Tatkala inai masih merah dijari, hanya baru 4 hari mengharungi alam rumahtangga, pengantin baru ini berhadapan ujian besar terlibat dalam kemalangan. Malah lebih menyayat hati apabila pengantin lelaki terkorban dalam nahas tersebut.
Keterujaan pasangan pengantin yang baru berkahwin Jumaat lalu, memilih pelamin untuk majlis bertandang tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kampung Galok, di sini, 4.45 petang semalam. Kemalangan berkenaan meragut nyawa Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, luka ringan di kepala.
Adik mangsa, Wan Ahmad Aizat Wan Abd Razak, 23, berkata, pada awalnya, dia menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan dengan keadaan abangnya yang masih tidak diketahui.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas (HPM), dia terkedu kerana dikhabarkan abangnya sudah meninggal dunia, namun terus menguatkan semangat untuk sampai ke sana.
“Kali terakhir kami berjumpa ketika sarapan pagi bersama-sama di rumah ibu pagi tadi (semalam), memandangkan saya merancang untuk pulang Tanjung Malim, Perak, tempat saya bekerja pada sebelah petang.
“Kami berdua sangat akrab malah boleh dikatakan hampir setiap hari dia menelefon saya sebelum majlis perkahwinannya, untuk berkongsi persiapan dan keterujaan dia mendapat isteri memandangkan saya sudah berkahwin beberapa bulan lebih awal daripada abang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HPM, malam tadi.
WAN Ahmad Aizat menunjukkan gambar perkahwinan abangya, Wan Ahmad Haziq, yang berlangsung Jumaat lalu. FOTO Syaherah Mustafa
Pemergian Abang Beri Kesan Buat Keluarga
Wan Ahmad Aizat dalam keadaan sebak mengakui, abangnya itu seorang anak yang sangat taat pada ibu mereka selain disenangi rakan-rakan kerana keramahannya selain suka membantu kenalan yang dalam kesusahan.
“Pemergiannya benar-benar memberi kesan buat kami sekeluarga, apatah lagi hanya beberapa hari dia membina ‘masjid’ bersama isteri tercinta. Bagaimanapun, kami reda dan akan terus menguatkan semangat kerana isterinya juga perlukan sokongan kami sekeluarga untuk terus kuat.
“Insya-Allah sebaik selesai semua urusan di hospital, jenazah abang akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, di Kota Bharu,” katanya.
Kereta Hilang Kawalan, Terbabas
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.
Ads
“Hasil siasatan mendapati, pasangan berkenaan yang menaiki Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan menyebabkan terbabas ke jalan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza ketika dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.
“Selepas bedah siasat dilakukan, didapati mangsa yang parah pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HPM, manakala isterinya mengalami luka di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mingguan Wanita: Besar sungguh dugaan yang dihadapi buat keluarga dan pengantin perempuan ini. Semoga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian kehilangan yang tersayang.
Baik suri rumah ke wanita kerjaya, kalau dah nama mak-mak memang tak dapat lari dari kalut ribut urus anak-anak dan rumah tangga. Lucu cerita penyampai radio, Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah ini, bila mana terpakai seluar terbalik.
Ketika nak keluar ke satu lokasi, dan Cik Piah tersangkut di dalam kesesakan lalulintas itulah dia kongsikan yang dia dah pakai seluar terbalik. Yang lucunya, sebelumnya Cik Piah dah pernah pakai baju terbalik.
Haa.. macam tu sekali kan tahap kekalutan bila mak-mak fikir banyak benda.
Dan dalam posting yang berbeza di instagramnya, Cik Piah jelaskan sebab kejadian itu dengan lebih lanjut.
Tulisnya,
“Kadang terpikir kenapalah boleh pakai baju terbalik, seluar terbalik. Gais korang kena paham, urat mak-mak banyak putus. Lepas tu mak-mak ni banyak kerja yang dibuat.
“Sebab tu jadi camni. Banyak benda yang dia pikir sampai pakai seluar pun terbalik. Tapi Cik Piah tetap confident je tadi. Walaupun seluar terbalik, ada aku kisah. Yang penting aku pakai seluar.”
Cik Piah Makin Berseri-seri Dan Langsing
Lucu betul Cik Piah ini. Sebenarnya bukan Cik Piah sorang lalui pakai baju ke seluar terbalik ni. Ramai lagi dekat luar sana dah alaminya.
Tudung terbalik pun pernah. Lagi parah.. stoking sebelah warna lain, sebelah lagi warna lain. Jangan tak tau.. pernah tercipta dalam sejarah tau pasal stoking warna lain-lain ni.
Tentunya, sebab nak cepat. Dan tak perasan.
Konfiden tu yang penting.
Cik Piah atau nama sebenarnya Nor Shafiza Iskandar Azizan nampaknya semakin berseri-seri dan langsing. Rupanya selain rajin berzumba, Cik Piah amalkan suplemen kesihatan. Paling utama tentulah menjaga dua orang anak lelakinya yang comel tu, Adam Malique dan Nuh Aryyan.
Cik Piah mendirikan rumah tangga dengan Nurashid Abd Wahab sekitar Mei 2016.
Tiga beradik meninggal dalam perigi. ‘Lebih rela mati daripada diseksa suami, mertua’. Akibat terus-terusan didera emosi, wanita-wanita ini memilih untuk menamatkan nyawa daripada meneruskan hidup.
Benarlah bila keadaan mendesak membuatkan wanita lebih rela mati. Mereka adalah mangsa pertikaian wang hantaran daripada pihak keluarga lelaki di India.
Tiga Beradik Meninggal Dalam Perigi
Kasihan sungguh dengan nasib mereka apabila terpaksa menjadi korban kepada budaya dan adat di sana. Berat mata memandang, lagi berat bahu memikul.
Tiga beradik perempuan dan anak mereka di India, ditemukan mati di dalam sebuah perigi.
Mereka sempat meninggalkan pesanan menyalahkan keluarga yang mengahwinkan mereka dengan lelaki ‘tidak berguna’.
Tiga beradik ditemui meninggal bersama anak mereka. (Kredit foto: cbsnews.com).
NDTV melaporkan, Kalu, Kamlesh dan Mamta Meena menjadi mangsa pertikaian mengenai hantaran kahwin, wang yang perlu dibayar ibu bapa di India untuk mengahwinkan anak perempuan mereka.
Mangsa dilaporkan berkahwin dengan saudara lelaki daripada keluarga sama.
Mereka juga tinggal di kediaman sama tetapi mengalami keganasan berterusan daripada suami dan mentua mereka, menurut saudara mara ketiga-tiga mangsa.
Daripada DiSeksa Suami & Mertua
Tiga beradik berkenaan termasuk bapa mereka didera secara berterusan kerana gagal memenuhi tuntutan suami wanita terbabit untuk mendapatkan lebih banyak wang.
Ketiga-tiga mereka ditemukan meninggal dunia bulan lalu berhampiran rumah di sebuah kampung di pinggir Jaipur, bersama anak lelaki Kalu berusia empat tahun dan bayinya.
Kamlesh dan Mamta pula dilaporkan mengandung.
“Kami tidak mahu mati tetapi kematian lebih baik daripada sering didera mereka. Ipar duai kami punca kematian kami,” katanya.
Mingguan Wanita : Sedih sungguh dengan pengakhiran hidup mereka. Perkahwinan sepatutnya mengubah hidup wanita menjadi lebih bahagia bukannya menambah derita.
Teka teki dikalangan peminat penyanyi kesayangan negara Dato Sri Siti Nurhaliza,41 beberapa bulan kebelakangan ini akhirnya terjawab apabila ibu kepada Siti Aafiyah ini mengumumkan berita hamil anak kedua nya di Instagram baru sebentar tadi.
Berita baik tersebut diumumkan seperti yang dikongsikan oleh penyanyi ini.
Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan.
Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami.
Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti.
Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih.
Alhamdulillah. Terima kasih semua dan doakan saya ya!
https://www.instagram.com/p/CIPtsPTHdyZ/
Terdahulu, selepas selamat melahirkan cahayamata pertama yang diberi nama Siti Aafiyah pada 2018, penyanyi kesayangan ramai, Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta, sebagai persediaan hamil anak kedua pada Februari lalu.
MW: Tahniah Tok Ti, di atas kehamilan anak kedua. Semoga kandungan sihat dan dipermudahkan segala urusan kehamilan ini. Alhamdulillah Aafiyah bakal jadi kakak.