Dahulu, dialah paling rapat, peneman dan teman berbual setiap kali ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih muih. Dialah juga orang pertama yang akan merasa masakan ibunya.

Memori-memori inilah yang akan dikenang dan tidak dapat dilupakan bagi seorang ibu, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun, terhadap anak keduanya, anak yang paling rapat, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 19 tahun.

Kini, anak manja dalam keluarga ini hanya terlantar di katil, tidak mampu berbuat apa-apa dan perlu diuruskan oleh keluarganya. Semua ini akibat kemalangan yang berlaku empat tahun lalu.

Nampak Perubahan

Menurut Raja Rasiah, kemalangan itu berlaku pada 16 November 2015, semasa Mohd Amier Firdaus atau dipanggil Abe Ngoh berusia 15 tahun.

“Saya boleh katakan Abe Ngoh seorang anak yang baik. Habis sahaja sekolah, dia akan terus pulang ke rumah dan kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.

“Namun, dua hari sebelum kejadian tersebut, Abe Ngoh ada menunjukkan kelainan dengan berpakaian serba baru, sehinggakan saya sendiri tertanya-tanya dengan gayanya itu.

“Pada hari kejadian itulah, Abe Ngoh meminta izin pada saya untuk keluar bersama kawan-kawan ke tempat perkelahan di Telaga Bijih, Batu Gajah. Tanah Merah. Mereka menaiki dua buah motosikal. Sampai di tempat itu, Abe Ngoh hanya membasuh muka dan terus mengajak kawannya pulang. Katanya, dia ingin pulang untuk makan nasi di rumah,” cerita Raja Rasiah tentang kejadian itu.

‘Bangunlah Abe Ngoh..’ Ibu Sakit Jantung Rayu Bantuan Anak 4 Tahun Terlantar Sakit

Dua Jam Tunggu Bantuan

Cerita Raja Rasiah lagi, semasa dalam perjalanan pulang itu, motosikal yang dinaiki oleh Abe Ngoh berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan. Bagi mengelakkan kemalangan, motosikal Abe Ngoh melencong ke bawah jurang.

“Bila terjatuh, kawan Abe Ngoh merangkak naik ke atas untuk meminta bantuan kerana sebuah lagi motosikal sudah meluncur ke hadapan. Cukup menyedihkan dalam tempoh dua jam, kawan Abe Ngoh cuba meminta bantuan orang yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang sanggup berhenti untuk menghulurkan bantuan. Ini kerana tempat kejadian itu adalah kawasan yang agak sunyi dan ramai orang tidak berani untuk berhenti di situ.

“Sehinggalah, ada seorang pakcik yang sanggup berhenti selepas melihat kawan Abe Ngoh menangis. Dalam tempoh menunggu bantuan itu, Abe Ngoh sudah tidak sedarkan diri.

“Mereka di hantar ke klinik berdekatan. Namun, selepas membuat pemeriksaan, doktor meminta mereka di rujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan. Melihat keadaan Abe ngoh yang tidak sedarkan diri, dia dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut. Pada masa itulah, kawan-kawan Abe Ngoh menelefon saya untuk memberitahu kemalangan yang menimpanya,” kata Raja Rasiah mengingatkan detik-detik itu.

IKLAN

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Di HUSM, Abe Ngoh dirawat selama empat bulan dan dalam tempoh itulah, dia langsung tidak sedarkan diri.

“Saya, suami dan anak-anak berkampung di hospital itu, kebetulan cuti sekolah dan sukar untuk saya dan keluarga berulang alik. Kereta menjadi tempat tidur kami anak beranak. Mungkin tiada rezeki kami, kereta kami telah dicuri ketika menjaga Abe Ngoh. Semua barang di dalam kereta lesap.

Bagai jatuh di timpa tangga. Selepas mendapat kebenaran untuk membawa pulang Abe Ngoh ke rumah, sekali lagi Raja Rasiah dirundung sedih kerana dihalau oleh tuan rumah sewanya. Maklum sahaja selama empat bulan, dia tidak balik ke rumah dan tidak mampu membayar sewa rumah.

“Semua barang kami diletakkan di luar rumah dan ada barang kami di curi. Hanya yang tinggal barang-barang lusuh sahaja. Saya menumpang seketika di rumah kakak ipar di Tanah Merah. Lagipun, duit simpanan kami habis digunakan sepanjang berada di HUSM,” katanya dengan nada sedih.

Bina Hidup Baru Kembali

Bukan sahaja tiada tempat untuk berteduh, anak yang cukup disayangi terlantar sakit dan duit simpanan pula habis digunakan. Raja Rasiah seolah-olah bermimpi dan hilang segalanya dalam sekelip mata. Pernah satu masa, dia dan keluarganya tidak mampu membeli telur walaupun berharga RM2.

Dia tersentap dan perlu bangkit untuk membina hidup baru. Mujurlah dengan kudratnya itu, dia mencari rezeki dengan menerima tempahan kuih muih dan mendapat rumah hasil permohonannya dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Tanah Merah.

Di rumah itulah, dia dapat menjaga Abe Ngoh dengan lebih baik dan dengan sedikit wang yang dikumpul, dia bersama suami membuka gerai makan di depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu.

IKLAN

“Dengan rezeki berniaga inilah, anak-anak saya dapat ke sekolah dan membeli keperluan untuk Abe Ngoh,” katanya lagi.

Tidak Mampu

Berbalik kisah anak keduanya ini, Abe Ngoh yang sudah terlantar empat tahun, Raja Rasiah dapat melihat perubahan dan perkembangan Abe Ngoh.

“Dari sehari ke sehari, saya lihat keadaan dia semakin uzur. Mungkin kerana saya menyekat pengambilan susu khas yang perlu diambilnya setiap hari. Kalau dahulu, Abe Ngoh akan minum susu khas sebanyak lapan skop setiap empat jam sekali.

“Kini, saya terpaksa kurangkan kepada lima skop sahaja. Saya terpaksa buat begini kerana tidak mampu untuk membeli susu. Sekurangnya satu tin mampu bertahan selama tiga hari,” katanya yang bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk memberikan susu pada Abe Ngoh.

Tambah Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.

Jika sebelum ini, Abe Ngoh tidak menunjukkan tindak balas. Kini, ada sedikit perubahan, di mana dia akan terkejut apabila dengar bunyi yang kuat. Tetapi bila terkejut atau batuk pun dia boleh kena sawan.

“Bila dia terkejut itulah, saya akan cepat-cepat memeluknya supaya sawan tidak menyerang,” katanya lagi.

IKLAN

‘Bangunlah Abe Ngoh..’ Ibu Sakit Jantung Rayu Bantuan Anak 4 Tahun Terlantar Sakit

Anak Yang Baik

Ketika ditemubual melalui telefon, sempat penulis bertanya tentang perkara yang sangat dirindui semasa Abe Ngoh sihat sahulu.

Dengan nada sedih, Raja Rasiah mengatakan dia rindu saat-saat Abe Ngoh menjadi teman berbual semasa dia menyiapkan tempahan kuih muih. Dia rindu untuk melihat Abe ngoh merasa masakannya. Dia rindu untuk melihat Abe Ngoh datang dan baring di lengannya. Dia rindu untuk mendegar permintaan Abe Ngoh supaya dipotongkan kuku dan dibersihkan telinganya.

“Dia anak yanga baik, manja dan tidak pernah menyusahkan ibu bapanya. Dia sanggup berusaha mencari duit poket untuk membeli barang yang diinginkan,” katanya dengan nada sebak.

Harapkan Keajaiban

Ditanya keadaan Abe Ngoh yang hanya mampu terlantar itu, apa yang diberitahu oleh doktor adalah kerana dia terlalu lama dibiarkan tanpa rawatan semasa kemalangan tersebut sehinggakan oksigen habis dan tidak dapat disalurkan ke otak.

“Doktor memberi tempoh selama enam bulan untuk Abe Ngoh kembali sihat. Jika lebih daripada tempoh ini, semuanya atas keajaibanNya.

“Saya tahu, dalam tempoh empat tahun ini tiada perubahan yang berlaku pada Abe Ngoh. Tetapi saya tetap berharap dan tidak henti berdoa agar Abe Ngoh sedar kembali. Walaupun tidak sempurna, sekurangnnya dia dapat bercakap dan kenal ahli keluarganya,” katanya penuh pengharapan.

INFO

*Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2. Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.

*Raja Rasiah turut mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan. Manakala suaminya, Mohd Hijazi Ismail, 56 tahun, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.

*Bilik yang menempatkan Abe Ngoh sangat kecil dan muat untuk dirinya sahaja. Cuba berusaha untuk besarkan bilik tetapi masih terbengkalai.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI