang terbaik. Katakanlah anda mempunyai banyak emas atau terpaksa meninggalkan rumah dalam masa yang agak lama, simpanlah emas anda di Ar Rahnu. Sudah tentu selamat dan tidak perlu bimbang akan risiko kehilangan atau kecurian.
Ada banyak cawangan dan penyedia perkhidmatan Ar Rahnu yang menawarkan kadar yang berbeza-beza. Tetapi di dalam penulisan kali ini saya fokuskan kepada Ar Rahnu X’Change.
2. Peminjam Di Ar Rahnu X’Change Takkan Direkod CCRIS
Untuk makluman dan meleraikan kebimbangan, pajakan di Ar Rahnu X’Change TIDAK AKAN direkodkan dalam CCRIS. Hanya Ar Rahnu yang di BANK sahaja yang akan meninggalkan kesan di CCRIS. Ar Rahnu X’Change adalah seperti satu francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu dari Bank Rakyat tetapi bukan sebahagian dari Bank Rakyat. Ada yang kata, X’Change juga ada yang di bawah Bank Rakyat. Jadi, kenalah tanya dahulu jika tidak mahu ada rekod CCRIS.
Tetapi kepada orang yang tidak pernah mempunyai rekod pinjaman bank dan bercadang untuk memohon pinjaman di masa hadapan, gunakanlah Ar Rahnu yang di bawah Bank untuk mewujudkan rekod pinjaman di dalam CCRIS.
Baca sini : Simpan RM3 sehari, lepas 6 bulan suami boleh belanja isteri cincin emas.
Ar Rahnu – Ini Cara Tambah Simpanan Emas
Berbalik kepada Ar Rahnu X’Change, kadar pinjaman adalah setinggi 80% dari nilai emas yang dipajak dan tempoh masa gadaikan maksimum ialah selama 6 bulan. Namun begitu, selepas 6 bulan, anda boleh membayar upah simpan dan menyambung tempoh pajakan selama 6 bulan lagi jika mahu.
Penyambungan ini boleh diulang sehingga 2 kali. Jadi, maksimum 18 bulan barang kemas itu boleh dipajak sehingga ianya dilelong.
Kemudian kita kena ambil tahu berapakah nilai harga emas di Ar Rahnu X’Change. Pada saat dan ketika penulisan ini dibuat, harganya ialah RM 269 untuk 1 gram.
Jom kita bermain dengan matemarik supaya boleh nampak jelas berapa boleh dapat dan berapa upah yang perlu dibayar.
Katakanlah emas yang ingin kita pajakkan seberat 10 gram.
Berat Emas X Harga Emas X 80% = Amaun tunai yang kita akan dapat.
10 g X RM269 X 80% = RM2152
Kos upah simpan untuk Ar Rahnu X’change ialah 0.65% hingga 0.75% dari nilai emas yang digadaikan.
RM2690 X 0.75% = RM20.17
Jika dikalikan selama 6 bulan = RM121.02
Inilah jumlah kos upah untuk menyimpan emas di Ar Rahnu X’Change.
Jika ingin menebus kembali emas yang sudah dipajak, hanya perlu campur jumlah pinjaman tambah dengan jumlah kos upah.
RM2152 + RM121.02 = RM2273.02.
Jika ingin menyambung lagi tempoh masa gadaian, hanya perlu sediakan RM121.02 untuk penambahan lagi 6 bulan berikutnya. Ini boleh buat 2 kali.
Situasinya Begini..
Dari informasi ini, banyak situasi boleh kita kaitkan.
1. Jika anda perlukan duit segera dan anda ada 10 g emas, selepas digadaikan, anda akan dapat RM2152 tunai.
Mana lagi bagus? Gadai atau jual di kedai?
Pada waktu dan ketika penulisan ini ditulis, Kedai Emas seperti Gull Jewellery menawarkan pembelian emas setinggi RM225 1 gram.
Jadi, jika anda nak jual emas di kedai emas, anda akan dapat RM2250 berbanding RM2152 di Ar Rahnu. Tetapi perbezaannya ialah, di Ar Rahnu, anda masih memiliki itu anda dan jika jual di kedai, emas itu bukan lagi milik anda. Satu lagi perbezaan ialah di Ar Rahnu, anda ada kos upah yang perlu dibayar nanti.
2. Bagaimana pula jika kita gunakan duit yang dapat dari Ar Rahnu dan beli emas yang baru?
Dari RM2152, jika dibahagikan dengan RM267 1 gram di kedai emas, kita akan dapat membeli emas seberat 8.05 gram.
Cuba kita bandingkan pula dengan jika kita “trade in” (jual dan beli semula emas di kedai yang sama). Harga trade in di kedai seperti GULL Jewellery SHAH ALAM ialah setinggi RM228 1 gram.
RM228 X 10 g = RM2280. Dari ini, kita boleh dapat beli emas di kedai yang sama seberat RM8.53 gram.
Perbezaannya, di Ar Rahnu, emas masih lagi milik anda dan anda perlu bayar kos upah simpan manakala apabila “trade in”, emas sudah menjadi milik kedai tetapi anda akan dapat beli emas yang lebih berat.
3. Jika kita bercadang untuk menambah simpanan emas tetapi simpanan duit masih belum mencukupi dan anda ada emas yang anda sudah bosan pakai, boleh juga buat begini.
Pajakkan emas seberat 10g itu di Ar Rahnu dan kemudian beli emas yang baru. Anda akan dapat beli 8.05 gram emas yang baru seperti yang kita kira di atas.
Mungkin dalam masa 6 bulan lagi duit simpanan akan mencukupi, bolehlah tebus emas di Ar Rahnu untuk menjadikan jumlah emas yang anda ada sebanyak 18.05 gram. Jika 6 bulan tidak mencukupi, sediakan sahaja RM121.02 untuk menyambung lagi 6 bulan.
Apa yang anda akan dapat dengan cara ini? Emas telah bertambah dari 10 gram ke 18.05 gram. Anda boleh membeli harga emas pada harga sekarang, yang kebarangkaliannya lebih rendah dari masa akan datang, tanpa menunggu simpanan duit yang cukup.
Konsep mudah emas ialah beli dahulu dan tunggu, bukannya tunggu dan beli.
Cara ini juga boleh dibuat jika anda mahu rekaan terbaru tetapi sayang untuk melepaskan emas sedia ada dengan cara “trade in”.
Namun, “trade in” juga ada kelebihannya iaitu anda boleh dapat beli emas yang lebih berat berbanding cara simpan di Ar Rahnu tadi.
Sama juga dengan menjual emas di kedai emas. Anda akan dapat tunai yang lebih dan tidak tertakluk kepada hari dan waktu pembukaan Ar Rahnu X’Change yang selalunya tutup pada hari Sabtu dan Ahad.
Secara Ringkasnya..
1. Jika mahu tunai tanpa simpan, jual emas di kedai emas.
2. Jika mahu tunai dengan niat mahu simpan lagi emas sedia ada, pajakkan di Ar Rahnu.
3. Jika mahu rekaan emas terkini tanpa mahu menyimpan emas yang lama, “trade in” di kedai emas.
4. Jika mahu rekaan emas terkini dan masih sayang emas yang lama, pajakkan di Ar Rahnu.
5. Jika tidak mahu beri kesan kepada rekod CCRIS, pajaklah di Ar Rahnu yang bukan di bawah Bank. (Ar Rahnu X’Change) bukan di bawah bank, mereka hanya seperti francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu Bank Rakyat.
6. Jika mahu wujudkan rekod pinjaman untuk pinjaman di masa hadapan, gadaikan emas di Ar Rahnu bank seperti di AgroBank dan lain-lain. Cuma pastikan pembayarannya juga cantik.
7. Batu permata tidak boleh dipajak. Ia akan dipisahkan dan hanya emas sahaja yang akan dinilai. Samalah juga dengan batu-batu dan warna enamel di beads atau dangle contohnya. Ia akan dipisahkan atau dibersihkan terlebih dahulu sebelum dinilai beratnya.
Simpan Emas, Duit Secara Paksa
8. Jadikan Ar Rahnu sebagai tempat simpanan emas dan simpanan duit secara paksa. Apabila duit Ar Rahnu digunakan untuk membeli emas, secara automatiknya kita kena mula menyimpan untuk menebus kembali emas yang dipajak. Ada pilihan simpan selama 6 bulan, 12 bulan atau 18 bulan.
9. Simpanan di Ar Rahnu tidak perlu bayar bulanan, hanya perlu bayar maksimum 6 bulan atau bergantung kepada bulan dan hari yang disimpan jika kurang dari 6 bulan.
10. Bila tebus, sediakan jumlah tunai yang dapat semasa pajak tambah dengan upah simpan.
11. Kadar pinjaman, nilai emas, tempoh pajakan berbeza di antara penyedia perkhidmatan Ar Rahnu. Ada yang bagi 70%, ada yang 80%, ada yang 6 bulan, ada yang 10 bulan, ada yang kos simpan mahal, ada yang mudah dan lain-lain. Carilah yang paling sesuai dengan anda.
12. Selalunya untuk kali pertama pajakan, anda akan dapat sebanyak RM65% dari nilai emas yang disimpan. Ia akan meningkat menjadi 70% atau 80% bergantung kepada penyedia perkhidmatan Ar Rahnu itu.
13. JANGAN PAJAK EMAS DI KEDAI BUKAN MUSLIM.
Emas Tak Tebus, Akan Dilelong
14. Di Ar Rahnu, hampir semua jenis emas 750 hingga ke 999 boleh dipajak.
15. Ada Ar Rahnu boleh terima kalau kita nak jual emas kita tu untuk ambil tunai. Kadarnya kurang sedikit dari harga pajak. Boleh tanya dan bandingkan dengan harga kedai.
16. Apabila emas tidak ditebus, ia akan dilelong mengikut harga emas semasa. Contohnya apabila anda gadai, pada waktu itu emas pada harga RM190 untuk 1 gram.
10 gram X RM190 X 80% = RM1520 Upah simpan selama 6 bulan :
10 gram X RM190 X 0.75% = RM14.25 sebulan atau RM85.50 selama 6 bulan.
Untuk tebus, anda perlu ada RM1520 + RM85.50 = RM1605.50
Selepas 6 bulan, katakanlah harga emas sudah naik ke RM267 dan anda tidak mampu untuk tebus. Ar Rahnu akan lelong dan katakanlah dapat dijual juga pada harga RM267.
10 gram X RM267 = RM2670. Setelah tolak apa yang sepatutnya Ar Rahnu dapat dari anda, bakinya anda akan dapat iaitu RM2670 – RM1605.50 = RM1064.50.
Hasilnya, yang tak mampu tebus pun akan dapat RM1064.50.
Nampak macam hebat kan? Ini sebenarnya hanya akan terjadi apabila harga emas naik mendadak di dalam masa 6 bulan. Suatu perkara yang tiada siapa mampu pastikan.
Itulah serba “sedikit” mengenai Ar Rahnu dan simpanan emas.
Harga Emas Naik, Perlu Ke Beli Atau Tunggu
Jadi, bagaimana sekarang? Harga emas naik mendadak. Beli sekarang atau tunggu? Pada pendapat saya secara peribadi, belilah emas sekarang. Kita tidak akan tahu masa hadapan. Emas ialah emas, tidak kira berapa lama anda simpan. Jika 916, 916 lah ia walaupun anda simpan 20 tahun sekalipun.
1. Simpan di Ar Rahnu dan beli emas yang baru.
2. Trade in emas lama dan beli emas yang baru.
Buat antara dua benda ini, anda takkan silap. Kerana kedua-duanya melibatkan pembelian emas yang baru.
Ingat, emas bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi ianya adalah pelaburan hidup yang anda boleh lihat, belek, tidur dan bawa ke mana-mana juga yang anda mahukan. Ia juga bukti kepada kecekalan anda menyimpan serta menabung.
Jadilah orang yang membeli emas pada harga RM267 pada tahun ini. Jangan jadi orang yang membeli emas pada harga lebih dari RM300 pada tahun hadapan.
Kongsikan jika anda rasa penulisan ini bermanfaat. Jika ada apa-apa pembetulan atau penambahan, sila maklumkan di komen.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana anda boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. http://t.me/broohsemfans BroOhsem
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI