Allahuakbar! Seorang bapa keluar membeli barang, kemudian tinggalkan anak tanpa pengawasan.” Kanak-kanak ini ditemui meninggal apabila jatuh kondominium dari tingkat 29.
Beratnya ujian. Sudah tentu sang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang ditinggalkan apabila ditemui sudah tidak bernyawa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Bapa Keluar, Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima maklumat kejadian pada 2.41 petang.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang ke lokasi dan berdasarkan siasatan awal, mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah dalam keadaan berkunci.
“Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.
Ads
“Mangsa ditemui salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beh berkata, pihak pengurusan menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Tingkap Tiada Jeriji
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tingkap bilik mangsa terbuka dan satu kerusi berada di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji itu.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga tragedi ini menjadi iktibar buat kita semua. Tidak dinafikan malang tak berbau, namun selagi boleh elak janganlah dibiarkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
Sememangnya dari urusan kematian, mandi jenazah, solat dan pengebumian semuanya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) uruskan, oleh itu hargailah setiap pengorbanan mereka.
Sekiranya terdapat sedikit kesalahan ketika mereka menguruskan pesakit, berbaik sangkalah. Jangan panjang-panjangkan aduan hingga ke pihak atasan.
Percayalah apa yang berlaku kadang-kadang di luar dugaan mereka. Mungkin terlalu penat melaksanakan tugas, terbeban dengan kerja lebih waktu kerana tidak cukup kakitangan tentu sahaja melelahkan.
Oleh itu, hargailah pengorbanan barisan hadapan dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan terdekat adalah takdir yang ditentukan Allah.
Ikuti perkongsian Muharrik Daie ini dan cuba fahami apa yang disampaikan:
Meninggal Keseorangan Atas Stretcher
Abang ipar aku telah pergi meninggalkan dunia. Mati. Asbabnya Covid-19. Hakikatnya ajalnya sampai. Kalau tak kena Covid pun Abang ipar aku tetap akan meninggal mungkin dengan asbab yang lain.
Sebab janji, waktu dan tarikh meninggalnya telah ditetapkan di azali lagi. Kita wajib beriman dengan qada dan qadar Allah. Abang ipar aku meninggal di atas stretcher. Keseorangan, tiada teman. Itu yang doktor beritahu.
Meninggal keseorangan, di atas strecher pun atas kehendak Allah. Dan tempat itu juga telah ditetapkan. Itu pun kita kena akui dengan iman dan akidah yang kita faham. Jadi, orang yang berakidah tidak ada masalah dalam soal begini.
Rezeki Arwah Meninggal Begitu
“Sampai hati KKM biarkan abang meninggal begitu Mal.” Rungut kakak aku pada aku.
“Itu sudah rezeki arwah kak.” Jawab aku ringkas.
“Kalau ya pun, masukkanlah dia dalam wad. Akak sudah pesan pada nurse itu ketika akak balik dari hantar abang tadi.” Ujar kakak aku sambil mengesat air matanya.
Aku diam membatu, tak nak jawab sikit pun dan aku biarkan akak aku dengan perasaannya. Biar dia menangis sepuas-puasnya. Aku tahu, bila air matanya sudah banyak keluar ia akan berhenti.
Kalau aku layan dan pujuk. Pasti dia akan mengajukan perasaan tak puas hatinya pada pihak hospital. Aku nak mengajarnya redha.
Redha Apa Yang Berlaku
Redha dengan apa yang terjadi, walau di sisi manusiawinya, dia tetap rasa makhluk yang bersalah. Pihak hospital yang bersalah!
Tapi bagi aku, pihak hospital tak salah pun. Bukan abang aku saja yang mereka nak layan, malah ribuan lagi pesakit covid menjadi patient mereka. Memang tak terlayan. Waktu kalut ini kalau nasib baik, patient dapatlah masuk wad.
Kalau nasib tak baik, duduklah di atas kerusi roda atau strecher menunggu giliran dimasukkan ke wad. Katil memang tak cukup. Itu yang kita kena faham sangat-sangat.
Aku lihat wajah nurse (jururawat) dan doktor pun rasa kasihan sangat. Sudah tak rupa orang wajah-wajah mereka. Mungkin bertugas sehingga 14 jam sehari. Atau mungkin lebih.
Letihnya Frontliner
Aku boleh bayangkan betapa berkecamuknya perasaan mereka. Dan letihnya zahir batin mereka menghadapi suasana ini. Berat mata memandang, berat lagi mereka memikul.
Itu belum lagi balik ke rumah hendak layan anak dan isteri atau suami. Mungkin dapat tidur sekejap saja untuk rehat. Esok rutin sama akan mereka lalui. Bayangkan, sudah dua tahun mereka hadapi suasana ini. Hanya mental dan semangat yang kuat saja boleh lalui tugas getir ini.
Bila aku baca berita ada seorang individu itu komplain pada media, bapa dia tidak dilayan dan mati kerana tak di beri oksigen dan selimut. Aku senyum saja.
Aku rasa tuduhan itu melampau, sebab kalaulah patient itu benar-benar perlu oksigen, sudah pasti diberi oleh doktor. Malah aku yakin mereka hanya akan memberikan oksigen kepada yang betul-betul memerlukan saja kerana oksigen pun terhad.
Tidak mungkin mereka biarkan patient mati tercungap-cungap begitu saja.
“Tak nak buat aduan ke Mal?” Tanya akak aku setelah berhenti menangis.
“Tak payahlah kak, abang pun sudah meninggal. Tak ada untung apa pun. Saya percaya hospital sudah pantau dan jaga elok tadi. Cuma ajalnya sudah sampai macam itu, hendak buat macam mana. Komplen pun bukan abang boleh hidup balik.” Tegas aku.
Akak aku menjeling aku. Aku tahu dia masih tak puas hati dengan pihak hospital dan nasihat aku. Tapi aku tetap terus memberi semangat untuk menyejukkan hatinya. Aku tak mahu dia ikutkan perasaan sedih dan geramnya.
Perempuan biasalah. Emosinya kena dicontrol. Jika tidak, macam- macam boleh berlaku. Dengan aku mungkin dia hormat. Tak berani hendak lawan cakap tapi kalau adik-beradik lain pasti diherdiknya.
Dari Urusan Kematian, Mandi Jenazah, Solat & Pengebumian Semua KKM Uruskan
Sewaktu pengebumian, aku dan kakak aku hanya dapat pandang dari jauh saja. Kami tidak dibenarkan melihat kecuali setelah selesai pengebumian.
Sewaktu pihak hospital sedang mengali kubur dan menguruskan pengembumian, aku bisik pada kakak aku …
“Kak tengok kak, dari urusan kematian, mandi mayat, solat dan pengebumian dan sebagainya semua KKM uruskan. Letih mereka kak. Akak tak kasihan ke? Layanan bagaimanakah yang kita nak lagi?
“Hargailah pengorbanan mereka semua. Tak perlulah akak komplen-komplen dan simpan sesal dalam hati. Cukuplah. Kita tamatkan di sini. Semuanya sudah selamat diatur Allah. Kita doakan abang dan semua mereka yang telah membantu kita.” Ujarku sambil meramas bahu kakak yang aku sayangi.
Hargailah Pengorbanan Frontliner
Akak aku hanya mengangguk sambil mengesat sisa air matanya. Air mata terakhir bukti kasih pada suaminya yang telah pergi dan juga redhanya dia pada Allah atas ujian yang Allah timpakan padanya.
Sunyilah dia selepas ini tanpa usik senda teman syurganya. Aku pula, hanya menangis di dalam hati. Menangis sedih abang ipar yang aku sayangi pergi. Dan menangis mengenang kan giliran aku yang akan pergi. Mungkin esok atau lusa. Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba. Mati itu benar dan banyak ibrahnya buat yang masih hidup.
Apa yang penting bagi aku dan bagi kita semua adalah, jagalah akidah kita dalam apa pun suasana. Bersabarlah dalam apa pun ketentuan Allah buat kita.
Kepada semua staf frontliners hospital dan sebagainya, kalian semua hebat. Jasa kalian semua memang tidak terbalas. Nasihat aku buat kalian semua, jaga niat dalam bertugas. Pastikan benar-benar berniat berkhidmat untuk Allah. Syurga menanti kalian. Amin.
Memang betul, dalam perhubungan biasanya orang perempuan jenis setia payah nak berubah hati bila dah menyayangi, cukuplah dengan seorang saja yang disayangi sampai bila-bila. Malah sanggup berkorban apa sahaja demi orang yang dia sayang.
Orang perempuan bila dah sayang, maka cukuplah dengan seorang tu saja sampai bila-bila. Kalau nak dibandingkan sayang orang lelaki dengan sayang orang perempuan ni, orang lelaki lebih senang berubah perasaan ataupun sayangnya tergugat bila ada dugaan dan cubaan.
Sayang orang perempuan terhadap orang lelaki ni berserta dengan impian dan harapan.Ada tujuan dan keinginan yang ingin dicapainya dengan lelaki tersebut. Dia sanggup buat apa saja selagi dirinya disayangi oleh lelaki itu.
Tegur Untuk Kebaikan
Sebab tu la apa saja teguran dan nasihat dia adalah semata-mata untuk kebaikan.
Kebaikan lelaki itu dan juga masa depan dirinya. Orang perempuan takkan tegur pasangannya dengan niat untuk merendahkan, menjatuhkan dan menghukum tapi ianya sebagai ruang dan peluang untuk dibuat pembetulan dan penambahbaikan ke arah menjadikan diri lelaki itu lebih baik dari sebelumnya.
Dia juga akan dapat manfaat hasil daripada teguran dan nasihat dia yang membawa perubahan dalam diri lelaki itu.
Tak Nak Kehilangan Orang Yang Disayangi
Sebab tu kita orang lelaki kena fikir, isteri kawal pergerakan kita, jaga pergaulan kita, ambik tahu ke mana kita pergi, bila kita balik, dengan siapa kita keluar, disebabkan dia tak nak kehilangan orang yang dia sayangi.
Sayangnya dia pada kita tu bukan senang untuk diubah atau ditukar ganti melainkan jika dia dah tak diperlukan lagi.
Maka masa tu, dia sendiri yang akan angkat kaki berlalu pergi.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat.Kena faham kenapa orang perempuan bila dah sayang, sanggup berkorban apa sahaja dan tak sanggup kehilangan orang yang dia sayang.Namun perlu ingat, sayanglah berpada-pada, letakkan rasa sayang pada Allah dahulu yang lebih utama. Agar bila diuji ‘kehilangan’ tak terasa terlalu perit dan masih ada tempat untuk sandarkan harapan.
Sayunya hati ibu bila anak kecilnya disahkan disleksia. Ada ibu sanggup berhenti kerja semata-mata nak bantu dan beri tumpuan pada anak.
Bila mana anak Ezatul Marini Mohd Ghazali disahkan disleksia, ibu ini tak patah semangat. Diusahakan agar anak yang tak boleh bertutur secara normal itu dapat dipulihkan celotehnya.
Apa pun mak jangan susah hati ya, kerana anak disleksia ini ada keistimewaan yang tersendiri.
Ilmu Bawaan Dia
Syakir Naeim Khaizuzafarin. Anak disleksia kami yang dahulunya payah untuk saya terima kekurangannya. Bukan payah kerana sombong tetapi payah memikirkan apalah nasibnya nanti.
Dia dilahirkan 13 tahun dahulu. Comel, sihat, tiada apa yang kurang hinggalah kami sedar dia tidak boleh bertutur secara normal. Bayangkan hingga usianya mencecah 2 tahun, perkataan yang mampu disebutnya amat terhad. Dia lebih selesa gunakan kaedah menunjukkan pada objek yang dia maksudkan.
Dia juga mencipta sistem kod sendiri. Contohnya O.I adalah kod yang digunakan tiap kali dia lapar atau haus. Lama kelamaan kami juga terbiasa dengan kod ini hinggalah kala membawa dia ke temujanji bersama pakar, saya ditegur kerana tidak biasakan dia dengan sebutan sebenar.
Proses mengajarkan dia perkataan dan komunikasi hanya berlaku secara sistematik setelah kami bawa dia ke beberapa kali perjumpaan pakar.
Itu pun setelah guru besar sekolah minta kami bawa juga dia untuk diagnosis masalah pembelajaran dek kerana hingga hampir 6 bulan di tahun 1 dia masih ketinggalan terutamanya dalam aspek bahasa.
Mudah Selesaikan Soalan Matematik Yang Sukar
Suatu hari kami kesan satu kebolehannya. Dia mampu selesaikan soalan matematik yang agak sukar untuk anak- anak sebaya dia. Dia juga cekap lahirkan rasa dengan lukisan. Bermain dengan komputer? Itu enteng untuk dia.
Kami bawa dia menjalani ujian diagnostik di Persatuan Disleksia Malaysia.
Berulanglah kami setiap Sabtu dari Tanjong Malim ke Titiwangsa untuk kelas beliau dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.
Ini Yang Buat Anak Disleksia Ini Seronok Masuk Kelas Khas
√ Setiap minggu, dia seronok ke kelas. Dan kami mula mencari-cari apa faktor yang menyebabkan dia teruja.
√ Pastilah jumlah pelajar dan pengajaran lebih berfokus menjadi sebab utama.
√ Guru yang mengajar adalah guru- guru yang memang dilatih untuk uruskan anak- anak disleksia. Mereka lebih maklum keperluan dan kaedah membantu anak- anak ini.
√ Buat pertama kalinya, di pusat inilah, adik Naeim dilepaskan untuk mengikuti aktiviti luar, bermalam di Hulu Langat.
√ Pada masa yang sama, dia sudah kami tukarkan dari kelas aliran utama ke kelas pendidikan khas. Pertukaran ini sangat membantu perkembangan positif pembelajarannya.
√ Dalam masa kurang 5 bulan, dia mampu membaca dan di penghujung tahun 1 pengajiannya, saya terkejut bila guru maklumkan, dia berjaya mendapat kedudukan pertama dalam peperiksaan.
Saya dan guru kelasnya sama- sama mengalirkan airmata merenung perjalanan dia hingga sampai ke tahap itu. Untuk anak normal itu biasa sahaja, tetapi untuk anak berkeperluan khas, itu satu lonjakan besar.
Anak Disleksia Ini Hadir Untuk Mengajar Ibunya Tentang..
Percaya atau tidak, saya tonton filem Taare Zameen Par untuk belajar kaedah meransang pembelajarannya. Saya cuba kaedah melukis huruf atas tangannya agar dia rasa perbezaan bentuk huruf. Alhamdulillah percubaan kami berjaya.
Dia dikirim Allah untuk kami belajar banyak perkara:
1. Syukur – Kami belajar mensyukuri setiap satu kurniaan kecil dan besar yang Allah berikan kepada kami. Jika kami rasa ujian kami ini besar, ada orang lain yang lebih hebat ujiannya
2. Terima seadanya – Pernah rakan tanyakan “kak, macamana ye kak terima keadaan Syakir yang begitu?”. Jawapannya, terimalah seadanya. Allah berikan dia sebagai amanah, biar bagaimanapun kami perlu terima dan tunaikan amanahnya
3. Sabar – Tidak hanya kami yang perlu bersabar selama melayani dia, segala sesuatu yang berlaku pada dia mengajarkan sabar kepada ramai insan lain. Abang kakaknya harus sabar, kaum keluarga juga. Selain disleksia, dia juga mempunyai sedikit masalah “psychological behaviour”. Dia memilih untuk memberi respon kepada hanya beberapa orang tertentu yang memberi dia rasa selesa. Itu juga menuntut banyak kesabaran.
4. Allah ada – Allah ada, Allah mendengar, Allah melihat dan Allah yang berkuasa mengubah jalan cerita hidup hambanya. Kini Syakir sudah 13 tahun. Banyak perkembangan positif yang telah dia capai. Itu sahaja sudah meningkatkan rasa syukur dan pergantungan kami pada kuasa Allah s.w.t
Sesungguhnya Syakir memberi kami banyak pengalaman yang penuh warna- warni. Dalam usianya kini, dia sudah boleh membaca, namun masih ada sedikit masalah menyusun perkataan dalam membina ayat.
Dari seorang yang pendiam, dia kini banyak celotehnya cuma susunan ayatnya seperti ayat dalam buku.
Melalui dia Allah kirimkan kami sekeluarga ilmu yang mahal maharnya.
Sumber/Foto : Ezatul Marini, Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang Perak.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.