Pastinya semua insan mempunyai sisi gelap yang tersendiri. Sebenarnya untuk menjadi baik bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kekuatan iman, tambahan pula jika seseorang itu pernah terjebak dalam kancah gelap.
Bagi aktivis dan pendakwah bebas, Mohd. Khariri Mohamad Ramli, 43, atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Ery, dia bersyukur kerana mendapat hidayah untuk kembali ke jalan Allah sewaktu menunaikan umrah pada 2018.Malah kini dia gemar membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
Cikgu Ery yang juga selaku Pengasas Persatuan Kebajikan Darul Modahish (PKDM), ketika ditemui pada program Kecantikan dan Kesihatan anjuran PKDM bersama usahawan tempatan di Klang, baru-baru ini, telah bercerita tentang kisah silam, misi serta visinya.
Menurut Cikgu Ery, objektif utama dirinya menganjurkan program tersebut adalah untuk memberi laluan dan peluang kepada usahawan tempatan baharu yang ingin mengetengahkan produk masing-masing.
Program yang turut disertai oleh usahawan Fatimah Eco Cake, Angsa Emas Beaute dan Butik Pengantin Demelza itu juga bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih erat bersama dengan usahawan tempatan.
Cikgu Ery juga mahu menjadikan program tersebut sebagai platform untuk komuniti disayangi (golongan transgender) menjana pendapatan yang halal selain memberikan mereka ruang dan peluang untuk mengenali kehidupan yang lebih hakiki dan diredai.
Sering mengadakan program kecantikan dan kesihatan bagi menjalin hubungan dengan usahawan tempatan yang baru menapak dalam bidang perniagaan.
“Saya sebagai pengasas PKDM turut mengeluarkan produk-produk yang dihasilkan oleh komuniti disayangi dari Ipoh, Perak. NGO (pertubuhan bukan kerajaan) saya bukan saja membantu komuniti disayangi malahan membantu sesiapa jua terutama anak-anak asnaf dan yatim serta kerja-kerja kemasyarakatan.
“Penubuhan NGO ini adalah untuk membantu rakan-rakan saya terutamanya mereka dari komuniti disayangi yang masih lagi mencari pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini dengan mewujudkan pasukan jana ekonomi.
“Sebab itu saya harus melangkah ke hadapan untuk memberikan ruang dan peluang kepada mereka dalam menjana pendapatan yang halal. Saya punya visi dan misi bukan untuk komuniti disayangi saja, malahan untuk anak-anak kecil” ceritanya terus terang.
Baca Disini Juga:
Keith Foo Tidak Tahan Sebak, Semakin Aktif Hulurkan Bantuan Misi Kemanusiaan & Amal
Bimbang, Andai Tak Bangun Semula Esok, Neelofa Buat 4 Amalan Ini Sebelum Tidur
Bersama usahawan Fatimah Eco Cake (kanan) dan Butik Pengantin Demelza yang memberi sokongan kepada programnya baru-baru ini.
“Sebagai seorang aktivis dan pendakwah bebas, bagi saya inilah peluang untuk mengetengahkan produk usahawan tempatan di samping menarik mereka untuk membantu menggiatkan lagi kerja-kerja dakwah saya.
“Kerja dakwah saya ini bukan saja tertumpu pada komuniti disayangi, malahan ia meliputi segala aspek termasuk, gelandangan, anak yatim serta asnaf seperti yang saya lakukan sekarang ini.
“Sekarang saya mengajar tuisyen secara percuma kepada anak-anak yatim termasuk menyantuni rakan jalanan dan sebagainya. Sebab itu, perancangan saya adalah untuk menjalin hubungan yang lebih erat dalam kalangan usahawan tempatan,” katanya yang merupakan guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Moral dan Seni.
Beliau turut menyimpan impian untuk menubuhkan sebuah rumah perlindungan di Ipoh, bagi membantu penghidap HIV dan mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya pilih Ipoh kerana di sana belum ada lagi rumah perlindungan sebegitu berbanding di Selangor. Untuk menubuhkan rumah perlindungan tersebut, saya perlukan sokongan ramai dan sebab itu saya buat acara begini.
Sifat Cikgu Ery yang ramah memudahkan dirinya mendekati masyarakat setempat.
“Sekarang ini Jabatan Agama bagi setiap negeri berbeza-beza, bahagian zakat juga tidak ada peruntukan untuk komuniti disayangi. Sebab itu saya kena bangun dan tak boleh meminta kerana masalah itu tidak akan selesai.
“Dengan izin Allah, saya dapat idea untuk memberi ruang kepada usahawan menjana pahala dan di waktu yang sama, saya dapat membantu rakan-rakan senasib seperti saya.
“Apa yang penting misi saya sekarang adalah membantu komuniti disayangi dan usahawan tempatan serta sesiapa jua yang mempunyai kaitan dalam misi dakwah saya,” jelasnya yang memerlukan kos kira-kira setengah juta untuk membina dan menyediakan peralatan untuk rumah tersebut.
Cikgu Ery tidak menafikan dalam usahanya untuk melakukan kebaikan, ada juga pihak yang akan menggali semula kisah silamnya. Baginya, semua itu adalah satu motivasi untuk dirinya menjadi lebih kuat di masa akan datang.
“Sebab cemuhan itulah yang menjadikan diri saya sentiasa sedar dan berpijak di bumi nyata. Bahawasanya, saya harus menjadi contoh dan ikon yang terbaik kepada generasi baharu. Kita tidak boleh nak mendidik seluruh masyarakat dan menyedarkan mereka yang kita ini sudah berubah. Walau apa sekali pun persepsi negatif tetap ada.
“Namun saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak, saya sentiasa memaafkan mereka walaupun keperitan dan kesengsaraan itu tetap ada. Saya ambil itu sebagai satu anjakan paradigma untuk saya lebih berjaya di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Cikgu Ery yang berubah sendiri tanpa paksaan. Katanya, jika seseorang itu berubah dengan hati yang tulus ikhlas, insya-Allah, Allah akan membantu.
“Saya berubah dengan hati yang tulus ikhlas kerana Allah. Tidak ada paksaan, jadi sebab itu bila saya berubah dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang ini, maka saya pun mendidik, membimbing dan cuba membantu rakan-rakan saya dengan strategi begitu,” katanya.
Jelasnya, dalam berdakwah, dia tak mampu mengubah seseorang, sebaliknya hanya boleh membimbing mereka. Pada waktu sama kita boleh memberi mereka ruang dan peluang untuk mengenali Islam dan Allah serta mencari kehidupan yang lebih terjamin.
“Kadang-kadang jiwa yang berubah ni ada masanya cepat tersentuh. Bila keadaan tertekan, dia perlu ada seseorang pemberi dorongan seperti saya. Sebab itulah saya cuba yang terbaik.
“Bila saya sudah berhijrah, saya bertekad dan berazam di Tanah Suci sewaktu umrah, untuk membantu sesiapa jua, saya bagi anak yatim percuma (mengajar) sebab itu adalah jiwa saya.
“Selepas berubah ni saya suka tolong orang, tapi kadang-kadang bila nak tolong orang ni, macam-macam orang fikir. Apapun, saya terima sebab ini adalah cabaran saya. Bila sudah berhijrah ini, ramai yang tak kenal saya, maklumlah saya ni bukan seorang jutawan, hanya pendakwah bebas saja,” katanya yang turut mengajar mengaji al-Quran dan Iqra, selain akademik secara percuma.
Sumber Foto: Koleksi Peribadi Cikgu Ery
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita