Sejak kebelakangan ini, viral tentang taste suami atau isteri orang. Lebih jelas lagi
tentang seorang isteri ‘berskandal’ dengan suami orang dan begitu juga sebaliknya. Tidak
kurang juga wanita atau lelaki bujang yang jatuh cinta atau lebih teruk ‘bermain cinta
dengan suami atau isteri orang.
Semua orang boleh cakap, semua itu adalah ‘takdir’ dan tersurat. Cinta yang hadir bukan di paksa-paksa. Namun, kalau tak digoncang, pokok tak akan bergoyang. Bila kedua-duanya mula beranggapan hanya kawan biasa tetapi lama-kelamaan telah menerbitkan rasa cinta tanpa mereka sedar kesannya di kemudian hari.
Jika berpasangan dengan lelaki atau wanita solo, tidak menjadi isu. Tetapi yang
membangkitkan isu apabila pasangan itu hak orang lain. Kenapakah boleh timbul perasaan ini dan mampukah diteruskan atau mengundur diri demi kebahagiaan keluarga itu. Kupasan lanjut tentang isu ini bersama Prof Madya Ts. Dr Hj Mohd Nor Mamat.
Jawapan Klise
Apabila ditanya tentang ciri-ciri keistimewaan yang menyebabkan seseorang wanita terpikat dengan pasangan hak orang, sudah tentulah alasan yang diberikan adalah klise iaitu kematangan, pengalaman, lebih bertanggungjawab atau mempunyai kestabilan kewangan.
Manakala lelaki pula terpikat pada isteri orang yang lebih menjaga kecantikan, lebih seksi
atau manja berbanding dengan pasangan di rumah yang tidak seksi, manja dan sebagainya.
Sebab Jatuh Cinta
Bagi wanita yang belum berkahwin, salah satu faktor yang menyebabkan mereka tertarik kerana sifat-sifat lelaki itu yang membahagiakan, penyayang, romantik, ambil berat, kata-kata yang lemah lembut, sentiasa memahami dan lain-lain. Ada juga yang merasa cemburu dan iri hati serta membayangkan suami orang tersebut akan menjadi miliknya.
Apatah lagi kematangan menjadi ketua keluarga, kestabilan ekonomi dan kebijaksanaan yang menambahkan lagi tarikan untuk jatuh cinta. Manakala lelaki pula, ada sebahagian yang inginkan kemudahan dalam hidup, mudah tertarik dengan isteri orang yang lebih dewasa, matang dan tenang dalam menguruskan rumah tangga.
Ads
Boleh dikatakan sekarang ini, ramai isteri yang ‘menjaga badan’, berpakaian seksi dan cantik di luar rumah. Inilah yang menyebabkan tarikan di mata lelaki yang dirasakan dapat memenuhi keinginannya.
Ciri-ciri Tarikan
Lelaki atau wanita mempunyai tarikan yang berbeza. Biasanya, lelaki tertarik dengan wanita tentulah cantik, bergaya, manja, seksi, menghormati dan sebagainya. Begitu juga dengan wanita yang inginkan lelaki yang mempunyai ciri romantik, mampu melindungi, ambil berat, memahami perasaan dan lain-lain lagi.
Apabila ciri-ciri ini tidak ada pada pasangan di rumah, secara tidak langsung mereka akan
mudah tertarik dengan orang ketiga yang mampu memenuhi ciri tersebut.
Inilah yang boleh membahayakan kerana dalam keadaan ini, pasangan boleh terjumpa dengan orang lain yang dirasakan mampu memenuhi kekurangan pasangan. Apa lagi, bila orang ketiga mula menabur janji untuk mengambil kesempatan.
INGAT! anda dan pasangan tidak akan pernah sempurna dan tidak perlu mencari orang lain untuk memenuhi kekurangan. Malah, kebarangkalian orang ketiga yang anda rasakan ada ciri keinginan atau ‘taste’ mungkin lebih banyak kekurangan berbanding dengan ciri tarikan yang anda nampak.
Jalan Singkat
Bagi yang belum berkahwin, baik lelaki atau wanita, kemungkinan hubungan dengan pasangan orang lain yang sudah berkahwin boleh terjadi. Sebabnya, bukan kerana cinta tetapi lebih kepada ingin hidup mudah, mewah dan menumpang kekayaan. Biasanya, hubungan ini tidak akan kekal.
Memang ada wanita yang inginkan jalan singkat untuk hidup mewah dengan memikat suami orang kaya. Namun, andai tidak mengganggu kebahagiaan hubungan mereka, mungkin tidak salah tetapi tujuan sebenarnya bukanlah untuk membina hubungan yang jujur.
Ads
Begitu juga lelaki, memang ada lelaki yang kurang rasa tanggungjawab untuk menjadi ketua keluarga, sebaliknya ingin hidup mewah dengan kekayaaan wanita yang sudah stabil kehidupan. Secara tidak langsung, kedua-duanya tetap bersalah dan mengganggu kehidupan. Pastinya hubungan ini akan berakhir dengan kekecewaan dan penyesalan kepada kedua belah pihak.
Apa Yang Harus Dilakukan
1.Hentikan segera supaya tidak berlanjutan dan merumitkan keadaan. Jika anda merasakan bahagia dengan kehadirannya dalam hidup, ia adalah terlalu sementara dan palsu. Ini kerana ia terhasil daripada kekecewaan setengah perkara dalam hubungan bersama pasangan dan penghujungnya akan berakhir dengan penyesalan.
2.Ambil tindakan matang untuk lebih utamakan hubungan rumah tangga anda. Jika diketahui oleh pasangan, segera meminta maaf dan berjanji untuk segera berubah.
3. Elakkan daripada terus berhubungan dengan pasangan orang lain. Tidak salah untuk berkawan atau berpindahlah ke tempat baru sebagai satu alternatif dan menunjukkan kesungguhan anda kepada pasangan.
4.Elakkan sama sekali mengungkit atau mengulangi pertemuan, perhubungan dan sebagainya yang menghilangkan balik kepercayaan pasangan terhadap perubahan anda.
5.Andai anda mengimpikan hubungan sehingga ke syurga, anda perlulah selarikan dengan
tuntutan agama iaitu tanggungjawab anda untuk membahagiakan pasangan serta bersyukur dan reda dengan ketentuan jodoh yang terbaik untuk anda.
Ads
Pupuk Kembali Kasih Sayang
1. Hargai hubungan yang sedia ada dan pasangan yang anda miliki sebaiknya. Cipta diri anda dengan ciri-ciri yang memenuhi ‘taste’ pasangan anda. Fahami fitrah yang membahagiakan suami atau isteri dan anda jadilah orang yang membahagiakannya.
2. Elakkan daripada suka melihat atau membandingkan pasangan orang lain dengan pasangan anda kerana mereka ada kelebihan dan kekurangan. Tidak akan ada seorang pun dalam dunia ini yang memenuhi ‘taste’ anda sepenuhnya.
3. Kalau tahu umpamanya pasangan anda sukakan orang lain kerana lemah lembut, cuba sedaya upaya untuk bentukkan diri menjadi lebih lemah lembut di rumah. Masa untuk anda kita memikat suami lebih banyak berbanding orang lain. Begitu juga untuk suami, kalau anda tahu isteri sukakan lelaki lain yang lebih mengambil berat, usahakan supaya jadi lebih mengambil berat terhadapnya.
4. Lebihkan masa bersama untuk memenangi hati pasangan, bahagiakannya bila bersama supaya pasangan anda tidak lagi memerlukan orang lain untuk mengisi kekosongan dan kesunyiannya.
5. Percayalah, andapernah terpilih menjadi pasangannya, bererti anda adalah termasuk
;taste’nya, dan tugas anda adalah suburkan hubungan dengan ciri-ciri yang menggembirakan pasangan anda.
Nasihat Untuk Isteri Atau Suami
1.Didik hati supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Percayalah, apa yang ditakdirkan untuk jodoh kita adalah yang terbaik, hargai dan uruskan dengan baik.
2.Anda terpikat dengan beberapa tarikan yang dimiliki oleh pasangan orang lain tetapi ada
banyak kelebihan yang ada pada pasangan anda yang tidak dimiliki olehnya.
3.Fahami fitrah pasangan. Cuba sedaya upaya untuk memenuhi kebahagian pasangan. Bersyukur dan reda dgn kekurangan yang sedikit tetapi hargailah kelebihannya yang ada dan usahanya untuk sentiasa tambahbaik membahagiakan kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pesan ibu ini, Firda Ashaary tak salah manjakan anak, tapi kena diterapkan sekali dengan tanggungjawab dalam diri anak. Terutama mengurus sendiri buku dan kerja sekolah masing-masing.
Ini yang Firda praktikkan pada kedua orang anaknya yang bersekolah, sejak mereka masuk darjah satu lagi. Ada tip yang bagus untuk ibu contohi. Semoga bermanfaat,
Ajar Anak Bertanggungjawab Dari Darjah 1
Rezeki Allah ni datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Dapat anak-anak yang pandai berdikari juga adalah rezeki yang patut disyukuri.
Sungguhpun begitu sebagai ibu bapa kita boleh mencorakkan anak-anak ke arah kebaikan dan ajajr mereka berdikari. Tak perlu gunakan kekerasan atau paksaan pun, cukuplah sekadar memerhati, menegur dan menasihati bila perlu.
Akak rasa terpanggil untuk berkongsi tips yang Akak gunakan untuk anak-anak Akak sejak dari depa darjah 1. Cara ni adalah untuk bagi depa ada rasa tanggungjawap sendiri ke atas buku dan kerja sekolah depa.
Alhamdulillah, sangat berkesan. Sekarang ni Suffiya dah darjah 5 dan Suffian darjah 3, memang depa dah pandai urus sendiri buku dan kerja sekolah depa.
5 Tip Bagi Anak Pandai Urus Buku, Kerja Sekolah Sendiri
1. Sejak mula masuk darjah 1, Akak ajar depa baca jadual waktu yang cikgu bagi. Baca dan ambil berat. Bukan baca saja.
2. Untuk minggu pertama hingga minggu ketiga, Akak akan tolong depa susun buku ikut jadual setiap hari. Tapi Akak buat bersama dengan anak-anak. Akak suruh depa baca jadual dan hulur buku yang diperlukan supaya depa dapat kenal pasti buku depa sendiri nanti. Macam mana nak susun Akak tunjuk. Siap masuk beg, letak tepi katil.
3. Akak akan bagitau depa awal-awal, Mama tolong sekejap ja tau. Lepas ni kena buat sendiri sebab abang/kakak yang nak pi sekolah, bukan Mama. Kena belajar buat sendiri nanti.
4. Masuk minggu ke-4, Akak tak buat dah. Akak cuma ingatkan ja, dah kemas beg ke belum. Alat tulis semua dah masukkan ke belum. Cukup tak semua ikut jadual. Depa akan kemas sendiri dan melaporkan kat Akak lepas dah siap kemas.
Ok, part ni korang jangan lah kedekut sangat. Puji sikit, anak-anak kan suka dipuji. “Wahh, pandainya anak Mama.”
5. Lepas depa dah tidur, baru Akak akan check balik beg sekolah depa. Betul ka tak buku yang depa masuk kan tu ikut jadual. Selalunya minggu ke4 ni dah nampak dah hasil dan komitmen depa. Dah boleh harap dah.
Misi berjaya!
Manjakan Anak, Jangan Sampai Tak Bawa Buku Latihan
Nak manja anak boleh ja. Semua orang sayang anak tapi biarlah berpada. Janganlah sampai anak tak bawa buku latihan, korang yang mesej mintak maaf kat cikgu sebab korang yang lupa masukkan buku dalam beg anak.
Kalau macam tu, sampai bila pun anak manja korang takkan ada rasa tanggungjawap. Kisah apa tak bawak buku, takpa nanti boleh bagitau cikgu, Mama saya lupa masukkan buku. Settle.
Sama juga dengan bab melibatkan kerja sekolah. Apa yang Akak selalu terapkan dalam diri anak-anak dari dulu. Buku dan kerja sekolah adalah tanggungjawap sendiri, bukan Mama. Sendiri tak bawak buku, sendiri tanggung.
Kalau tak siap kerja sekolah pun itu tanggungjawap sendiri. Mama dah ingatkan tapi kalau sendiri takmau buat, okay takpa. Nanti pi sekolah jawap sendiri dengan cikgu kenapa tak siap kerja sekolah. Cikgu tibai atau denda jangan nak balik mengadu kalau sendiri salah.
Selalunya anak-anak ni lebih takut kat cikgu dari ibu bapa sendiri kan?
So far ayat yang Akak guna tu berkesanlah untuk anak-anak Akak sampai sekarang. Untuk anak orang lain tak pasti lah lagi. Lain orang kan lain-lain cara dan penerimaannya.
Mungkin korang boleh cuba, mana tau berkesan kan? Lepas tu korang takda lah perlu risau sangat dah, cuma pantau ja.
Sekian, Tips dari Mama Anak Tiga.
#SuffianSuffiya Sharelah. Akak izinkan, jangan risau. Sharing is Caring
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai sebenarnya suami dah ada kesedaran bantu cuci, uruskan pakaian keluarga. Sesetengahnya gunakan khidmat dobi layan diri. Dan suami kena tahu hal ini, betapa pentingnya menjaga dan tidak mendedahkan pakaian dalam ahli keluarga terutama isteri sesuka hati ketika mencuci.
Kadangkala dalam tak sedar, terlepas juga seketul dua. Memanglah isteri tuan tiada di situ.. tapi maruah nya tetap perlu dijaga. Hadamkan perkongsian Zulkifli Che Noh ini, betapa pentingnya hal sesimple ini untuk diambil cakna.
Cuci Pakaian Isteri Di Dobi Layan Diri
Selaku pengguna dobi layan diri yang tegar, hampir setiap tiga hari saya akan menghantar pakaian untuk dikeringkan. Tambahan pula jika musim hujan.
Kadangkala, setelah memasukkan pakaian ke dalam mesin pengering, terpaksa berkejar menyelesaikan urusan yang lain.
Bila terlambat, pakaian sudah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan atau dilambakkan sahaja di atas meja.
Maka, semua jenis pakaian yang telah kering, kini terdedah kepada pandangan umum. Pakaian malam, seluar kecil dan pakaian peribadi pelbagai warna, corak dan saiz terdampar silu.
Teringat lagi bebelan emak ketika disuruh menyidai pakaian di ampaian. “Kain pelikat, baju dan seluar abah disangkut di bahagian paling luar. Diikuti pakaian emak dan adik beradik perempuan. Pakaian ‘dalam’ disidai di sebelah paling dalam. Malu nanti orang lihat!”
Begitulah sensitiviti emak-emak kita suatu ketika dahulu dalam menjaga maruah dan kehormatan. Adab sopan sebegini diterap menjadi nilai pegangan sehingga dewasa.
Kerana itulah, terasa malu sangat apabila pakaian yang tidak sepatutnya dilihat, terdedah kepada umum.
Ini Sebaiknya Yang Suami Perlu Buat
Memikirkan hal yang demikian, saya mengambil keputusan tidak mengeringkan pakaian ‘dalam’ terutama milik isteri di kedai dobi layan diri. Kecuali saya akan menunggu sehingga pakaian tersebut kering.
Ketika proses memasukkan pakaian tersebut ke dalam bakul, pakaian ‘dalam’ akan dimasukkan di bahagian bawah dan diselimuti kain atau baju.
Selain untuk menjaga daripada pandangan umum, pakaian ‘dalam’ juga harus diberi perhatian yang khusus. Elakkan daripada meletakkan secara sambilewa kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membawa kepada penyakit kulit.
Elakkan Dari Mengundang Fitnah
Islam agama yang sangat mementingkan penjagaan maruah dan kehormatan. Setiap perkara yang mengundang ‘fitnah’ wajib dibendung bermula daripada puncanya.
Ia memberi keselesaan kepada pemilik pakaian dan juga pengguna-pengguna yang lain. Paling penting, ia dapat menyelamatkan maruah isteri dan anak perempuan kita dari pandangan manusia yang mempunyai penyakit hati.
Sabda Rasulullah, “ … jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...