Menjadi kebiasaan ramai antara kita yang caj telefon dan letak berhampiran tilam sebelum tidur. Rupanya tabiat buruk ini boleh membahayakan diri apabila telefon boleh meletup dan terbakar.
Dalam kejadian baru-baru ini, seorang kerani bank melecur di lengan selepas tersentuh pintarnya yang dipercayai terlebih cas di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi kelmarin.
Kejadian jam 4.20 pagi itu hampir menyebabkan kebakaran apabila tilamnya mulai terbakar, disyaki kesan suhu tinggi telefon pintar berkenaan.
Nur Filzah Abdul Rahman, 24, berkata telefon pintar yang dicas itu diletak di atas tilam.
“Saya mengecas telefon pintar sebelum tidur dan biasanya saya letakkan di lantai, namun malam itu saya letakkan di atas tilam sebelah kiri saya.
“Saya terjaga kira-kira jam 4.20 pagi apabila berasa panas di belakang badan. Ketika mengiring ke kiri, saya terkuis telefon dan lengan saya terasa pedih.
“Saya terus menghidupkan suis lampu dan sebaik keadaan terang, baru saya sedari bilik dipenuhi asap dan tilam saya berbara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Filzah berkata, tilam berkenaan disyaki terbakar akibat suhu panas telefon pintarnya.
Beliau dan rakan serumah bergegas mengambil sebaldi air dan dicurah ke atas tilam bagi mengelak kebakaran sebelum ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mingguan Wanita mendoakan agar wanita ini cepat sembuh.Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat kita, agar lebih berhati-hati dan tidak meletakkan telefon berhampiran dengan diri ketika tidur dalam jangka masa yang panjang.
Sumber: Bharian & Eja Filzah