Orang kata cukup mudah dan banyaknya pahala isteri bila setia dan sanggup berkorban untuk suami. Apa lagi golongan wanita yang bekerjaya walaupun penat dengan tugas-tugas di pejabat dan di rumah, dia pulun semuanya dengan redha demi mendapat pahala.
Namun bagaimana pula kesannya pada suami? Untuk tahu status sebenar bab status pahala seorang isteri, baca renungan daripada Ustazah Sharifah Zahidah ini…
“Banyak pahala awak dapat sebab sanggup berkorban tolong saya bayar itu ini segala bil dan belanja dalam rumah, jaga anak dan kerja 24 jam urus semuanya..” – Suami
“Banyak pahala awak dapat sebab duduk dengan MIL, ikut permintaan MIL dan suami. Dapat berbakti pada keluarga suami walaupun hati awak banyak tercedera..” – Ipar yang dia sendiri taknak duduk dengan maknya.
“Banyak pahala awak dapat sebab sabar dengan suami dan memaafkan segala kecurangan dan kekasaran dia.. InshaALLAH besar ganjaran awak..” – Kawan baik
“Banyak pahala awak dapat sebab redha kena kerja macam robot 24 jam dan tanggung perbelanjaan rumahtangga sama-sama dan jaga anak dengan sempurna…” – Mertua
Ads
“Banyak pahala awak dapat lahirkan dan besarkan anak-anak walaupun suami lepas tangan segalanya sedangkan awaklah ibu, awaklah bapa…” – Jiran
Kadang-kadang, pahala-pahala terkumpul sang isteri yang disebutkan – itulah saksi 1001 episod kegagalan suami memainkan peranan.
Walau Banyaknya Pahala Isteri, Tapi…
Dalam kita mengingatkan betapa banyaknya PAHALA yang si isteri dapat dalam baktinya, jangan lupa ingatkan juga betapa banyaknya DOSA yang suami dapat dalam lekanya.
Ads
Di saat isteri ditempa menjadi segagah lelaki sejati,
Si suami membesar menjadi semanja tuan puteri.
Di saat isteri memilih menjadi setabah Asiah sang permaisuri,
Lelaki menjadi seperti Firaun pada kerasnya hati.
Beginilah ALLAH memuliakan seseorang dalam satu ujian,
Dan ALLAH menghinakan seorang lagi dalam ujian yang sama.
Ads
Duhai suami,
Di saat kau meminta isterimu menjadi seperti Asiah pada sakitnya disakiti, namun tetap mentaati
Dalam tak sedar kau juga menjadi seperti suami Asiah, yang menjadi begitu keras hati, tak sedar istidraj ILAHI.
Suami yang kejam yang mendapat isteri yang cukup bersabar atas kekejamamnya.
Bukanlah suami yang beruntung, tapi suami yang malangnya menggunung.
Duhai isteri,
Keluarkan suamimu dari lena dan lekanya.
Sanggupkah kerana ‘kesabaran’mu yang diam menanggung segalanya,
Menjadi sebab utama suamimu kelak dibakar di neraka?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bahagia…! Semua orang perkahwinan mereka bahagia namun tak semua mampu menggapainya. Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.FB: https://www.facebook.com/Promind-Training-And-Consultation-136635193169189/
Bahagia Tak Semudah Diucap
Setiap orang mempunyai dua harapan apabila berkahwin. Pertama; mengahwini orang yang dia cintai. Kedua; bahagia hingga ke akhir nyawa. Ada orang yang sangat bertuah. Allah makbulkan kedua-dua harapan ini. Ada juga orang yang hanya dapat salah satu.
Berkahwin dengan orang yang dicintai tetapi hanya kekal selama tujuh hari. Ada pula yang berkahwin tanpa didahului cinta tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Itu juga pasti yang terbaik dan hanya Allah yang mengetahui rahsia dan hikmah kejadian itu.
Pilih Bahagia
Mengikut pengalaman saya sebagai Kaunselor Keluarga, wanita lebih memilih untuk bahagia walaupun tidak kenal berbanding mengahwini pemuda cinta hati tetapi hanya kekal tujuh hari.
Namun untuk bahagia ke akhir hayat itu tidak mungkin berjaya tanpa cinta dan kasih sayang. Untuk kekal untuk mencintai pasangan pasti ada senarai cabaran yang tersendiri.
Cakap memang senang tetapi bagaimana untuk terus mempertahankan perkahwinan itu sekiranya dilanda dugaan hebat? Itulah yang akan saya kongsikan dalam nota minggu ini.
Tahap Kegembiraan
Untuk cara yang pertama ini saya kongsikan dahulu hasil kajian penyelidik daripada University of Rochester. Mereka mendapati ada empat cara pasangan menerima sesuatu berita baik.
Seronok dan teruja.
Gembira tetapi tidak ditunjukkan.
Tidak ada respons.
Meleceh dan memperkecilkan.
Penyelidik ini mendapati individu yang selalu memperkecilkan pencapaian pasangan mempunyai tahap kegembiraan yang rendah dalam perkahwinan mereka.
Contohnya “Elehh..orang lain pun beli juga kereta. Kereta baru lagi. Bukan kereta ‘second hand’ macam kereta Abang ni”.
Bahagia Tapi Tak Tunjuk
Suami mana yang tidak sakit jantung dapat isteri macam ini? Apa yang mengejutkan ialah rasa gembira tetapi tidak ditunjukkan kepada pasangan juga tidak elok untuk mencapai kebahagiaan. Maknanya kita tidak boleh hanya simpan rasa seronok itu dalam hati.
Hanya individu yang seronok dan teruja apabila pasangan mereka gembira atau mencapai kejayaan boleh menjadikan pasangan bahagia. Oleh itu selepas ini jangan malu-malu lagi. Raikan kejayaan dia. Dia gembira dan anda juga bahagia.
Bila Diri Dihargai
Tidak ada perasaan lebih berbunga selain perasaan apabila diri dihargai. Suami dan isteri mempunyai peranan saling melengkapi. Alangkah bahagia pasangan yang menghargai peranan pasangan mereka.
Dengan ucapan ‘terima kasih’, senyuman atau apa sahaja yang menunjukkan penghargaan pasti akan membuatkan pasangan rasa bahagia. Sebagai contoh suami memuji masakan isteri dan isteri mengucapkan ‘terima kasih abang’ apabila suami selesai mengemop lantai pasti mengikat pasangan itu hingga ke akhir hayat.
Sambutlah Suami
Bagaimana pula pasangan yang tinggal bersama? Pejabat mungkin berbeza tetapi setiap hari tentu masing-masing kembali ke rumah yang sama. Adakah semasa berpisah di waktu pagi isteri datang mencium tangan suami? Adakah setelah balik waktu petang suami senyum lalu mencium pipi isteri? Atau masing-masing naik kereta sendiri dan tidak kisah bila suami atau isteri mereka pulang dari pejabat hari itu?
Sebab itu dalam Islam disuruh isteri menyambut suami di muka pintu. Sediakan air atau minum petang bersama. Itu jika isteri tidak bekerja. Jika isteri bekerja pula tentu suami boleh belikan sedikit juadah minum petang dan janji sampai di rumah untuk minum petang bersama isteri.
Krisis Bermula Dari Isu Kecil
Saya selalu kata krisis rumah tangga selalu bermula daripada isu yang kecil-kecil. Saya juga kata kebahagiaan rumah tangga datangnya daripada perkara kecil-kecil yang dibuat bersama. Suami siang ikan dan isteri gorengkan. Hujung minggu keluar berjoging bersama. Atau sesekali keluar tengok wayang berdua. Perkara-perkara kecil yang dibuat bersama inilah yang menghantar mesej di dalam minda bawah sedar bahawa pasangan kita dekat di mata dan dekat di hati.
Baru tinggal kejap anak dah menangis, inilah perangai anak suka berkepit dengan ibunya. Bukan tak ada orang lain pun, kadang walau suami ada di sisi tetapi si kecil itu tetap rasa tak selesa dengan orang lain.
Agaknya kenapa jadi situasi ini?
Haaa… nak tahu lebih jelas tentang anak yang jenis tak boleh berenggang ini, jemput baca perkongsian Doktor Taufiq Razif.
KISAH ANAK YANG TAK BOLEH BERENGGANG
Si Solahuddin ni memang cepat cuak kalau Ummi dan Abinya tak ada depan mata. Mula la nak meraung dan menangis.
Ummi dia nak pergi tandas je pun dia meraung sampai satu taman boleh dengar! Bila nampak je Ummi dia, dia terus berhenti nangis dan sengeh-sengeh macam tak ada apa yang berlaku!
Tuan Puan, ini lah namanya SEPARATION ANXIETY.
Nak taknak kita kena terima inilah ujian sebagai ibubapa. Benda ni normal je sebab anak kita tak faham lagi tentang ‘ Object Permanance ‘. Bagi mereka, apa yang tak ada depan mata tu, memang tak ada!
Tak boleh nak salahkan mereka juga sebab tu memang fasa perkembangan anak umur 8 bulan hingga 2 setengah tahun.
Apa yang kita kena tahu bab SEPARATION ANXIETY ni?
1. Tu sebenarnya tanda yang bagus sebab tu bermakna anak kita dah develop attachment dengan kita. Sayang sangat la tu kononnya.hehe
2. Separation anxiety ni biasanya akan hilang sendiri asalkan kita pandai yakinkan anak kita bahawa ketiadaan kita tu tak menyakitkan emosi mereka pun
3. Sebelum nak tinggal anak ke pengasuh kena la cukupkan dulu keperluan fisiologi mereka. Bagi susu dulu ke mandikan mereka dulu ke. Baru la mereka tenang sikit nak ditinggalkan pun.
4. Jangan mungkir janji! Kalau cakap nak pergi sekejap, kena pergi sekejap je. Anak cuma akan develop confidence bila dia tahu kita takkan mungkiri janji kita je.
Tolong ajar ilmu ni pada mak ayah yang belum tahu ye. Ilmu ni sangat-sangat penting pada mereka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin memberikan tumpuan pada keluarga. Namun, apakah ada terselit rasa ‘tak ikhlas’ bila terlalu dibebani dengan hal rumah tangga? Bahkan ada yang rasa benci bergelar suri rumah.
Ikuti kupasan daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Kerja Rumah Yang Tak Habis-habis
Bosan hidup sebagai suri rumah? Mahu lari daripada keserabutan kerja-kerja rumah yang tak ada habis-habisnya? Benci dengan persekitaran yang seolah-olah menenggelamkan bakat dan kebolehan anda?
Hati sentiasa merungut: “Kalaulah aku tak berhenti kerja… kalaulah aku boleh kumpul duit gaji selama sepuluh tahun ini, mesti dapat beli sebuah rumah. Orang lain senang-senang pergi melancong, shopping online sebab duit sendiri. Aku pulak menadah simpati, tak habis-habis kena jeling suami!”
Sisa Keikhlasan
Di sudut hati seorang isteri sebenarnya masih ada keikhlasan yang disimpan bahkan ketika orang lain tidak menghargai dia masih setia menjaga rumah tangga. Namun bukanlah manusia jika hatinya selalu bersih, suci, ikhlas, taat, ada kalanya seorang isteri mengalami kemurungan.
Kita adalah manusia lemah, perlu suntikan motivasi untuk hidup lebih bahagia. Isteri yang beriman akan cari jalan Tuhannya dengan harapan jiwa akan sembuh bila mendengar nasihat Tuhan. Kalau Tuhan tidak mahu didengari, siapa lagi yang mampu menyelamatkan kita?
Apakah nasihat-nasihat yang boleh kita kutip dan lekatkan dalam hati menjadi hiasan keindahan budi pekerti seorang suri?
Cukuplah Allah bos kita
Bila hati rasa malas, suka marah-marah, tiba-tiba rasa nak nangis, cuba ingat saat itu Allah SWT sedang memandangmu dengan pandangan kasihan. Allah SWT juga mendengar dan membanggakanmu di hadapan malaikat-malaikat-Nya jika kamu bersabar dan mengharap pahala.
Allah SWT pasti memberi apa saja doa yang kamu minta, jika kamu yakin. Bacalah ayat Allah ini dalam hati: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja keras, kelak pasti kamu akan bertemu Tuhanmu kemudian kamu mendapat balasan dari apa yang kamu telah usahakan itu.” (Surah Al-Insyiqaq ayat: 6)
Jangan dianggap suri rumah itu bukan kerjaya, Allah SWT mengiktiraf para suri rumah sebagai pekerja-pekerja-Nya, kita kerja untuk bos di atas langit, upahnya tidak terhitung banyak, berapalah gaji budak pejabat dibandingkan kerja dengan Tuhan? Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan balasan syurga.” (Surah al-Taubah ayat: 111)
Kerjaya yang paling dicintai Allah SWT.
Ramai muslimah yang mengeluh, semasa buat solat sunat anak merengek minta susu, ketika mengaji anak kacau, nak menuntut ilmu akhirat dengan ustazah tapi anak-anak tiada orang jaga, nak sedekah tapi keperluan anak lagi banyak, sedih sebab tak dapat cari duit buat sedekah.
Sudahlah amal sedikit, ibadah rasa tak sempurna, ini yang menyebabkan ramai muslimah stres. Rasa kosong, jahil, lemah iman. Hakikatnya, kerja-kerja rumahtangga seorang isteri itu adalah amal solehnya bahkan dia layak mendapat kecintaan Allah SWT.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling memberikan manfaat pada orang lain. Adapun amalan yang paling dicintai Allah adalah membuat orang lain bahagia, mengangkat kesusahan orang, membayar hutangnya atau menghilangkan laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku untuk menolong hajatnya lebih aku cintai daripada iktikaf di masjid ini (masjid Nabawi) sebulan penuh.” (Hadis al-Tabrani dinyatakan hadis ini Hasan oleh Syaikh al-Albany)
Bukankah kerja-kerja ini adalah yang dilakukan seorang suri rumah? Betapa selama ini kita jahil dan tidak menghargai nikmat sebagai isteri dan ibu.
Takut Allah SWT tidak menerima amal
Ramai isteri suka ungkit jasanya kepada suami, kononnya dia nak ajar orang yang tak pandai bersyukur. Biar suami tahu betapa besar pengorbanan isteri, bila suami ungkit pula mesti kita sakit hati, bukankah saling ungkit itu boleh hanguskan pahala?
Kalau isteri sudah naik geram sampai tak sedar apa yang diucapkan lidahnya: “Awak beringatlah, kalau tak ada saya awak tak akan dapat pangkat tinggi, saya korbankan kerjaya saya untuk jaga anak-anak awak, jadi bibik kat rumah ini, awak dapat gaji besar, saya dapat apa? Kenapa awak kedekut sangat?”
Bila sebut perkataan mengungkit sebegini memang sudah pasti jawapan Allah SWT adalah amal soleh kita tertolak, sebagaimana firman-Nya: ”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan yang mengungkit-ungkit dan perbuatan yang menyakiti seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk (riak) dan dia tidak pula beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah ayat: 264)
Berhentilah Membenci
Jika isteri benci jadi suri rumah sepenuh masa, mungkin dia telah membuka pintu rumahnya untuk syaitan. Ditiupkan rasa benci itu, dihilangkan reda dan ikhlas dari hati isteri.
Berhentilah membenci apa yang Allah cintai, syurgamu adalah rumahmu, tempat turunnya rahmat Allah.
Rumah itu ‘bank’ pahalamu yang tidak pernah kosong, setiap kali kamu bekerja menjaganya sesungguhnya kamu sedang memenuhi buku akaun pahalamu. Wahai isteri jagalah syurga rumah tanggamu untuk mendapat syurga akhiratmu!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...