Sejak kebelakangan ini, viral tentang taste suami atau isteri orang. Lebih jelas lagi
tentang seorang isteri ‘berskandal’ dengan suami orang dan begitu juga sebaliknya. Tidak
kurang juga wanita atau lelaki bujang yang jatuh cinta atau lebih teruk ‘bermain cinta
dengan suami atau isteri orang.
Semua orang boleh cakap, semua itu adalah ‘takdir’ dan tersurat. Cinta yang hadir bukan di paksa-paksa. Namun, kalau tak digoncang, pokok tak akan bergoyang. Bila kedua-duanya mula beranggapan hanya kawan biasa tetapi lama-kelamaan telah menerbitkan rasa cinta tanpa mereka sedar kesannya di kemudian hari.
Jika berpasangan dengan lelaki atau wanita solo, tidak menjadi isu. Tetapi yang
membangkitkan isu apabila pasangan itu hak orang lain. Kenapakah boleh timbul perasaan ini dan mampukah diteruskan atau mengundur diri demi kebahagiaan keluarga itu. Kupasan lanjut tentang isu ini bersama Prof Madya Ts. Dr Hj Mohd Nor Mamat.
Apabila ditanya tentang ciri-ciri keistimewaan yang menyebabkan seseorang wanita terpikat dengan pasangan hak orang, sudah tentulah alasan yang diberikan adalah klise iaitu kematangan, pengalaman, lebih bertanggungjawab atau mempunyai kestabilan kewangan.
Manakala lelaki pula terpikat pada isteri orang yang lebih menjaga kecantikan, lebih seksi
atau manja berbanding dengan pasangan di rumah yang tidak seksi, manja dan sebagainya.
Bagi wanita yang belum berkahwin, salah satu faktor yang menyebabkan mereka tertarik kerana sifat-sifat lelaki itu yang membahagiakan, penyayang, romantik, ambil berat, kata-kata yang lemah lembut, sentiasa memahami dan lain-lain. Ada juga yang merasa cemburu dan iri hati serta membayangkan suami orang tersebut akan menjadi miliknya.
Apatah lagi kematangan menjadi ketua keluarga, kestabilan ekonomi dan kebijaksanaan yang menambahkan lagi tarikan untuk jatuh cinta. Manakala lelaki pula, ada sebahagian yang inginkan kemudahan dalam hidup, mudah tertarik dengan isteri orang yang lebih dewasa, matang dan tenang dalam menguruskan rumah tangga.
Boleh dikatakan sekarang ini, ramai isteri yang ‘menjaga badan’, berpakaian seksi dan cantik di luar rumah. Inilah yang menyebabkan tarikan di mata lelaki yang dirasakan dapat memenuhi keinginannya.
Lelaki atau wanita mempunyai tarikan yang berbeza. Biasanya, lelaki tertarik dengan wanita tentulah cantik, bergaya, manja, seksi, menghormati dan sebagainya. Begitu juga dengan wanita yang inginkan lelaki yang mempunyai ciri romantik, mampu melindungi, ambil berat, memahami perasaan dan lain-lain lagi.
Apabila ciri-ciri ini tidak ada pada pasangan di rumah, secara tidak langsung mereka akan
mudah tertarik dengan orang ketiga yang mampu memenuhi ciri tersebut.
Inilah yang boleh membahayakan kerana dalam keadaan ini, pasangan boleh terjumpa dengan orang lain yang dirasakan mampu memenuhi kekurangan pasangan. Apa lagi, bila orang ketiga mula menabur janji untuk mengambil kesempatan.
Bagi yang belum berkahwin, baik lelaki atau wanita, kemungkinan hubungan dengan pasangan orang lain yang sudah berkahwin boleh terjadi. Sebabnya, bukan kerana cinta tetapi lebih kepada ingin hidup mudah, mewah dan menumpang kekayaan. Biasanya, hubungan ini tidak akan kekal.
Memang ada wanita yang inginkan jalan singkat untuk hidup mewah dengan memikat suami orang kaya. Namun, andai tidak mengganggu kebahagiaan hubungan mereka, mungkin tidak salah tetapi tujuan sebenarnya bukanlah untuk membina hubungan yang jujur.
Begitu juga lelaki, memang ada lelaki yang kurang rasa tanggungjawab untuk menjadi ketua keluarga, sebaliknya ingin hidup mewah dengan kekayaaan wanita yang sudah stabil kehidupan. Secara tidak langsung, kedua-duanya tetap bersalah dan mengganggu kehidupan. Pastinya hubungan ini akan berakhir dengan kekecewaan dan penyesalan kepada kedua belah pihak.
1.Hentikan segera supaya tidak berlanjutan dan merumitkan keadaan. Jika anda merasakan bahagia dengan kehadirannya dalam hidup, ia adalah terlalu sementara dan palsu. Ini kerana ia terhasil daripada kekecewaan setengah perkara dalam hubungan bersama pasangan dan penghujungnya akan berakhir dengan penyesalan.
2.Ambil tindakan matang untuk lebih utamakan hubungan rumah tangga anda. Jika diketahui oleh pasangan, segera meminta maaf dan berjanji untuk segera berubah.
3. Elakkan daripada terus berhubungan dengan pasangan orang lain. Tidak salah untuk berkawan atau berpindahlah ke tempat baru sebagai satu alternatif dan menunjukkan kesungguhan anda kepada pasangan.
4.Elakkan sama sekali mengungkit atau mengulangi pertemuan, perhubungan dan sebagainya yang menghilangkan balik kepercayaan pasangan terhadap perubahan anda.
5.Andai anda mengimpikan hubungan sehingga ke syurga, anda perlulah selarikan dengan
tuntutan agama iaitu tanggungjawab anda untuk membahagiakan pasangan serta bersyukur dan reda dengan ketentuan jodoh yang terbaik untuk anda.
1. Hargai hubungan yang sedia ada dan pasangan yang anda miliki sebaiknya. Cipta diri anda dengan ciri-ciri yang memenuhi ‘taste’ pasangan anda. Fahami fitrah yang membahagiakan suami atau isteri dan anda jadilah orang yang membahagiakannya.
2. Elakkan daripada suka melihat atau membandingkan pasangan orang lain dengan pasangan anda kerana mereka ada kelebihan dan kekurangan. Tidak akan ada seorang pun dalam dunia ini yang memenuhi ‘taste’ anda sepenuhnya.
3. Kalau tahu umpamanya pasangan anda sukakan orang lain kerana lemah lembut, cuba sedaya upaya untuk bentukkan diri menjadi lebih lemah lembut di rumah. Masa untuk anda kita memikat suami lebih banyak berbanding orang lain. Begitu juga untuk suami, kalau anda tahu isteri sukakan lelaki lain yang lebih mengambil berat, usahakan supaya jadi lebih mengambil berat terhadapnya.
4. Lebihkan masa bersama untuk memenangi hati pasangan, bahagiakannya bila bersama supaya pasangan anda tidak lagi memerlukan orang lain untuk mengisi kekosongan dan kesunyiannya.
5. Percayalah, andapernah terpilih menjadi pasangannya, bererti anda adalah termasuk
;taste’nya, dan tugas anda adalah suburkan hubungan dengan ciri-ciri yang menggembirakan pasangan anda.
1.Didik hati supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Percayalah, apa yang ditakdirkan untuk jodoh kita adalah yang terbaik, hargai dan uruskan dengan baik.
2.Anda terpikat dengan beberapa tarikan yang dimiliki oleh pasangan orang lain tetapi ada
banyak kelebihan yang ada pada pasangan anda yang tidak dimiliki olehnya.
3.Fahami fitrah pasangan. Cuba sedaya upaya untuk memenuhi kebahagian pasangan. Bersyukur dan reda dgn kekurangan yang sedikit tetapi hargailah kelebihannya yang ada dan usahanya untuk sentiasa tambahbaik membahagiakan kita.