8.30 ujian rumahtangga

Bagi pasangan suami isteri pastinya mengharapkan kebahagian perkahwinan berkekalan hingga ke akhir hayat sampai ke syurga! Namun laluan sepanjang perjalanan tersebut bukanlah mudah, penuh onak dan duri serta badai melanda. Apatah lagi setiap pasangan, dugaan dan ujian dalam rumahtangganya berbeza. Sebaliknya, jika tak pernah lalui ujian sebegini, banyakkanlah bersyukur.

Jemput baca perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini antara jenis-jenis ujian yang sering dilalui dalam rumahtangga.

1. Ujian Mertua

Tak semua orang memiliki mertua yang baik. Ada yang terpaksa berhadapan dengan mertua yang selalu mencari salahnya, memandang kelemahannya dan mencanang kekurangannya. Hal kecil diperbesarkan mertua kerana mertua tidak boleh menerima dia seadanya. Untuk ujian ini, hanya ada 2 keadaan,

Pertama, isteri menceritakan layanan mertua kepada suami, suami juga nampak dan faham dengan situasi isteri, maka suami akan cuba menasihati ibunya untuk tidak berbuat sedemikian pada isterinya…jika orang tuanya masih meneruskan perbuatan itu, suami menjarakkan isteri dengan mertua untuk sementara waktu.

IKLAN

Kedua, suami menganggap isteri memperburukkan orang tuanya, suami tak nak dengar dan minta isteri jangan buat macam tu sedangkan apa yang dinyatakan isteri itu adalah perkara benar. Isteri dipersalahkan suami, suami tak nak faham dan memilih untuk menyebelahi orang tuanya 100%…untuk keadaan ni, hanya kesabaran si isteri yang menentukan berapa lama hubungan itu akan bertahan.

2. Ujian Ipar

Tak semua orang juga memiliki ipar yang baik. Ada pasangan, yang mempunyai ipar yang suka mencampuri urusan rumahtangga mereka. Apa yang mereka lakukan, ke mana mereka pergi dan apa yang mereka beli, semuanya ipar ambik tahu dengan tujuan untuk menyampaikan perkara itu kepada seseorang. Ipar kerap mencari salah pasangan adik-beradiknya kerana tidak serasi, tidak suka dan tidak puas hati kepadanya. Ipar mengawal rumahtangga abangnya, kakaknya atau adiknya hanya kerana satu perasaan yang dipanggil dengki.

3. Ujian Kewangan

Setiap pasangan pasti akan menghadapi ujian kewangan ini dalam beberapa tahun pertama setelah mendirikan rumahtangga. Dulu, gaji bulanan yang diperolehi hanya untuk perbelanjaan seorang, tapi kini berdua…apa yang suami makan, isteri makan…apa yang suami pakai, isteri pakai. Segala-galanya kena berkongsi…waktu ini, ada pasangan yang akan bergaduh sebab kewangan walaupun kedua-duanya ada pendapatan. Maka, perancangan sebelum dan selepas mendirikan rumahtangga sangat-sangat penting bagi memastikan kewangan setiap pasangan itu teratur dan terurus.

4. Ujian Anak

Expectation yang ada dalam setiap pasangan, iaitu bila berkahwin, kita akan dapat zuriat.Anak ini rezeki, dan bila rezeki, maka Allah s.w.t tidak berjanji bahawa kita akan dapat apa yang kita impikan itu dengan segera.Allah s.w.t nak kita usaha dan sabar…Allah s.w.t hanya akan bagi rezeki anak bilamana Dia merasakan pasangan itu sudah bersedia untuk menerima kehadiran anak itu disisi mereka. Ujian terbesar tentang anak ini ialah pertanyaan yang tiada hentinya daripada mereka yang berada di sekeliling pasangan tersebut. Pertanyaan ini yang akan membuatkan pasangan tertekan dan terbeban.

5. Ujian Kecurangan

Adakah kita dah mengenali pasangan sewaktu kita bercinta dengannya? Adakah kita betul-betul tahu luar dalam pasangan masa kita berkawan dengannya? Kita hanya akan mengenali siapa pasangan kita, perangainya dan tabiat pasangan bilamana kita dah sebantal dan sekatil dengannya. Dia mungkin ada mengenali orang lain sebelum berkahwin dengan kita, dia mungkin rapat dengan rakan sepejabatnya atau dia mungkin ada bekas kekasih dan kemungkinan dia masih berhubung dengan orang-orang ini sangatlah tinggi. Gejala kecurangan ini perlu dibendung di awal perkahwinan supaya ianya tidak berlarutan dan berterusan.

Akhir kalam, ada pasangan yang mampu menempuhi kesemua ujian-ujian yang dinyatakan, ada yang tidak…bagi yang berjaya, mugkin sekarang mereka dah bahagia…bagi yang tidak, mungkin sekarang mereka dah berpisah. Hanya 2 pilihan itu sahaja yang ada untuk sesebuah rumahtangga bila diuji Allah s.w.t.

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Setiap rumahtangga pastinya akan diuji dengan badai gelora, namun hanya kesabaran, kecekalan hati dan kematangan dalam perhubungan yang dapat menentukan ia sampai ke destinasi atau karam di pertengahan.Namun jika tidak pernah melalui ujian-ujian ini banyakkanlah bersyukur, betapa bertuahnya diri tak perlu melalui semua ini.

Sumber: Firdaus Shakirin