Banyak Mana Pun Silap Isteri, Maafkan Dan Hargailah Pengorbanannya Sebelum Ini

Share

Sebenarnya kalau mampu kawal emosi, semua orang tak nak pun bertikam lidah dengan pasangan. Tetapi disebabkan terlalu penat, terselit juga silap isteri sampai tertinggi suara pada suami secara tak sengaja. Lagi sedih, ada kes isteri tertidur dalam keadaan merajuk tanpa meminta maaf pada suami.

Tak semua tetapi realitinya memang ada isteri yang secara terang-terangan menunjukkan sikap tak hormat pada suami. Mengapakah perkara sebegini berlaku? Mari kita gali punca-punca yang boleh dikaitkan kepada permasalahan ini menerusi perkongsian saudara Amir Syahir

Selami dan Maafkan Silap Isteri

Menjadi isteri solehah pasti menjadi impian setiap wanita. Mencintai dan dicintai oleh seorang lelaki yang bernama suami. Saat akad nikah dilafazkan, syurga seorang isteri telah beralih daripada ibu kepada suami.

Seluruh hidup si isteri hanya untuk suami tercinta. Berjanji sehidup semati dan setia hingga hujung nyawa. Si isteri meninggalkan keluarga tercinta demi cintanya pada suami yang dinikahi.

Si isteri memasak, membasuh, mengemas tanpa pernah mengeluh sedikitpun. Dia tidak pernah meminta hadiah mahal untuk penat lelahnya. Melihat suami tersenyum riang sudah cukup membuat dia gembira.

40 minggu mengandungkan zuriat suami yang dicintai. Walaupun badannya letih dan penat, dia tidak pernah kisah. Naluri keibuannya begitu tinggi. Tiba masa si kecil menjenguk dunia, si isteri bertarung nyawa. Antara hidup dan mati melahirkan zuriat yang dikasihi. Saat menatap wajah comel si kecil, hilang segala sakit yang dirasai. Hanya air mata dan senyuman mampu menceritakan segalanya.

Ada Suami Tak Hargai Isteri

Namun, ada suami yang tidak tahu menghargai isteri yang telah banyak berkorban buat dirinya. Sedikit kesalahan si isteri begitu besar di matanya. Adakalanya dengan rakan-rakan, dia boleh bergaul mesra, memuji sana sini. Tetapi dengan si isteri?

Hargailah isteri korang. Walaupun banyak kekurangannya, terimalah dia seadanya. Dia cuma manusia biasa. Bersyukurlah kerana dia menerima kau sebagai suami sehidup semati. Sedikit kesalahan yang dilakukan isteri, tegurlah sebaik-baiknya.

Dia tak minta kemewahan dan harta benda yang menggunung tetapi perhatian dan kasih sayang korang.

Jangan menengking atau bermasam muka. Sesungguhnya dialah jodoh yang terbaik daripada Allah buat korang. Bukan wang berjuta menjadi dambaannya, cukuplah cinta dan setia seorang suami sehingga hujung nyawa.

Published by
Nadia