Ada ibu bapa yang kurang senang dan membuat tuduhan melulu bila anak menantu balik beraya tapi tidur di hotel/homestay. Setiap kali hari raya, tidak kiralah hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, apa bila ada ahli keluarga yang menginap di hotel ataupun di homestay, pasti ada yang memandang serong.
Ustazah Asma’ Harun memberi nasihat kepada ibu bapa supaya memahami keadaan anak menantu. Dalam ketika bergembira menyambut hari raya yang mulia ini, mungkin ramai yang lupa dalam menjaga batas-batas yang disyariatkan dalam Islam.
Kita seolah lupa dan terlalu berseronok sehingga banyak larangan yang diabaikan. Hal ini kerana apabila sudah bercampur beramai-ramai, agak sukar untuk menjaga perihal aurat.
Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun yang mengupas tentang topik ini secara menyeluruh.
BALIK KAMPUNG TAPI TIDUR HOTEL/HOMESTAY
Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.
Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.
Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
Ads
Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, maka fahami dahulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.
Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita.
Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.” (HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
Ada sesetengah tak begitu yakin nak berniaga sebab takut rugi, padahal rezeki Allah yang bagi. BElum cuba tetapi terus fikir tentang ‘kekalahan’ dalam bisnes, risau sangat kalau tak ada orang beli.
Namun percayalah, kalau anda dah usaha dan yakin pada DIA, pasti ada yang akan jadi pembeli. Untuk ubah pemikiran anda yang masih takut-takut nak mulakan bisnes, baca perkongsian saudara Abu Hurairah Asifa ini…
Kisah Benar Seorang Peniaga
Saya pernah berniaga bazar.
Saya biasa berniaga bazar.
Saya dah rasa perihnya berniaga bazar.
Dari bangun awal.pagi, masak lauk sampai tengahari.
Lepas zohor, masukkan barang dalam van. Angkat khemah, kerusi, tray, alas, sudu dan macam-macam lagi.
Dah sampai bazar, susun pula satu-satu. Meja, kerusi, lauk pauk sampailah terduduk keletihan yang amat sangat.
Kadang matahari pacak atas kepala, kadang hujan membasahi semua.
Awalnya Tak Ada Pembeli Tapi…
Satu hari niaga, hujan lebat. Angin kuat sampai berniaga sambil pegang payung.
Dari pukul 3 sampai pukul 6 hujan tak berhenti. Orang yang datang tak perlu kira pakai jari. Sebab tak sangat ramai.
Peniaga lain dah mula bungkus.
Muka masing-masing hampa.
Kecewa lebih ramai sebenarnya.
Ada yang lempar balang air ke longkang. Marah gamaknya. Yang jual lauk.pun menung. Yang jual nasi ayam, nasi tomato, nasi briani lagi nanges.
Saya diam. Melihat hamparan lauk yang masih belum di beli. Ikan kembung segar dalam kari. Ikan pari masih berenang dalam asam pedas ni. Ayam tetap bergolek sana ke mari.
Akhirnya, tinggal saya sorang di bazar.
Benarlah Rezeki Allah Yang Bagi
Teringat mak pesan,
‘Berniaga ni, dia adalah usaha kita nak belajar percaya. Rezeki tu Allah yang bagi. Bukan orang yang beli’
Gelisah mat amin! dah nak pukul 7. Sorang pun takde.
“Bu, balik lah. Takde sape nak beli tu!”
“Kau niaga apa woi hujan-hujan! baliklah giler!”
Saya masih diam. Saya pandang langit, moga Allah kasihkanlah saya yang dah penat dari pagi.
Tiba-tiba tepat pukul 7.10 minit, sebuah kereta parking. Keluar seorang akak.
“Adik! Alhamdulillah, nasib baik masih ada lauk. Akak buat makan-makan untuk anak yatim kat rumah tu. Tapi katering tak sampai2. Boleh tak kamu hantar semua lauk ni? sempat lagi nak buka 7.30 kan?”
Nak nanges!
Allah balas kepercayaan ni…
Saya ajak semua lauk ke rumah akak
“Nah, RM500. Kalau kurang kira nanti ek. Lepas majlis habis. Rumah akak kat jalan 4, simpang kanan kampung sira.”
‘Baik kak!’
Saya angkat semua lauk. Saya tengok ikan kembong dan ikan pari menari-nari. Ayam lagi la hepi. Sotong udang berpelukan tanpa geli.
Allah, Engkau Maha pemberi rezeki buat kami!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Alahan mengandung atau morning sickness ni bukan boleh ditahan-tahan. Bila dia nak jadi, dia datang terus-terusan sampai tubuh isteri pun jadi lembik longlai.
Suami ini, Akhtar Syamirakui yang sebaik isterinya Nora Azni disahkan hamil baru-baru ini, alahan mengandung buat isteri tak mampu nak buat apa-apa.
“Amat menyedihkan juga bila ada yang kurang faham mengenai alahan nie. Mungkin dia tak alami situasi yang sama. Jadi ada yang beranggapan seperti orang yang mengalami alahan nie jenis yang manja dan tak kuat.
“Persepsi sebegini amat – amat perlu dikikis terutamanya jika ada para suami yang berfikir sebegini. Percayalah. Memang seksa sangat sebenarnya.”
Jadi dia berikan peluang isterinya berehat di kampung. Bawa sekali anak yang paling kecil. Sementara dia jaga anak sulung, Jasmine yang bersekolah.
Pengorbanan Anak Sulung
Sebenarnya inilah rutin yang selalu dilakukan setiap kali isterinya disahkan mengandung. “Cuma kali ini berbeza sebab yang sulung dah sekolah.
“Dulu tak apa boleh hantar kampung. Sekarang kena jaga anak yang sekolah. Yang kecil ikut maknya. Anak sulung saya sekolah KAFA pagi. Sekolah Kebangsaan petang.
“Setiap petang lepas kebangsaan dia kena ikut pergi tempat kerja sampai malam bila saya habis syif jam 11 malam.”
Inilah pengorbanan yang dengan rela hati dilakukan oleh suami yang bekerja sebagai Senior Supervisor Tol dan anak sulungnya.
“Khamis ini baru saya pergi ambil orang rumah. Alhamdulillah dia dah sihat.”
“Memang penting hantar dia balik kampung. Kesannya, cepat dia pulih dari alahan.
“Beza jika dia ada kat rumah sendiri. Dia akan mabuk. Terperap dan tak dapat nak uruskan anak sebab asyik di katil saja.
“Saya pun tak cukup tangan uruskan anak-anak dan dia. Bila saya pergi kerja, anak yang kecil akan ganggu dia.”
“Apabila balik ke kampung, mak dia boleh jaga dia. Semangat dia lain. Anak yang kecil pun bebas tak kacau mak dia sangat.”
Tambah Akhtar lagi kampung suasananya lebih bagus malah isterinya takkan rasa terperap. “Proses pemulihan dari alahan itu lebih cepat.
“Dia dapat rehat yang cukup, makan minum dia terjaga. Anak kecil itu pun atuk nenek dia boleh tengok-tengokkan.
“Cuma part saya yang jadi mencabar sikit sebab kena uruskan sendirian anak sulung ni. Anak sulung saya pun banyak berkorban masa dan tenaga. Dengan sekolah lagi, lepas sekolah kena ikut pergi tempat kerja.
“Ada sampai satu tahap pukul 8 dah tidur. Sebab penat sangat.”
Bagi meredakan hati anak, bapa anak dua ini akan bawa anak sulungnya keluar berhujung minggu. “Main itu ini dan bawa pergi ke rumah sepupu.”
Pesannya, bila seorang ibu mengalami alahan, apa yang ibu alami itu akan beri kesan pada semua. Semua perlu berkorban. Isteri dah memang sah-sah tengah bertarung dengan alahan, suami dan anak pun ada cabarannya juga.
“Rasanya ramai yang lalui benda yang sama. Cuma tak ramai yang kongsi je.”
Akhirnya Kami Tewas
Semalam sambil menangis, isteri saya minta saya menghantarnya pulang ke kampung. Dia tak dapat tahan lagi.
Terlalu kuat alahan kali ini. Seharian dia terbaring di katil. Mandi pun perlu bantuan saya. Makan langsung tak lalu. Minum sikit, muntahnya banyak. Tiada apa yang saya dapat lakukan untuk membantu isteri. Itu taknak, ini taknak. Kesian sangat kat dia.
Anak pertama dan kedua dulu lebih kurang begini juga. Bezanya kali ini perlu uruskan anak persekolahan Jasmine dan ditambah pula dengan karenah si Akbar. Nak masuk dapur pun tak boleh, muntah terus, jadi makan anak berdua tu tidak dapat diuruskan dengan baik.
Sudah semestinya saya telah cuba sedaya upaya untuk mengambil alih semua tugas harian isteri. Tetapi sejujurnya, saya tersangat kelam – kabut. Bagaimana dia boleh lakukan hari – hari pun saya tak tau.
Dari menyiapkan pakaian anak, makanan mereka, kemas rumah, basuh, sidai baju dan lain – lain. Saya kehabisan masa. 24 jam tidak cukup dalam sehari. Tidur pun tak menentu dengan kerja lagi.
Rezeki pula datang pada masa ni dengan permintaan Air Jagung Selambak yang tinggi. Memang kalau boleh beli topup masa, saya nak beli sikit. Masa jadi tak cukup, rumah jadi tak sempurna.
Bila benda sebegini terjadi, datang keinsafan diri betapa isteri tu melakukan semua perkara ini hari – hari tanpa mengeluh pun. Bila kita kehilangan keistimewaan ini, barulah kita rasa betapa susahnya menjadi suri rumah.
Akhirnya, sambil ditemani adik ipar, kami bertolak ke Tanah Merah, Kelantan pada pukul 11 malam tadi. Saya akan tinggalkan dia dan Akbar di sana manakala Jasmine akan pulang kembali bersama saya untuk meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Ini kali pertama kami melalui situasi begini : Si kakak akan saya uruskan dan si adik akan tinggal di kampung.
Selepas Sebulan Ini Yang Jadi
Hampir sebulan kami berdua bersama. Malam ni saya hantar Jasmine kat rumah adik ipar sebab diaorang nak balik kampung esok.
Susah dia nak lepaskan saya tadi. Dari masa kami sampai rumah tu dia dah peluk saya. Air mata tak berhenti mengalir. Saya tanya kenapa menangis. Dia kata rindu kat papa. Alahai. Papa ni gagah perkasa tau, tapi hancur lebur hati bila kakak cakap macam tu.
Kami setiap hari bangun tidur bersama. Bersiap untuk ke sekolah bersama. Tunggu van pun bersama. Makan tengahari bersama. Lepas tu petang pun ikut saya ke tempat kerja sampailah tertidur dan didukung pulang.
Tak pernah sekali pun dia mengeluh. Sayang betul dia kat papa dia, sanggup ikut ke sana sini. Kami sama – sama harungi pengalaman ni. Memang mencabar tanpa isteri dan ibu buat sementara waktu. Banyak yang kami pelajari. Alhamdulillah, syukur kami berjaya.
Esok pagi Jasmine akan pulang ke kampung. Ramai sepupu sepapat dia menunggu. Mesti dia seronok. Doakan perjalanan mereka selamat dan dipermudahkan. Nanti Khamis baru saya menyusul In Shaa Allah.
Bukan satu perkara yang mudah untuk ambil alih tugas suri rumah tau. Hargailah isteri anda. Mereka dapat buat semua benda nampak mudah. Tapi bila kita betul – betul cuba buat, baru tau kesusahan dia.
Bila suami anda bekerja dan terpaksa ke outstation, anda pula perlu ke pasar raya dan membawa anak-anak yang ramai. Allah… mana nak jaga anak, mana nak beli barang.
Mak anak 6 ini, Zaila Mohamad berkongsi tip keselamatan dan cara yang boleh mak-mak boleh praktik kalau dah terpaksa sangat keluar ke kedai atau pasar raya dengan ditemani anak-anak yang berderet.
Jangan Kongsi Status / Lokasi
Sebelum keluar memang aku akan bagitahu anak-anak suruh mereka bersiap. Setiap anak memang ada tugasan masing-masing. Contohnya Haziq akan siapkan adik-adik (pastikan adik-adik terutamanya si Aaliyah pakai kasut)
Husna akan siapkan botol air masak sebagai bekalan (nak jimat kan) dan sudah pastilah yang 3 orang lagi si Ashraf, Azzam & Arman memang tukang buat mama naik darah aje!
Sebelum keluar, hantar Whats App pada en suami bagitahu mahu keluar dan doakan kami anak beranak. Aku memang tak akan kongsikan lokasi atau gambar bila berada di luar, apabila sudah balik ke rumah baru muat turun gambar ke dalam Facebook.
Ini sebagai langkah privasi dan menjaga keselamatan keluarga juga. Kalau boleh duit ambil siap-siap dah, nak pergi ke pasaraya memang perlukan duit dan memang aku takde lah nak ambil duit di Plaza GM kalau hari cuti (sebab ramai orang beratur dan selalu kena cas RM1.06 sebab keluarkan guna mesin ATM MEPS) Ha ha ha Berkira!!
Jelaskan Undang-Undang (Rules) Kepada Anak-Anak
Alhamdulillah, walaupun pergi ke lubuk mainan (mana taknya kat situ segala jenis pemborong barang mainan ada) anak-anak tidak pernah mengamuk atau buat drama menangis berguling-guling atas jalan sebab nak kan mainan.
Sesekali ada lah bila Azzam Haneef tu yang minta belikan mainan tapi aku selalu buat tak layan. Anak-anak aku memang tak diajarkan dengan beli mainan sebab awal-awal lagi aku dah bagitahu yang “KITA AKAN KE GM KLANG SEBAB NAK BELI BARANG MAMA”.
Lagipun, aku tegaskan bahawa baik beli makanan daripada mainan. Ha ha ha Cuma kadang-kadang tu beli juga mainan kecil-kecil buat mereka untuk bagi semangat terutamanya Haziq yang banyak berkorban untuk jaga adik-adik.
Sebenarnya banyak lagi undang-undang seperti tak boleh beli jajan, tak boleh beli kasut roda, tak boleh beli Lego yang kadang-kadang membuatkan mereka putih mata sahaja melihat pameran mainan di sana 🙂
Kalau ke pasaraya seperti Subang Parade atau Aeon Big aku selalu jelaskan pada mereka yang aku hanya bawa RMXX jadi tak boleh nak beli barang yang bukan dalam senarai.
Kelihatan kejam tapi yang bagusnya mereka faham! Kalau yang sulung faham maka mereka akan menerangkan pada adik-adik dan mengelakkan adik-adik dari buat perangai juga.
Sentiasa Bersedia
Apabila kita seorang yang membawa kanak-kanak riang, maka kena sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang ada. Selalunya sebelum keluar pastikan mereka sudah makan kenyang-kenyang kemudian ada makanan sebagai umpan untuk anak-anak duduk diam di dalam kereta.
Perjalanan dari rumah ke Plaza GM Klang mengambil masa 20 minit sahaja. Selalunya di dalam kereta, sambil memandu aku akan membebel (lebih kepada memberi nasihat kepada anak-anak supaya memudahkan urusan mama nanti).
Sebelum keluar rumah juga aku akan Whats App pembekal untuk bungkus siap-siap barangan nanti. Jadi, apabila sampai memang terus tuju ke kedai pembekal sahaja.
Alhamdulillah setelah bertahun selalu berkunjung ke Plaza GM Klang, jadi aku sudah tahu lokasi parking yang sesuai untuk ibu anak ramai iaitu di bahagian parking bawah tanah sebelah lif.
Jadi, setiapkali berkunjung ke sini terus parking keluar kereta dan menuju ke atas kedai pemborong. Kalau pasaraya lain pun aku akan pastikan pergi ke tempat yang aku sudah biasa laluan dan lokasinya.
Macam semalam parking bawah tanah sebenarnya sudah penuh, jadi terpaksalah aku berlegar-legar sekeliling kawasan Plaza GM Klang tu. Alhamdulillah berkat doa anak-anak, sekejap sahaja pak guard datang buka untuk masuk parking ke kawasan tersebut.
Setkan “Buddy System” Untuk Anak-Anak
Sewaktu bekerja dahulu, semasa latihan kebakaran (fire drill) kami akan diberikan senarai nama pasangan kita iaitu dinamakan “buddy system” di mana jika berlaku kebakaran kita harus berlari turun ke tempat lapang dan cari di mana buddy kita berada.
Selalunya orang yang bekerja satu jabatanlah kan supaya senang nanti nak cari. Jadinya untuk anak-anak aku pun sama jugalah ; Haziq akan melihat Aaliyah, Husna pastikan Ashraf & Azzam berada dalam kawalan dan baby Arman aku yang jaga.
Tapi tengok keadaan juga, selalunya memang kena sentiasa lihat mereka, maklumlah Ashraf dan Azzam boleh tahan aktif juga, nak berlari lah, berlumba-lumba nak tekan lif.
Ya Allah memang kus semangat nak kejar mereka. Waktu macam ni memang tak boleh nak leka dan jangan nak mengadap telefon aje.
Selalunya kalau kami masuk lif, mata-mata lain akan kira berapa orang dan kalau ada makcik-makcik akan menegur “meriahnya pasukan” takpun ada yang akan cakap “ramainya anak”. Alhamdulillah aku terima aje, rezeki dan amanah dari Allah.
Haziq dan Husna memang banyak membantu dalam menjaga adik-adik. Untuk pengetahuan, aku ni seorang ibu yang garang juga, selalunya mereka berdua lah yang akan kena bebel sehingga lama kelamaan mereka faham akan tugas.
Tapi ada masa mereka juga selalu buat perangai tapi selalunya lepas kena marah (marah di sini bukan pukul tapi kena bebel) mereka akan minta maaf dan berubah jaga adik-adik.
Jangan Lepasi Limit Masa
Selalunya kalau keluar bersama dengan en suami ke pasaraya bersama anak-anak pun, kami memang ada had masa iaitu jangan lebih dari sejam kecuali kalau nak makan memang akan bertambah sejam lagi.
Bukan apa, awal-awal sampai mereka akan berlari-lari kejar-kejar sebab terlalu teruja, kemudian tenaga mereka akan semakin berkurangan. Haaaa kalau sudah melepasi fasa lebih sejam, mulalah yang akan merengek lapar, sakit kaki dan tak kurang juga buat drama.
Jadi, untuk mengelakkan berlakunya kejadian sebegini, aku memang tak akan berada di Plaza GM Klang tu lebih dari sejam
Sebab itu, aku selesa berurisan dengan satu kedai pemborong sahaja. Datang ambil barang bayar dan turun ke aras Ground untuk beli makanan buat mereka kemudian terus balik.
Kalau ke pasaraya aku suka ke Subang Parade sebab tak sesak dengan anak-anak muda. Sesuai sangat untuk keluarga yang mahu santai-santai, kalau bawa mereka aku akan singgah ke MPH mencari buku kemudian mencari roti di kedai Roti Boy.
Semudah begitu aje untuk menggembirakan mereka. Anak-anak aku ni asalkan dapat keluar dari rumah pun sudah “enjoy”!
Selalunya selepas sampai di rumah baru aku akan muat turun gambar atau berkongsikan status di Facebook. Bukan mudah untuk berniaga apabila kita tiada pembantu dan anak pula ramai berderet.
Sewaktu Arman masih kecil aku memang berehat sebentar dari berniaga dan banyak fokus pada jaga anak-anak sahaja. Yang penting diri kita juga harus sentiasa positif dan tidak terlalu bergantung pada suami
Sedikit pun aku tak rasa hebat tetapi sangat bersyukur kerana pengalaman ini banyak mematangkan diri sendiri tapi ada lah sesekali mengadu domba penat pada en suami. Ha ha ha Biasalah itu strategi untuk menagih simpati 😉
Itu sahaja yang aku mahu kongsikan. Buat surirumah, perkasakan diri dan jangan takut untuk berubah! Anak ramai bukan halangan untuk kita keluar rumah bersiar-siar.
Dengan persiapan yang rapi, insya Allah segalanya akan dipermudahkan Allah. Ok, jom bawa anak-anak ke perpustakaan atau kedai buku. Pasti mereka akan gembira.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...