
Isi Kandungan
ToggleBaru berkahwin 10 bulan, suami sanggup simbah asid pada isteri hingga meninggal dunia. Bukan saja isteri menjadi mangsa amarahnya, anak tirinya turut menerima nasib yang sama.
Bila amarah menguasai diri, perkara tidak masuk akal pun mampu dilakukan. Tak dapat bayangkan keadaan isteri yang terseksa disimbah asid sebelum meninggal dunia.
Baru Berkahwin 10 Bulan
Polis Jeddah, Arab Saudi, menahan seorang lelaki kerana menyimbah asid pada isterinya sehingga menyebabkan kematian wanita itu dan mencederakan anak perempuan mangsa, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Pusat talian kecemasan polis Jeddah sebelum itu menerima laporan mengenai seorang wanita dan anaknya yang disimbah asid di kediaman mereka di daerah Al-Samir, timur Jeddah.
Baca Di Sini : Suami Tergamak Curah Asid Pada Isteri Sendiri Gara-Gara Tak Puas Hati Lahirkan Anak Perempuan
Suami Sanggup Simbah Asid
Sebaik sahaja anggota-anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui wanita tersebut dan anaknya dalam keadaan parah akibat melecur disimbah asid.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital King Fahd, namun wanita berkenaan meninggal dunia sementara anaknya daripada perkahwinan terdahulu cedera parah dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Artikel Berkaitan: Terlampau Sakit Hati, Isteri Nekad Simbah Asid Ke Muka Suami Yang Curang
Gaduh Hal Keluarga
Polis berkata, suspek melarikan diri selepas menyerang kedua-dua mangsa. Dia bagaimanapun berjaya diberkas tidak lama selepas itu.
Menurut sumber polis, suspek memukul isterinya dan menyimbah asid ke atas mangsa dan anaknya selepas bertelagah mengenai hal keluarga.
Kedua-dua mereka dikatakan berkahwin 10 bulan lalu. – AGENSI

Mingguan Wanita : Emosi jika tidak dikawal dengan baik , buruk padahnya. Nyawa seorang isteri seolah-olah tiada nilai sehingga dia sanggup bertindak sedemikian rupa.
Sumber : Kosmo Online
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dilabel Gila Talak Semata-mata Nak Rujuk Kembali

Isi Kandungan
ToggleKalaulah talak itu ada pada wanita, berapa ramailah lelaki yang menjadi duda. Tapi, lelaki pula janganlah ambil mudah untuk lafazkan. Selidik dan cuba untuk selesaikan dengan cara terbaik.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itulah yang berlaku kepada Din (bukan nama sebenar) yang telah melafazkan cerai kepada isteri tersayang hanya kerana cemburu buta. Tanpa usul periksa dan tidak mendengar penjelasan daripada isterinya Siti (bukan nama sebenar), dia merana dan kini boleh dikatakan gila talak, sanggup lakukan apa sahaja demi mendapatkan kembali isteri yang dicerainya.
Din dan Siti bercinta sejak zaman sekolah lagi. Jodoh mereka panjang, walaupun Siti dapat melanjutkan pelajaran dan Din pula mendapat pekerjaan tetap di sebuah ibu kota, hubungan mereka tetap erat. Mereka saling berhubung walaupun seorang di bahagian utara dan seorang lagi di selatan.
Empat tahun bercinta, akhirnya mereka disatukan dalam suasana yang meriah. Pada masa itu, Siti sudah mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari selama ini. Kebetulan pula, pejabatnya berdekatan dengan tempat tinggal mereka.
Tunjuk Belang
Masa bercinta semuanya indah. Bila sudah tinggal sebumbung segala perangai dan tingkah laku mula ditunjukkan. Rupanya, Siti tidak mengenali Din dengan lebih dekat kerana Din seorang yang panas badan dan kuat cemburu.
Ketika inilah Din mula menunjukkan belakangnya, setiap kali Siti pergi bekerja, Din tidak betah menelefon Siti, bertanyakan makan di mana, rehat dengan siapa dan berapa ramai pekerja lelaki. Semuanya Din ingin tahu. Tidak cukup dengan itu, Din akan menyelongkar telefon Siti, ingin tahu Siti berbual dengan siapa dalam telefon dan sebagainya.
Semua ini membuatkan Siti naik rimas dan seolah-olah dirinya tidak bebas dan dikongkong oleh suami sendiri. Silap menjawab, tangan Din akan naik ke muka Siti.
Jatuh Talak
Suatu hari, Din terserempak dengan Siti yang keluar rehat bersama seorang kawan lelaki satu pejabat dengannya. Puas Siti menerangkan mereka hanya kawan sepejabat tetapi langsung tidak diendahkan oleh Din.
Akibat terlalu marah dan geram, Din tanpa sengaja telah menjatuhkan talak. Bukannya satu tetapi talak tiga. Terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Din, Siti terus keluar daripada rumah itu,

Penyesalan sudah tidak berguna lagi. Din tersedar selama ini dia terlalu cemburu buta tanpa sebab sehinggakan Siti tidak mampu berbuat apa-apa. Dia langsung tidak percaya pada Siti sedangkan selama ini Siti sangat bersabar dengan perangainya.
Gila Bayang
Sejak kejadian itu, kehidupan Din tidak bahagia seperti dulu. Dia sentiasa teringatkan Siti dan puas dia menjejak Siti tetapi tidak berjumpa. Dia ingin meminta maaf dan ingin merujuk kembali dengan Siti.
Namun, semuanya sudah terlambat, Siti tidak lagi bekerja dan ditukarkan ke tempat lain. Sehingga kini, Din masih lagi mengharapkan agar Siti dapat kembali kepadanya.
MW: Rasanya, sekali suami perlakukan pada isteri tanpa usul periksa seolah-olah tiada lagi ruang di hati isteri. Jangan biarkan isteri terus merajuk dan makan hati, menyesal tak sudah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Disangka Tibi, Kanser Paru-Paru Membuatkan Aziah Hilang Suami

Isi Kandungan
ToggleDua kali wanita ini, Aziah Ismail bergelar ibu tunggal. Perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama, atas sebab-sebab tertentu dia dan bekas suaminya memilih untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nur Salman Farizzi yang kini sudah pun berusia 17 tahun.
Setelah 12 tahun menggalas tanggungjawab selaku ibu tunggal, tidak pernah terlintas di benak Aziah untuk kembali berumah tangga. Wanita ini tidak menyangka dia kembali berstatus sebagai seorang isteri apabila kembali bertemu jodoh dengan suami keduanya, Mohd Taufiq Mustafa. Mereka kemudian diijabkabulkan pada 6 September 2013.
Dikurniakan seorang suami yang menenangkan hati, prihatin, penyayang, menerima anak sulungnya seperti darah daging sendiri menjadikan hidupnya diulit bahagia. Panas yang disangka bakal berpanjangan, hadir di tengah harinya badai musibah yang menguji. Siapa sangka suami yang tampak sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, tiba-tiba diserang sakit dada tanpa sebab munasabah.
Ketika Hamil Anak Kedua, Aziah Diuji Suami Meninggal
Menurut Aziah, ketika usia perkahwinannya menginjak ke angka enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan dan hamil anak ke dua berusia tujuh bulan. Belum pun sempat melahirkan anak ke dua, suaminya pula berhijrah selamanya ke alam abadi.
“Siapa yang tak terkejut, dia seorang yang sihat dan tidak merokok. Suami juga tidak pernah mengalami sakit serius yang mengakibatkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh yang lama. Pada mulanya doktor memaklumkan, suami menunjukkan tanda-tanda batuk kering. Saya juga dimaklumkan sekali lagi oleh doktor, suami dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan bagi memerangi kuman tibi.
“Ketika itu saya sedang sarat hamil anak ke dua, ujian ini benar-benar menguji kekuatan dan mental saya. Setelah beberapa rawatan susulan di hospital swasta, atas rujukan dan nasihat beberapa orang terdekat…saya membawa suami mendapatkan pemeriksaan lanjut ke hospital kerajaan. Apa yang mengejutkan, selama ini saya diyakinkan oleh pakar perubatan suami saya mengalami tibi, punya peluang untuk sembuh tetapi mengambil sedikit masa.
“Menggunung harapan disandarkan kepada suami. Saya sentiasa bisikan di telinga suami, kuatlah demi saya dan anak-anak termasuk anak dalam kandungan ini. Saya mengharapkan suami kembali pulih dan dapat menemani saya melahirkan zuriat keduanya kelak. Tetapi impian saya musnah sebaik doktor mengesahkan suami saya bukan mengalami penyakit batuk kering, sebaliknya disahkan sedang mengalami kanser paru-paru dan di tahap empat,”kongsinya dengan getar suara hiba.

Kehilangan abadi yang menyakitkan
Khabar ini amat sukar dihadam Aziah. Apa yang menyedihkan dan merisaukan sejauh mana masa yang bersisa untuk suaminya terus bertahan. Doktor memberi sela masa sekitar tiga ke enam bulan. Sebaliknya tanpa sempat menyusahkan si isteri menjaganya, kondisi Taufiq kian merosot. Akhirnya lelaki itu kembali ke pangkuan Illahi setelah enam hari disahkan kanser paru-paru.
“Dia bekerja dalam bidang oil and gas. Walaupun rutin kerjanya sibuk, dia suami yang amat menyantuni isteri. Sebaik dia tiba di perkarangan rumah, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menyapu dan membersihkan laman rumah. Kemudian dia akan angkat kain di ampaian, dan tanpa disuruh dia akan mula membantu saya mengemas rumah walaupun hakikatnya kita tahu dia baru balik kerja, tentunya dia pun penat.
“Sepeninggalannya ke tempat kerja, saya akan mengambil upah katering bergantung kepada tempahan pelanggan. Lazimnya saya siapkan tempahan itu sendirian. Memori paling sukar nak dilupakan adalah cara dia menenangkan dan menghargai saya. Dengan penuh kasih sayang dia akan mengelap peluh di dahi saya, sambal mengucapkan kata-kata terima kasih kerana sanggup bersusah payah bersamanya.
Dia Suami Yang Baik, Berlembut Dengan Isteri..
“Selalu dia ucapkan pada saya yang saya takkan bersusah-susah selamanya…dia akan bahagiakan saya seadanya. Dia suami yang baik, lemah lembut tutur kata, bagaimana dia menjaga tutur katanya dengan ibunya…begitulah dia menyantuni saya. Anak sulung saya dilayan sebaiknya macam darah dagingnya. Pada orang yang bertanya, dia menerangkan anak sulung saya anak sulung kami berdua. Tidak ada istilah anak tiri buatnya.
“Dia juga merupakan anak tunggal, kematian bapa ketika usianya masih lagi bayi. Pemergiannya secara tiba-tiba, tanpa menyusahkan saya…benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya dan ibunya. Seperti mana janjinya pada saya, anak-anak dan ibunya…Alhamdulillah segala kebajikan kami dan keperluan kami dijaga baik walaupun dia sudah tiada,”kongsi Aziah tentang sisi istimewa suaminya yang di rindui.
La Tahzan … Innallaha Ma’ana
Usai pemergian suami, tibalah masa dirinya melahirkan zuriat kedua. Jika sebelum ini kelahiran puteri pertama, Sarah Aleesya diiringi suami tercinta, kali ini hanya baju peninggalan arwah suami menjadi penemannya berjuang di kamar bersalin.

“Sedih, rindu dan sayu menjadi emosi yang bermain di fikiran ketika saya perlu berjuang sendirian di bilik bersalin. Tidak ada lagi suami yang menemani. Hanya memori dan baju peninggalan arwah menjadi peneman saya. Atas izin doktor saya membawa baju arwah dan doktor sedia maklum kondisi saya yang baru kehilangan suami. Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan zuriat ke dua kami, anak lelaki. Saya namakan anak ini dengan nama pilihan arwah iaitu Muhammad Gibran Umar yang lahir dengan sempurna pada 13 Mac 2019.
“Sebenarnya anak ke dua ini, rezeki tak diduga. Sepanjang kehamilan ke dua saya tidak mengalami sebarang alahan berbanding kehamilan sebelum ini. Suami pernah berkata, anak ini menjadi pengikat kasih kami berdua. Benarlah, anak ini menjadi pengganti dirinya. Ketika sedang berjuang melahirkan Gibran, hanya zikir dan doa menjadi kekuatan diri. Saya pujuk diri dan sentiasa bisikan La Tahzan…Innallaha Ma’ana, yang bermaksud “Janganlah Engkau Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita” sebagai penguat hati.
Aziah Hilang Tempat Mengadu
“Sebaik melahirkan anak kami, saya kemudian di tempatkan di wad sebelum di benarkan keluar. Sepanjang menetap di wad tersebut, saya akan menarik tabir di antara katil saya dengan katil di hadapan terutamanya apabila suaminya datang melawat. Saya tidak ada suami yang akan datang melawat, perasaan itu sukar digambarkan. Saya hilang tempat mengadu, meluah apa sahaja perasaan dan berkongsi rasa. Sejujurnya, sebagai seorang isteri yang kehilangan suami, pesan saya…hargailah momen istimewa semasa anda masih punya suami. Layanlah dia sebaiknya, hargai segala perih jerihnya dan bahagiakanlah dia semampunya.
“Bila rindu datang…sesekali saya akan menziarahi kuburannya. Bersama anak-anak. Sarah seperti biasa akan mengucup nisan ayahnya, setiap kali datang dan sebelum kami berangkat pulang. Ada waktunya saya menghantar mesej ke nombor telefonnya, mengemas kini khabar terkini kami.
“Ya saya tahu, mustahil untuk dia membalasnya. Sebaliknya ia satu medium untuk saya meredakan rasa rindu tak bertepi terhadapnya. Buat arwah suami, terima kasih melayan saya umpama puteri sepanjang enam tahun yang manis. Semoga Allah terus menitipkan kekuatan demi anak-anak dan ibu mertua,” kongsi dengan Mingguan Wanita yang masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baru tanpa suaminya di sisi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Letak BAHAGIA Tanpa Syarat, “Berkahwin Dengan Isteri Saat Ovarinya Sudah Dibuang Sebelah”

Isi Kandungan
ToggleLetak BAHAGIA Tanpa Syarat, “Berkahwin Dengan Isteri Saat Ovarinya Sudah Dibuang Sebelah”. Memang ada benarnya untuk kekal bahagia dalam perkahwinan, perlu letakkan bahagia tanpa syarat tertentu. Sebaliknya ciptalah bahagia sendiri.
Bagi pasangan yang berkahwin, tak dinafikan dikurniakan anak merupakan ‘penyeri’ dan pelengkap dalam rumahtangga. Namun demikian janganlah beranggapan dengan ‘hanya’ mempunyai anak adalah cara untuk mendapat bahagia. Ia mungkin boleh menjadi satu cabaran.
Hadamkan perkongsian daripada NZ Nor Firdaus ini
Berapa orang anak sekarang..?
Tu antara soalan yang biasa ditanya bila kita sudah berkahwin, namun pada mereka yang belum dikurniakan cahaya mata mungkin pada mereka itu soalan sensitif.. tapi insyaallah tidak pada saya.
Mungkin ada yang tidak tahu, saya berkahwin dengan isteri saat ovarinya sudah dibuang sebelah.. maksudnya ada 1 je ovari, dibuang kerana Cancer..(panjang ceritanya dan berlaku sebelum saya kenal isteri).
Tahu Risiko Dihadapi
Saat saya berkahwin saya sudah tahu apa risikonya.. antara nya penyakit akan berulang mahupon kesukaran mendapat cahaya mata.
Tapi dah kata jodoh kan. Kami pun berkahwin dan saya pun menerima isteri seadanya dan sudah berfikir panjang pada dua risiko utama tu. Kadang-kadang ada yang tanya kenapa buat keputusan sedangkan tahu risiko nya. Ada yang tanya macam mana kalau takde anak, anak kan penyeri… bla bla bla..
Letak Bahagia Tanpa Syarat
Pada saya bahagia itu perlu diletak tanpa syarat, kalau kita fikir berkahwin tu akan bahagia bila ada anak… anak tu boleh jadi juga 1 cabaran, kalau kita letak bahagia tu kerana kaya, maka kita mungkin diuji dengan ketidakcukupan.
Allah sudah sediakan saya sebelum berkahwin, saya berjumpa ramai pasangan yang tetap bahagia walaupon tidak di kurniakan anak.
Sebenarnya selepas berkahwin, isteri pernah 2 kali mengandung, tapi dua-dua kali tu gugur dan hikmah gugur tu asbab kami buat check up dan di situ la bermula nya kehidupan kami sering ulang alik ke hospital.
Fasa Drama Air Mata
Mula-mula follow up sebab cyst, lama-lama jumpa la cancer. Memang fasa drama air mata tu memang kerap la kan. Siapa tak sayang isteri, lagi pula baru kahwin tak sampai 6 bulan lagi dan lumrah seorang wanita dia juga ingin kan dirinya mampu lahirkan anak. Iya la.. sebab bila doktor kata, harapan mengandung masih ada, tapi risiko tetap ada. Saya terus cakap takpe, anak kita tolak tepi kita kejar sihat dulu.
Saya selalu cakap dengan isteri, kita tak dikurniakan anak sendiri tapi hampir setiap hari Allah bagi peluang jemputan program. Selalu cakap dekat isteri, ni haa ramai anak-anak kita kena jaga.
Allah tu maha adil kadang-kadang Allah kurangkan sesuatu Allah pasti lebih kan sesuatu.
Cipta Bahagia Sendiri
Saja nak tulis post ni..sebab ye saya faham ada sesetengah pasangan memang stres dengan soalan anak ni. Cuma pada saya, saya dengan isteri selalu berbincang, jangan letakkan bahagia tu bersyarat kita akan stress nanti. Jadi kami cipta bahagia sendiri dan bersama. Kami bebas berjalan ke sana ke mari, makan berdua selalu tanpa gangguan.
Yang dikurniakan cahaya mata, jaga la sebaiknya. Matinya anak adam 3 je bekalan yang masih boleh dibawa.
1. Doa anak soleh
2. Sedekah jariah
3. Ilmu yang bermanfaat
Dan memang sedih pada kami bila berurusan atau dengar kes-kes buang bayi, gugurkan bayi. Memang sedih. Iye la orang yang nak, Allah tak izinkan, yang dapat mudah-mudah melepaskan. Sedihkan.
Kami yakin Allah sebaik-baik perancang.Jadi kalau orang yang baru kenal dia tak sengaja tanya soalan anak ni saya akan cakap, “anak dah kat syurga” dan saya tidak ambil hati.
Saya mohon doakan isteri saya yang sedang melawan kansernya agar terus kuat dan doa juga saya pun kuat. Saya juga doakan semua sahabat-sahabat fb saya pun kuat dan dapat bahagia yang dicari dalam rumah tangga.
Ujian pasti datang pelbagai cara dan kebahagian juga akan datang dalam pelbagai cara. Cuma perlu yakin, usaha dan doa.. Insyaallah
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Mesti Baca:Diajukan Soalan “Anak Dah Besar Tambahlah Lagi Sorang,” Ini Jawapan DIANA DANIELLE
Baca Lagi Di Sini:“Tolong Jangan Pegang Perut Aku & Tanya Dah Ada Isi Ke?!” Siti Elizad Berang Soalan Makcik Bawang Pasal Anak
Artikel Menarik:Isu Anak: Coretan Ringkas Ini Jawapan Kepada Segala Persoalan Yang Ramai Perlu Faham & Hadam
Mingguan Wanita:Ada benarnya, bahagia itu perlu diletak tanpa syarat. Ciptalah bahagia sendiri.

Sumber:NZ Nor Firdaus
JEANS BURUK JANGAN BUANG, SERTAI KELAS JAHITAN KAMI. BUAT TOTE & SHOPPING BEG
Klik link untuk daftar: https://toko.ideaktiv.com/product/kelas-jahitan-kreatif/
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI