Kata orang, bercerai hidup dan bercerai mati ada bezanya. Kesedihan yang ditanggung juga berlainan. Norhidayati Tokiman,40, tidak pernah menyangka, suami tercinta akan meninggalkannya dan anak-anak dalam sekelip mata, tanpa sebarang tanda.

Tanggal 7 Januari 2015, Norhidayati atau mesra dipanggil Yatie, hilang tempat bergantung apabila suaminya tiba-tiba saja meninggal dunia.

“Arwah suami, Mohamad Nasir, tak ada apa-apa penyakit sebelum itu. Pada hari kejadian, arwah tiba-tiba saja rebah di depan saya dan anak-anak, kemudian meninggal dunia. Rupanya arwah mengalami serangan jantung secara mengejut,” ujar Yatie memulakan perbualan.

Baru Habis Pantang
Berkongsi perasaannya dilanda ujian yang mengejutkan itu, Yatie mengakui ia sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ads

“ Rasa teramat sakit dan perit ditinggalkan secara tiba-tiba. Tambahan pula, ketika itu saya baru lepas habis pantang anak keenam yang berumur tiga bulan masa itu dan baru seminggu mula kerja kembali.

“ Selepas seminggu arwah pergi, anak-anak mula jatuh sakit. Hampir sebulan tak hadir ke sekolah. Mereka rasa sedih melihat orang lain ada ayah tapi mereka dah tak ada. Setahun selepas itu, anak-anak minta balik kampung, nak tinggal dengan nenek. Jadi setiap hujung minggu sudah menjadi rutin saya balik kampung menjenguk anak-anak,” jelas Yatie lagi.

“ Dugaan yang menimpa itu cukup berat saya rasakan. Selain kehilangan suami secara tiba-tiba, abah saya ketika itu juga sedang terlantar sakit. Tanggal 8/5/2015, setelah empat bulan pemergian suami, abah pula dijemput Ilahi. Hilanglah tunggak kekuatan saya dan keluarga. Saat itu saya sedar, selain anak-anak, saya perlu kuat demi ibu saya,” tambah Yatie yang bersyukur, sentiasa menerima sokongan yang tak putus-putus daripada ibu, adik-adik serta kawan-rakan sekolah lama serta rakan sepejabat, sehingga kini.
Baru Habis Pantang Anak Keenam, Suami Meninggal Tiba-tiba
.

Ads

Kerja Tambahan
Menanggung enam orang cahaya mata perempuan pasti memerlukan belanja yang bukan sedikit. Menurut Yatie, dia turut membuat kerja tambahan untuk menampung perbelanjaan keluarga memandangkan segala tanggungjawab keluarga tergalas di bahunya.

“ Alhamdulillah, kini saya membuat urutan secara sambilan, yang saya pelajari daripada seorang guru yang saya sangat sanjungi iaitu Ustaz Mohd Rozi Bin Bawi pada tahun 2016. Ketika itu saya telah mengalami kemurungan yang amat teruk hinggalah saya bertemunya. Bermula daripada saat itu saya bertungkus lumus mendalami ilmu urutan ini. Ia juga adalah pesanan arwah suami untuk saya belajar urut dan bersyukur dapat menunaikan hasrat arwah.

Ads

“ Buat masa ini saya membuat urusan di rumah atau memenuhi permintaan pelanggan ke rumah mereka. Alhamdulillah saya dah ada Rawatan Tradisional Ibu Ayu. Insya-Allah, jika ada peluang saya ingin membuka pusat rawatan sendiri nanti,” kongsi Yatie penuh harapan.

Pandangan Orang
Tidak dinafikan pandangan orang sekeliling terhadap wanita bergelar ibu tunggal ini sama ada berpisah hidup atau mati agak kurang menyenangkan.

“ Tambahan pula kerja macam saya, balik tak tentu masa demi mencari rezeki. Tapi saya kena tabah dan kuat utk lalui semua ini demi anak-anak,” akhiri ibu kepada enam puteri iaitu Nurul Eziera Izzah bt Mohamad Nasir, Nurul Insyiera Izzah, Nurul Izzati Izzah, Nurul Eriesya Izzah, Nurul Zafirah Izzah dan Nurul Awfiyah Izzah, menutup bicara.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI