Balik Kampung Tidur Homestay, Tak Salah! Mintalah Izin, Elak Guris Perasaan Orang Tua

Share

Saat yang ditunggu bila balik kampung tentulah keseronokan bila dapat berkumpul adik beradik. Makin ramai adik beradik, makin meriah dan rasanya mahu penuh satu rumah dengan gelak tawa mereka.

Tak mustahil juga, walaupun adik beradik tak ramai, tapi penambahan anak cucu, ia tetap meriah juga. Maklumlah berkumpul adik beradik masa balik kampung mesti ada macam-macam cerita yang nak dikongsi.

Walau bagaimanapun, bila dah ramai adik beradik berkumpul, tentu ada ipar duai yang tak selesa untuk tidur di rumah orang tua. Sehinggakan ada sssetengah anak, mulalah ambil homestay atau ‘booking’ bilik hotel.

Tak salah pun, nak tidur hotel, tapi sebagai anak kenalah minta izin mak ayah, bimbang mereka terguris hati. Ada sebab-sebabnya anak nak kena tidur homestay atau hotel. Salah satunya tentang aurat ipar duai, anak-anak sepupu dan sebagainya.

Bca Artikel Menarik Lain Di Sini:Jangan DIPERLI Keluarga Ramai Berkumpul Tapi Tidur ‘Homestay’, Bukan Berlagak, Jaga Aurat!

Tiada Pertalian Darah Tidak Boleh Dipanggil Adik-Beradik, Bukan MAHRAM Kena Jaga Batas Aurat!

Info Lebih Menarik DI SINI

Balik Kampung Tidur Hotel

Seorang wanita yang lebih tua dari saya yang berjemaah solat, berbual lepas solat ketika saya berada di motor untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya dan hal anak tunggalnya.

Air mukanya berubah. Katanya, “Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini. Katanya tak cuti dan jalan jem. Takpalah, asal dia balik. Petang raya, dia kata nak pi rumah mentua dan tidoq di sana, di Kg Tongplu, dekat Pedu.

Saya tak kata apa. Tapi masa depa nak naik kereta, cucu saya bertanya mak dia, kita nak tidur di hotel semalam ka? Mak dan bapa dia diam tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliak mata pada anaknya.

Sampai di sini dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekong yang masih dipakai. Saya faham anaknya sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.

“Hinanya kami mak bapa dia. Bapa yang membesaqkan dia, yang mendodoikan dia dalam kain sentung, menepuk hingga lena dalam kelambu takut digigit nyamuk.

Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya hingga bertahun, disuap nasi hingga membesaq, hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami. Saya tahu, depa jijik tengok dapor saya, jijik bilik ayaq dan jambannya, jijik bilik tidur yang panas bertilam kabu.

Tapi depa tak sedaq mereka membesaq dengan keadaan itu, tapi hari ini depa pandang jijik. Itu sebab depa tak mau tidok rumah ibu bapa sendiri, mereka tidok hotel. Bukan tak ada tempat di rumah tu, kerana dia anak tunggal. Tergamak dia.”

TAK SANGGUP TIDUR DI RUMAH EMAK

Kesedihannya makin berlarutan.

Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja boleh melukakan hati ayah bondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja boleh mengguris hati emak ayahmu, tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka. Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharap yang sama di rumah ayah bonda.

Kita dibesar dengan kepayahan ayah bonda, sesekali laluilah kembali. Jika kita rasa tidak selesa di rumah ibu bapa, kenapa kita biar mereka hidup tidak selesa, kenapa tidak diupgrade rumah mak ayah seperti rumah kita.

Ingat kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ayah ibu yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita, tetapi hasilnya kita kaut semuanya, meninggalkan ayah ibu dengan hidup di rumah tuanya.

Apa juga perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnya dibeban kepada diri kita, bukan melarikan diri dari keadaan itu. Dalam kes ini, tidur di hotel kerana tak sanggup tidur di rumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.

Hidupkan Suasana Rumah

Jika anak-anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari mereka tidak akan mampu hidup bila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya, suatu hari nanti, mereka akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.

Betapa ibu ayah mengharap anak yang pulang sesekali, menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur dan sebagainya.

Jika terasa payah pun, biarlah demi menjaga hati emak ayah, janganlah merungut tidak sempurna itu ini. Mungkin emak ayah teringin naik kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara, mungkin mereka sedikit ingin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang, bershopping.

Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang baik kerana berkunjung mengerat silaturrahim, menggembirakan ayah ibu.

Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam ke hati ibu ayah yang akan memahat dosa yang besar.

Tidak salah tidur di hotel atau homestay jika keadaan rumah tidak muat kerana ramai, mohon izin dengan baik pada ibu ayah.

Mereka tentu memahami. Menipu itu ibarat bangkai, yang amat mudah tercuim busuknya, apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional, ibu ayah itu keutamaan. Ingat suatu hari nanti kita juga akan berada di situasi ibu ayah kita.

Mingguan Wanita : Tak perlu nak rasa jijik atau rumah kampung yang mak ayah kita tinggal kotor. Ingatlah, rumah itu kita membesar. Tapi kalau nak tidur hotel atau homestay atas sebab tidak muat adik beradik ramai. Beritahulah mak ayah, jangan guris perasan orang tua.

Sumber: Abd Ghani Haron

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora