Ada sesetengah daripada kita mula rasa tidak selesa dan kurang yakin bila rambut beruban. Cara untuk mengembalikan rambut hitan adalah mewarna rambut. Tapi ada juga yang warnakan sekadar untuk suka-suka.
Beberapa perkara yang diperkatakan daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan, antaranya:
Sunat – Mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam
Harus – (a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad, (b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.
Makruh – (a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh, (b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.
Haram – Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.
Tanpa sedar, ada hukum hakamnya tapi yang perlu kita tahu, malah ia boleh membahayakan kesihatan bila mewarna rambut. Inilah yang diterangkan oleh Dr. Fatimah Salim dalam perkongsiannya.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: ‘Lesung Pipit’, Kecacatan Yang Cantik & Unik Tapi Jangan Cipta, HARAM Hukumnya
Jangan Terbiasa Pakai Seluar Ketat, Nipis, Dedah Aurat, Simpanlah Rasa Malu Dalam Diri
Info Lebih Menarik DI SINI
Pewarna rambut terdiri daripada bahan kimia yang bertujuan mencantikan warna rambut dan menutupi rambut putih/ uban. Seni mewarna rambut sebenarnya berzaman lama telah diamalkan.
Antara warna yang menjadi pilihan adalah hitam, keemasan, hijau, merah, kuning dan putih. Pada ketika itu, bahan kimia pewarna rambut diperolehi dari tumbuhan seperti inai, indigo, senna, kunyit, amla, katam dan sebagainya.
Bergantung kepada warna yang dihasilkan dan ketahanan, pewarna rambut dikategorikan kepada tiga jenis iaitu sementara (temporary), separa kekal (semi-permanent) dan kekal (permanent). Pewarna rambut jenis separa kekal boleh menjadi kekal sekiranya dipakai berulang kali, contoh inai.
Sekitar tahun 1860an, pewarna rambut sintetik diperkenalkan, namun kebanyakan adalah berasaskan logam seperti plumbum yang boleh memudaratkan kesihatan.
Akhirnya, sekitar 1909an seorang ahli kimia Perancis, Eugene Schiller telah berjaya menghasilkan pewarna rambut sintetik yang selamat dan digunakan secara meluas sehingga kini iaitu bahan kimia paraphenylenediamine (PPD). PPD menjadi pilihan kerana kualiti warna hasilnya yang kelihatan seakan semulajadi dan bersifat kekal walaupun dibasuh dengan syampu berulang kali. Dan hanya dengan PPD sahaja warna rambut kelabu dapat diperolehi.
Bagaimana PPD memberikan warna kepada rambut?
Warna semula jadi rambut bergantung kepada nisbah bahan kimia protein melanin iaitu eumelanin dan phaeomelanin. Eumelanin bertanggungjawab kepada warna rona warna perang ke hitam, manakala phaeomelanin pula memberikan warna keemasan dan merah.
Ketiadaan kedua jenis protein ini akan menyebabkan rambut berwarna kelabu atau putih.
Bahan kimia PPD sendiri tidak berwarna. Namun hasil tindakbalas pengoksidaan dalam keadaan beralkali akan menghasilkan warna yang pelbagai pada rambut. Bahan pengoksidaan yang biasanya digunakan adalah hydrogen peroxide dan agent alkali PPD pula biasanya ammonia.
Semasa proses mewarna rambut, bahan kimia alkali ammonia akan membantu dalam membuka struktur dalaman rambut untuk membenarkan agen pengoksida memusnahkan protein eumelanin dan phaeomelanin lalu mengantikannya dengan pewarna PPD. Semakin gelap warna yang diingini, semakin tinggi kepekatan bahan kimia PPD yang digunakan. Warna yang gelap sesuai dengan rambut individu yang lebih gelap seperti orang Asia.
Kesan sampingan PPD?
Umumnya PPD adalah selamat digunakan sebagai pewarna rambut kerana ianya diregulasi of European Cosmetics Directive, 76/768/EEC (revised No. 1223/2009). Kandungan PPD yang dibenarkan adalah hanya sehingga 2% pada rambut. Dalam kuantiti yang dibenarkan, ia lebih selamat daripada pewarna rambut sintetik lain seperti lead acetate trihydrate, dan 4-aminobiphenyl (4-ABP).
Pun begitu, bahan dan cara penyediaan yang tidak sempurna akan menyebabkan PPD yang tidak teroksida sepenuhnya. Keadaan ini boleh menyebabkan reaksi seperti iritasi, ruam kering, pedih dan gatal kepada kulit yang terdedah. Untuk mengelakan kesan sampingan disebabkan pengoksidaan PPD yang tidak sempurna, pastikan mendapatkan servis daripada pusat kecantikan yang diyakini. Untuk produk pula, pastikan beli daripada pengeluar yang punya reputasi baik dan patuhi arahan penyediaan pada label.
Pendedahan kali pertama PPD kepada individu sensitif biasanya tidak memberikan kesan, namun pendedahan berikutnya boleh menjadi lebih teruk.
Antara gejala alahan PPD adalah ruam kemerahan, lecet dan bengkak pada kelopak mata atas, cuping telinga, kulit kepada, muka, leher, tangan dan kaki (lihat contoh gambar di bawah).
Tindakbalas sistematik badan terhadap PPD boleh membawa kepada anaphylaxis (respond berlebihan sistem imuniti badan). Antara gejala selain masalah kepada kulit adalah pening, loya dan muntah, pembengkakan pada kerongkong dan lidah, kesukaran bernafas dan pengsan. Jika tidak dirawat ianya boleh menyebabkan kematian.
Masalah pada kulit yang sensetif juga boleh berpanjangan kepada hyperpigmentasi dan parut. Walaupun jarang dilaporkan, PPD juga dipercayai boleh menyebabkan leukoderma atau vitiligo iaitu keadaan di mana kulit kehilangan sel pigmen melanocytes kepada individu yang cenderung secara genetik.
Oleh itu, produk pewarna yang mengandungi PPD dan bahan kimia terbitannya (derivatives) mempunyai label AMARAN pengesyoran agar pengguna melakukan ‘patch test’ sebelum mengaplikasikan pewarna rambut jenis ini. Pun begitu, keputusan negatif dalam ‘patch test’ ini tidak menjamin sepenuhnya individu adalah bebas daripada kesan sampingan PPD.
Adakah pewarna rambut semulajadi lebih selamat?
Tidak semestinya. Semua produk kosmetik tidak kira sintetik atau natural adalah tertakluk kepada peraturan penilaian keselematan yang sama. Badan kita tidak mampu membezakan bahan kimia natural atau sintetik. Sekiranya bahan kimia itu tidak selamat, tidak kiralah diperolehi secara semulajadi atau dihasilkan di makmal, ianya tetap akan diharamkan.
Perlu diingat, bukan semua individu alah kepada PPD sebab itu ianya dibenarkan sebagai pewarna rambut. Benar, kenali badan sendiri dan usah pukul rata. Individu sensetif dan mempunyai masalah kesihatan sedia ada berkaitan harus lebih berhati-hati.
Bagi mereka yang berkulit sensitif dan alah kepada bahan kimia PPD, boleh memilih pewarna jenis sementara atau separa-kekal seperti inai (henna). Pun begitu, berhati-hati dengan produk inai yang mungkin juga dicemarpalsu dengan bahan kimia logam (kuprum, perak, bismuth, atau plumbum), PPD, ini agar lebih kekal lama warnanya.
Semoga bermanfaat!
Mingguan Wanita : Nampak cantik tapi kita tak tahu kesannya. Ini belum lagi hukum hakam bila kita mewarna rambut.
Sumber: ChM Dr Fatimah Salim
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita