
Bakal jadi nenek, Shiera kongsi tip pada anak sulungnya yang sarat mengandung. Masa berlalu tanpa disedari, Sharifah Shahirah atau lebih mesra dipanggil Shiera bakal bergelar nenek tidak lama lagi.
Anak sulungnya, Allisya, 25, kini sedang hamil lapan bulan dan Shiera bakal menyambut cucu pertama pada 1 Januari 2025. Sekadar info, Allisya ialah anak Shiera bersama vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt.
Shiera kemudian berkahwin dengan Zulkifli Azhari atau Ijoy pada 28 Februari 2003 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu AireIl, 19, Airra, 16, Audra, 14, dan Adeena,6.
Bakal Jadi Nenek, Shiera Kongsi Tip
Kurang dua bulan menyambut orang baharu, Shiera berkongsi tips memudahkan kelahiran dan berpesan kepada agar Allisya bersalin di Kuantan, Pahang.
“Tipsnya adalah minta dia banyak bergerak seperti saya sebelum ini, sehari sebelum bersalin pun saya masih bekerja.
“Selain itu, saya cakap yang dia kena beranak di Kuantan sebab nanti dalam kad pengenalan ditulis 06 (kod kelahiran di Pahang). Nanti bolehlah dapat banyak promosi. Selain itu, kita ikut sahaja ada aturan- NYA,” katanya.
Shiera juga meminta supaya Allisya berehat dirumahnya.
“Saya mintanya berpantang dekat rumah tapi tidak tahulah macam mana nanti.
“Kalau saya jaga dia pantang, bolehlah saya pun sama makan makanan tersebut untuk jaga badan,” ujarnya.
Baca Disini : Usia 48 Tahun Shiera Terima Menantu Sulung “Tahniah. Mak Pengantin Berseri-Seri”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Urat Hijau Kembang Di Kaki Bukan Sebab Ibu Tak Berpantang Lepas Bersalin, Ini Penjelasan Doktor & 6 Tip Mencegah

Isi Kandungan
ToggleUrat hijau yang kembang di kaki itu dipanggil Varicose Vein. Menurut Prof Dr Imelda Balchin, Professor and Consultant Obstetrician & Gynaecologist. Subspecialist in Maternal and Fetal Medicine di University Malaya Medical Centre menjelaskan keadaan vericose vein ini bukanlah diakibatkan tidak berpantang selepas bersalin, atau masuk angin kerana tak berpantang. Fahamkan perkongsian ini.
Jangan Rasa Bersalah Bila Tak Boleh Berpantang
Saya kesian tengok ibu-ibu yang ‘dipaksa’ berpantang selepas bersalin.
Ada netizen-netizen menulis dan mengadu kepada saya, yang mereka dimarah-marah kerana tidak berpantang, dan orang yang memarah ibu-ibu ini mencari pula masalah badan ibu-ibu untuk menyalahkan ibu kerana tidak berpantang. Ini lah yang saya kata ‘PERBUATAN YANG ZALIM’ keatas ibu-ibu kita.
Tahu kah anda, yang 40-hari berpantang itu ialah satu kemewahan untuk orang-orang yang berada. Bukan semua orang berkehidupan mewah.
Tahukan anda, yang hanya wajib dalam Islam ialah tidak membuat hubungan kelamin dengan suami selagi darah nifas belum kering (sampai had maksima 60 hari diberikan, bukan hanya 40 hari), dan boleh bersama suami lebih awal daripada 40 hari sekiranya darah nifas kering lebih awal dari 40 hari.
Benda-benda yang lain, semuanya bukan wajib. Yang penting ialah ibu-ibu diberi sokongan emosi dan diberikan sokongan dari semua ahli keluarga supaya ibu dapat menumpukan semua perhatiannya terhadap permintaan bayi yang baru dilahirkan. Mungkin juga sokongan emosi boleh mengelakkan masalah meroyan, tetapi saya tak berani nak kata sama ada pantang traditional boleh mengelakkan meroyan, sebab belum lagi jumpa kajian yang membuktikan yang kaedah berpantang tradisional boleh mengelakkan meroyan selepas bersalin. Tetapi, jika ibu itu rasa dirinya dipaksa, maka perasaan mereka tidak dihargai, jadi bagaimanakah nak mengelakkan meroyan jika hati ibu tidak gembira atau merasa tertekan?
Tahukah anda, untuk kesihatan ibu yang baru bersalin dan menyusu, mereka perlu minum secukupnya (3 Litre sehari), bukan menyekat keperluan kesihatan mereka. Kalau nak buat susu untuk bayi dengan secukupnya, ibu pun kena lah minum dengan secukupnya.
Tahukah anda, untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap, dan kalau nak mengurut ini lah tujuannya. Kalau tak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh membuat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.
Tahukah anda urat-urat hijau yang kembang di kaki tu (varicose vein) bukan disebabkan masuk angin. Ia sebenarnya bukan urat, tetapi saluran darah ‘vena’ yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung. Tidak ada angin di dalam saluran darah mahupun urat saraf di dalam badan kita. Orang-orang yang mengurut kena belajar sikit tentang sains biologi sebelum mengata macam-macam yang mereka tidak tahu.
Cara Cegah Urat Hijau Kembang Di Kaki
Untuk mencegah varicose vein atau untuk mengelak supaya ia tidak menjadi bertambah teruk, inilah panduan untuk anda:
1) Senaman yang kerap untuk membantu pengaliran darah di kaki.
2) Kurangkan berat badan melalui penjagaan pemakanan dan senaman. Lagi gemok badan kita, lebihlah lagi tekanan lemak badan dan berat badan kita ke atas vena kita dan ini melambatkan pengaliran darah dari kaki kembali ke jantung.
3) Elakkan berdiri lama-lama. Darah dari vena di kaki memerlukan bantuan otot kaki yang berjalan untuk mengepamkan pengaliran darah dari bawah ke atas bertentangan dengan graviti. Dengan sebab yang sama jangan duduk bersila, dan jangan duduk lama-lama sangat. Bangun dan berjalan. Walaupun anda pergi mengurut kaki dan badan, anda tidak boleh mengurut sepanjang masa. Satu-dua jam saja pengaliran darah sehari semasa mengurut, lepas tu duduk saja sepanjang masa itu masih tidak mencukupi.
4) Bila berjalan, elakkan memakai sepatu tinggi seperti stiletto. Ini menyebabkan perubahan posture badan dan melebihkan tekanan ke atas vena di kaki.
5) Bila tidur malam, tinggikan kaki sedikit di atas beberapa bantal supaya kaki lebih tinggi dari badan untuk membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung semasa kita tidur.
6) Boleh juga memakai setokin TED (thrombo embolic disease) atau compression stocking yang ketat semasa tidur atau jika terpaksa berdiri atau duduk lama, untuk membantu pengaliran darah yang turun ke kaki supaya balik kembali ke jantung.
7) Jika ada keraguan kerana varicose vein itu menggangu anda, rasa sakit, terdapat ulser di kulit kaki, atau bengkak kaki disebabkan varicose vein, silalah berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan untuk mendapatkan rujukan berjumpa dengan doktor bedah yang boleh mengikat dan menarik keluar vena itu jika perlu (ligation & stripping). Ada juga kaedah selain daripada pembedahan seperti endothermal ablation, radio frequency ablation, endovenous laser treatment atau ultrasound-guided foam scleroterapi, yang doktor boleh bincangkan. Tetapi selalunya doktor akan memberi nasihat 1-6 di atas dahulu juga, sebelum apa-apa rawatan. Dengan mengikut tips 1-6 di atas, masalah varicose vein boleh dielakkan atau dikurangkan supaya anda tidak memerlukan apa-apa rawatan.
Varicose vein ini bukanlah datang kerana akibat tidak berpantang seperti apa yang netizen mengadu kepada saya. Varicose vein bukan lah sebab masuk angin. Jadi, janganlah ibu-ibu rasa bersalah jika tidak boleh berpantang. Terutama sekali jika mereka yang memaksa anda adalah jurujual yang hanya bertujuan mengaut keuntungan.
ALL OUR MUMMIES ARE BEAUTIFUL, pantang or not.
Sumber/Foto: FB Imelda Balchin via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
BANJIR BALING: 3 Sekeluarga Termasuk Wanita Lumpuh Hilang Dihanyut Kepala Air!

Isi Kandungan
ToggleTiga sekeluarga termasuk seorang wanita menghidap penyakit lumpuh dan terlantar dipercayai hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling, petang Isnin.
Menurut Abd. Rahman Said, 71, mereka yang hilang ialah isterinya, Salmiah Md. Akhir, 53; menantunya, Nurul Hanis Md. Hassan, 23, dan anak tirinya, Muhamad Khairul Iqwan Nor Azman.
Rumah Lenyap Hanyut Arus Deras
Lebih mengejutkan, ketika tiba ke rumah, dia mendapati rumah yang mereka diami serta beberapa buah lagi rumah jiran lenyap kerana dihanyutkan arus deras.
“Pada pukul 4.50 petang, ketika berada di Pekan Kupang, saya dapat panggilan daripada menantu yang menyatakan air sungai telah naik dan masuk ke rumah jiran.
“Kemudian sekali lagi saya terima panggilan daripada anak yang tinggal di Pulau Pinang, namun saya merasakan rumah kami tidak dimasuki air kerana berada di kawasan yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.
Hanyut Belum Dijumpai
Abd. Rahman yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai berkata, dia selepas itu bergegas pulang namun lewat tiba memandangkan air banjir melimpah ke jalan selain deretan kenderaan yang bergerak perlahan.
“Ketiga-tiganya berada di rumah kerana isteri saya menghidap penyakit lumpuh dan terlantar. Mereka kini hanyut dan masih belum dijumpai.
“Saya berharap mereka dapat ditemui dengan segera walau dengan apa keadaan sekalipun dan saya reda dengan ketentuan Ilahi serta nasib yang menimpa kami,” katanya.
Minta Jaga Diri
Sementara itu, suami kepada Nurul Hanis, Mohd. Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan bercadang pulang ke kampung hari ini.
“Kali terakhir kami berjumpa pada minggu lepas, kami sentiasa berhubung melalui telefon dan pagi semalam dia teringin hendak makan pizza dan minta saya jaga diri baik-baik,” katanya.
Tambahnya, dia juga sepatutnya membawa isteri yang dikahwininya pada bulan Febuari lalu untuk pemeriksaan kandungan bayi mereka hari ini.
Baca Lagi Di Sini:Lumur Minyak Pakai Stokin, PETUA Elak Kulat Air & Kaki Kecut Terendam Banjir!
Artikel Menarik:Idea Bernas Projek RUMAH RAKIT Atas Darat, Waktu Banjir Terapung Elok!
Mingguan Wanita: Salam takziah buat semua mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir besar di Baling. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Sumber:Utusan, Astro Awani
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doa Asmaul Husna Selamatkan Ustazah Shadiya Dan Ustaz MK Azman Sekeluarga

Isi Kandungan
TogglePada bulan April 2018 lalu masyarakat telah dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa penceramah agama ustaz Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman bersama isterinya ustazah Shadiya Abbas dan dua orang anak mereka, Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya.
Mengimbas kembali kemalangan tersebut, ustaz MK Azman berkata musibah itu berlaku pada pagi Rabu, 11 April 2018.
“ Malam sebelumnya selepas kuliah di Gombak, saya mengambil kereta di bengkel yang terletak di Rawang. Lebih kurang pukul 2.00 pagi kami bergerak balik ke Kedah. Keadaan dari segi fizikal masa itu saya memang tidak cukup rehat. Tetapi kami mengejar masa untuk balik ke kampung mengambil emak yang mahu mengerjakan umrah.
“Kami singgah sebentar di Tg Malim untuk berhenti minum dan makan. Isteri mencadangkan agar saya tidur terlebih dahulu jika tidak larat. Tetapi saya tidak mahu. Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di Hentian Rawat dan Rehat Tapah, kami berhenti minum. Saya tidur seketika dan bangun semula untuk solat subuh.
“ Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan lori-lori. Dua kali terserempak dengan lori dan hampir-hampir jugalah kemalangan. Entah bagaimana pada kali ketiga, ketika saya hendak memotong sebuah lori itu, lori itu masuk ke arah kanan. Tidak sempat saya hendak brek, terus terlanggar belakang lori. Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi,” ujar ustaz MK Azman.
Hentaman itu menyebabkan Ustaz MK Azman dan keluarga yang terdiri daripada Ustazah Shadiya Abbas dan kedua anak mereka iaitu Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya tidak sedarkan diri.
“ Selepas perlanggaran saya tidak sedar tetapi saya mendengar panggilan daripada anggota Bomba yang datang menolong. Masa itu keadaan saya itu pejam mata tetapi mampu mendengar suara-suara di sekeliling. Ada yang beri salam dan suruh kami bersabar.
“ Saya jawab salam. Anggota Bomba itu tanya hendak telefon siapa ini. Saya minta dia telefon mak mentua saya kerana telefon isteri saya tidak dikunci. Anak saya yang berumur 7 tahun berada di bahagian belakang kereta manakala anak yang berumur setahun lebih berada di pangkuan isteri. Anak sedang menyusu ketika kemalangan berlaku.
Alhamdulillah setakat ini anak-anak kami itu tidak mengalami sebarang kesan daripada kemalangan yang telah berlaku. Anak saya sedar selepas kemalangan dan beritahu saya pemandu lori yang menolong dia keluar daripada kereta,” sambungnya lagi.
Akibat kemalangan itu juga telah menyebabkan ustaz MK Azman patah Sembilan tulang rusuknya. Dia juga mengalami pendarahan di kepala. Nasib baik tidak serius pendarahan tersebut. Manakala isterinya ustazah Shadiya cedera teruk di wajah dan lengan tangan kanannya patah. Keluarga mereka ini telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Bainon, Ipoh, Perak.
“ Saya masuk hospital pukul 3.00 pagi dan kemudian ditidurkan di ICU. Isteri juga di ICU. Kami berada dalam keadaan separa kritikal. Anak-anak pula selepas kemalangan itu telah dimandikan oleh jururawat. Mereka berdua kemudian telah ditidurkan,” tambah Ustaz MK Azman lagi.

Nampak cahaya putih
Daripada penceritaan anggota Bomba, ustazah Shadiya dan anak yang dipangku berada dalam kedudukan terperosok di bawah ketika mahu menyelamatkan mereka. Anggota Bomba terpaksa memotong kereta untuk mengeluarkan mereka. ustazah Shadiya tersepit manakala anaknya tidak.
Menurut ustazah Shadiya keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana ketika kemalangan itu dia sedang menyusukan anaknya. Dia bersyukur dengan keadaan tersebut.
“ Saya bersyukur kerana ketika kemalangan itu saya memakai tali pinggang keledar. Akibat hentakan saya menggelongsor ke bawah. Anak saya ikut sekali menggelongsor. Dalam keadaan tersebut saya tidak dengar bunyi tangisan bayi. Saya Cuma dengar orang bagi salam. Selepas itu dia suruh sabar. Masa itu saya hanya mampu panggil suami. Saya dengar respons dia. Dia hanya mampu jawab ‘huuh’. Dua kali saya tanya dua kali dia jawab begitu.
“ Semasa kemalangan itu saya tidak begitu yakin yang kami sedang telah mengalami kemalangan. Tidak rasa sakit Cuma rasa tangan tidak boleh bergerak. Ketika itu saya dalam keadaan tertanya-tanya apa yang berlaku. Masa minda dalam keadaan bercelaru itu terlintas satu doa dalam fikiran. Saya hanya ingat doa Asmaul Husna.
“ Saya teringat kalau sesiapa baca doa ini Allah akan makbulkan doa mereka walaupun hanya terlintas dalam hati. Saya baca doa dan minta pada Allah agar semua dalam kereta ini hidup selamat. Selesai baca doa, terus pandangan saya gelap. Saya tidak sedar apa-apa,” imbaunya lagi.
Akibat kemalangan lengan kanannya patah. Mukanya koyak. Hidungnya terbelah. Urat darah hidung putus. Daging bibir sudah tanggal. Doktor telah melakukan pembedahan plastik memperbaiki wajahnya. Kini sesiapa sahaja yang bertemu dengan dirinya sudah pasti akan dapat melihat parut pada wajahnya.
Cerita ustazah Shadiya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia dan suaminya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Anggota polis berkata sewaktu mereka menerima panggilan pertolongan ketika kemalangan itu ingat keluarga ini telah meninggal dunia.
“ Polis berkata lokasi kejadian kemalangan itu adalah lokasi kejadian berdarah. Di situ jugalah di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia. Jadi bila mengetahui kami hidup mereka terkejut sebab dua hari sebelum kejadian kemalangan kami itu, telah ada kemalangan lain yang melibatkan kematian.
“ Saya masih ingat lagi sebaik sedar daripada kemalangan saya perasaan tubuh kami telah diselaputi kaca. Persamaan kami ketika itu adalah kami terpaksa menelan serbuk kaca. Sewaktu di hospital apabila jururawat tanya bagaimana keadaan, saya tidak boleh kata apa-apa. Cuma pada masa itu saya rasa fikiran ini agak lapang sahaja. Saya sudah reda.
“ Masa itu saya sudah sedar yang saya telah mengalami kemalangan. Saya bertanya pada doktor adakah suami dan anak-anak selamat. Anak-anak saya hidup tak? Doktor risau kerana saya asyik bertanya soalan-soalan sama. Selepas itu jururawat memberitahu bahawa suami saya sedang dirawat di bilik sebelah. Manakala anak-anak telah dimandikan dan sedang tidur.
“ Terus saya senyap mendengar penjelasan jururawat. Doktor pula asyik bertanya nama saya siapa dan sebagainya. Dia bertanya begitu untuk melihat sama ada saya berada dalam keadaan waras. Daripada situasi itu saya banyak dapat pengajaran.
“ Semasa dibawa masuk ke hospital saya berada dalam keadaan Nampak dan tak Nampak sahaja. Semasa berada di ICU saya Nampak cahaya putih sahaja. Saya Nampak orang dalam bentuk bayang-bayang. Mujurlah walaupun kaca penuh di muka, kaca itu tidak masuk ke mata. Itu yang membuatkan doktor hairan,” jelasnya.
100 Jahitan Di Muka
Sehingga sekarang, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya masih menjalani proses penyembuhan. Pembedahan plastik memperbaiki wajah membuatkan ustazah Shadiya menerima 100 jahitan pada muka.
Parut di mukanya jelas kelihatan dan mengambil masa untuk sembuh. ustazah Shadiya berharap bengkak pada mukanya akan surut dan kembali seperti biasa.
“ Kami berdua kena reda sepanjang tempoh penyembuhan. Sekarang ini saya perlu melakukan rawatan fisio untuk tangan kanan yang patah. Saya yakin semua yang berlaku ini ada kebaikannya. Ujian ini datang daripada Allah.
“ Saya tidak rasa dukacita atau murung. Kita yakin benda itu berlaku sebab Allah hendak beri satu benda yang lebih baik. Saya yakin selain daripada itu faktor doa daripada orang lain sangat penting. Doa mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan doa orang yang mendapat manfaat daripada kita.
“ Doa orang yang mengenali kita tetapi kita tidak mengenali mereka. Doa sebab mereka berasa kasihan pada kita. Doa-doa ini sangat penting dalam hidup kita. Nasihat saya pada semua buatlah baik pada semua orang sebab kita tidak akan tahu siapa yang akan menyantuni kita,” pesannya.
Akhir kata, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya menasihatkan semua umat Islam agar mengamalkan doa membaca naik kenderaan setiap kali keluar rumah.
“ Kalau kelalaian itu daripada kita atau daripada faktor ketiga yang tidak disangka, doa itu penting. Sebagai orang Islam doa itu senjata kita kerana ia mampu menghalang benda yang kita tidak boleh kawal,” akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Ustazah Shadiya Abbas
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI