Berita

Bapa Along Spoon Sudah Reda Kematian Along,”Saya Sudah Maafkan Apa Yang Terjadi Dulu…”

Share

Bapa Along Spoon Sudah Reda Kematian Along, “Saya Sudah Maafkan Apa Yang Terjadi Dulu…” Bapa penyanyi terkenal era 1990-an, Allahyarham Along Spoon iaitu Shafiee Mohd Yusof, 75, mengaku sudah memaafkan individu disabitkan dengan kesalahan membunuh anaknya pada 26 Disember 1999.

Bapa Along Spoon Sudah Reda Kematian Along

Individu yang dimaksudkan ialah Mohamed Ya’cob Demyati yang juga bekas anggota polis. Shafiee atau mesra disapa Pak Engku berkata, dia juga sudah merelakan pemergian anaknya selepas hampir 25 tahun meninggal dunia biarpun pada awal sukar menerima kenyataan.

“Saya sudah maafkan Mohamed Ya’cob atas apa yang terjadi dulu. Ini semua adalah ketentuan Allah. Pada awalnya, saya rasa tidak boleh terima, tetapi itu kesilapan saya.

“Selepas sekian lama saya reda dan cakap ‘Ya Allah, kaulah yang paling berkuasa dan aku terima segalanya’,” katanya ditemui dalam satu majlis, di sini.

“Saya Sudah Maafkan Apa Yang Terjadi Dulu…”

Ditanya sama ada dirinya mempunyai keinginan untuk bertentang mata dengan Mohamed Ya’cob, Shafiee memberitahu, dia enggan berbuat demikian, namun terbuka sekiranya individu terbabit mahu berjumpa atau memohon maaf.

“Saya tiada keinginan nak jumpa. Hati ini sudah terluka, itu dia (Mohamed Ya’cob) punya hal. Tetapi kalau datang hendak minta maaf, saya terima dan tiada masalah.

“Kalau saya sendiri hendak jumpanya, mungkin tidak perlulah,” jelas Shafiee yang dilihat sebak saat berbicara mengenai Allahyarham Along.

Pada 16 November tahun lalu, Mohamed Ya’cob yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Along atau nama sebenarnya, Sabi’ul Malik Shafie dibebaskan dari Penjara Kajang selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.

Mahkamah Persekutuan dilapor meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada penjara 33 tahun ke atas Mohamed Ya’cob. Pindaan hukuman berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan tertuduh, iaitu pada 4 Januari 2000.

Dalam pada itu, Shafiee menegaskan, dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa dalam menentukan balasan setimpal terhadap individu terbabit.

“Setakat ini, Mohamed Ya’cob tiada datang minta maaf. Perasaan saya apabila pesalah sudah lepas tidak mengapa. Dia lepas di dunia, tetapi esok di akhirat jawablah.

“Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Kalau ikutkan, jika ketika itu saya sihat dan gagah perkasa, saya juga mahu tunggu depan penjara (pada hari Mohamed Ya’cob dibebaskan),” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Ya’cob yang juga anggota cawangan pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu, didakwa membunuh Along, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi 26 Disember 1999.

Allahyarham Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya sebelum itu dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.

Polis kemudian menemui rangka manusia diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Sumber: Berita Harian Harian Metro

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

“Rasa dunia ini milik akak…inilah respon gembira usahawan pandan yang terpilih menerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita X Nona di Malam Gala baru ini.
Kisahnya membesarkan 8 anak dengan air mata hingga hampir meracun mereka kerana tidak tahan dengan ujian tetapi akhirnya bangkit memerah keringat demi memberi pendidikan buat anak-anak.
Kisah usahawan pandan berjaya ini cukup memberikan inspirasi dan dirinya menitip pesanan buat ibu-ibu yang membesarkan anak sendirian.
“Pandanglah diri akak. Jadilah ia satu perkongsian kehidupan,” katanya yang tidak pernah menyangka menerima anugerah dari Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dalam hidupnya.
Malam gala Ibu Inspirasi dibawakan oleh @alkauthareduqids_hq, diserikan oleh @sabihahgoldhq

 

 

 

Published by
Has