Hiburan

Baru Berusia Enam Bulan, Anak Bongsu Ayu Raudhah Meninggal Dunia Dalam Tidur

Share

Meninggal dunia ketika tidur. Anak bongsu kepada pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha Abdul Radzak iaitu Muhammad Aisy Al Rees meninggal dunia ketika tidur di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira jam 1 petang tadi.

 

 

Pemergian bayi ketujuh yang baru berusia enam bulan sembilan hari itu dimaklumkan kakak kepada Ayu yang juga pelakon Rozita Che Wan.

“Arwah meninggal kira-kira jam 1 petang tadi di rumah mereka di Seremban.

“Jenazah ketika ini berada di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Saya dimaklumkan arwah meninggal ketika tidur dan tidak mengalami sebarang sakit,” katanya.

Berita pemergian anak bongsu pasangan ini dikongsikan Zaquan Adha di akaun Insta Story miliknya. Manakala Rozita Che Wan sempat menitipkan pesanan supaya pihak media menghormati keadaan pasangan suami isteri itu dan memberi ruang untuk mereka sekeluarga yang berada dalam keadaan berduka cita.

“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi. Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” tulisnya ringkas.

Untuk rekod, anak lelaki kepada pasangan ini selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu jam 12.57 tengah hari.

Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun.

 

 

Published by
Rosmah Idayu