Baju Melayu Untuk Anak, Masih Relevan Atau Membazir...Apa Kata Ayah?

Masih di dalam mood hari raya. Walau pun dalam tempoh PKP, namun rasanya Aidilfitri tahun ini tetap disambut meriah walau pun hanya bersama keluarga masing-masing di rumah. Lengkap berpakaian tradisi walau pun mungkin bukan baju yang baru dibeli. Bagi yang lelaki, berbaju Melayu lengkap bersamping, bersongkok bahkan ada yang bertanjak. Wah, segaknya!

Pemakaian Baju Melayu pada hari raya sudah menjadi satu kemestian. Bagaimana pendapat anda? Apakah relevan dibelikan Baju Melayu untuk anak-anak sedangkan mungkin mereka pakai sekejap sahaja? Atau lebih elok beli baju kemeja atau t-shirt, boleh dipakai pada bila-bila masa.

Baju Melayu Untuk Anak, Masih Relevan Atau Membazir…Apa Kata Ayah?
Masih Relevan

“Pemilihan Baju Melayu untuk anak-anak pada hari raya masih relevan bagi saya. Sebab ini merupakan perayaan yang kita sambut setahun sekali sahaja. Bila berpakaian kebangsaan, kemeriahan itu lebih terasa. Di samping itu, kita secara tak langsung boleh mendidik anak-anak kita tentang pemakaian tradisional kebangsaan. Lagi pun Baju Melayu yang berada di pasaran mempunyai pelbagai harga yang bersesuian dengan pendapatan keluarga. Pilih mengikut bajet yang ada. Saya tak rasa ini membazir kerana anak-anak kita masih boleh selepas itu juga dan bukan pada hari raya sahaja. Misalnya ketika sembahyang Jumaat, ketika sambutan Maulidur Rasul di sekolah, kelas mengaji dan sebagainya lagi. Jadi bagi saya masih relevan.” – Mohd Zaki Abu Bakar. https://www.facebook.com/jaki.mizuno

IKLAN

Baju Melayu Untuk Anak, Masih Relevan Atau Membazir…Apa Kata Ayah?Tambah Meriah Pakai Baju Melayu

“Pada pendapat saya, hari raya kurang meriah dan ceria kalau tak berbaju Melayu yang merupakan pakaian tradisi kita yang dipakai untuk majlis-majlis istimewa termasuk hari raya. Memang sekarang ini ramai ibu bapa yang lebih suka membeli pakaian kasual sahaja untuk anak-anak. Pada pagi pun anak-anak dipakaikan dengan baju t-shirt dan seluar. Kata mereka lagi menjimatkan kerana tak perlu beli Baju Melayu yang hanya dipakai sekejap saja pada pagi raya. Tapi bagi saya pula, seolah-olah kurang serinya pagi raya tanpa berbaju Melayu. Saya tak rasa membazir bila beli Baju Melayu kerana anak-anak boleh pakai ketika pergi mengaji, solat di masjid dan acara-acara tertentu seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Lagi pun bukan beli banyak pun, cukup sepasang seorang. Selain itu saya juga beli baju kasual seperti t-shirt dan kemeja untuk anak-anak.”
Muhammad Khairi Muhammad Nawi.

IKLAN

Baju Melayu Untuk Anak, Masih Relevan Atau Membazir…Apa Kata Ayah?Nampak Segak Bila Pakai Baju Melayu

“ Soal persiapan raya biasanya isteri saya yang uruskan termasuklah pakaian anak-anak. Selalunya pada pagi raya kami akan berpakaian sedondon. Saya dan dua anak lelaki lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok. Membeli baju Melayu untuk anak-anak masih relevan. Pendapat saya, di pagi raya anak lelaki seeloknya berbaju Melayu. Baru nampak segak bila ke masjid atau ketika berkunjung ke rumah sanak saudara. Soal membazir tak timbul kerana Baju Melayu itu boleh dipakai untuk majlis lain pula selepas itu seperti sambutan Maulidur Rasul di sekolah, kenduri kendara, pergi mengaji dan sebagainya. Kita pun bukan beli banyak. Cukup sepasang. Beli pun sekali setahun saja, bukan selalu. Harga pula bergantung pada kemampuan. Ibu bapa boleh pilih mengikut bajet masing-masing. Lagi pun Baju Melayu adalah pakaian tradisi kita, lambang budaya kita. Kena ajar anak-anak tentang budaya juga…” – Adly Muda.

IKLAN

Baju Melayu Untuk Anak, Masih Relevan Atau Membazir…Apa Kata Ayah?Mahu Sedondon 

“ Seperti yang kita sedia maklum Baju Melayu merupakan pakaian tradisi turun temurun yang semestinya tidak lengkap jika kita tidak memakainya pada hari-hari istimewa terutama di hari raya. Walaupun ia bukanlah satu kewajipan namun sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Trend sekarang juga satu keluarga akan berpakaian sedondon dari segi warna dan coraknya. Jadi, pasti si ayah mahukan anak lelaki sedondon dengannya. Tidak menjadi isu pembaziran apabila membeli Baju Melayu setiap kali musim perayaan terutamanya raya puasa. Selepas musim perayaan pun masih boleh mengenakan baju tersebut untuk pelbagai majlis. Contohnya majlis rumah terbuka dan juga majlis kesyukuran. Selain dari itu yg menjadi rutin kita semasa sembahyang berjemaah di surau atau masjid (ketika bukan PKP dulu).” – Mohd Irme faizal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI