Kerohanian

Banjir, Amalkan Baca Doa Munajat Seperti Diajar Rasulullah SAW

Share

Hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir terutama di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. Musim hujan yang luar biasa merupakan ‘perkara biasa’ yang berlaku setiap kali hujung tahun.

Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat. Selain peka dengan keadaan semasa, bersiap sedia menghadapi banjir dan sebagainya, sebagai umat Islam kekuatan kita adalah dengan cara berdoa kepada ALLAH.

Banjir, Amalkan Baca Doa Munajat Seperti Diajar Rasulullah SAW

Melalui hantaran dilaman Facebook, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkongsi doa yang boleh diamalkan ketika musim banjir.

Nabi Muhammad SAW pernah berdoa atas permintaan seorang lelaki yang bertemu dengan baginda agar ALLAH menghentikan hujan. Ini kerana harta benda, jalan-jalan, tanam-tanaman dan haiwan ternakan banyak yang rosak dan binasa.

Maka Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” Riwayat al-Bukhari.

Maka berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar ALLAH SWT mengalihkan hujan ini ke tempat-tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan.

Selain itu, terdapat sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya berkaitan doa ketika turunnya hujan. Daripada Aisyah R.anha berkata,

Ketika Rasulullah SAW melihat hujan, baginda berdoa:

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” Riwayat al-Bukhari

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa yang disebutkan di dalam ini adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan. Tujuannya bagi menambah kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudarat.

Banyakkan berdoa kepada ALLAH ketika dilanda musibah. Amalan ini amat dituntut oleh syarak. Moga ketika musim-musim hujan lebat seperti sekarang ini kita dilindungi oleh ALLAH daripada segala bala dan musibah.

Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

 

Published by
Has