Perasaan cemburu di sertai dengan rasa amarah yang melampau boleh mengakibatkan tindakan diluar batas. Apabila kepercayaan dan rasa cinta dikhianati didalam hubungan rumahtangga boleh mengundang padah. Nasib malang bagi wanita ini apabila mati ditangan suami sendiri.
Cemburu dipercayai menjadi motif utama seorang petani mengelar isterinya menggunakan pisau di rumah pasangan itu di Kampung Bedup Longgok, Serian, tengah hari semalam.Suspek berusia 38 tahun itu bagaimanapun cuba menyembunyikan perbuatannya dengan datang ke Balai Polis Serian pada 1.35 tengah hari dan memaklumkan isterinya berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah.
Sumber berkata, siasatan lanjut polis di rumah pasangan itu bagaimanapun menemui beberapa unsur mencurigakan selain kenyataan yang diberikan suspek tidak konsisten.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut tidak menolak kemungkinan suspek mengelar isterinya akibat cemburu kerana mangsa kononnya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Polis tidak menolak kemungkinan cemburu sebagai motif utama kejadian selain keterangan yang diberikan suspek juga tidak konsisten dan terdapat unsur mencurigakan menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong sayur di dapur yang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher isterinya sehingga mati selain tiada sebarang kehilangan barang berharga yang boleh dikaitkan dengan kejadian samun,” katanya.
Difahamkan, anak perempuan pasangan itu kini dijaga jirannya buat sementara waktu sebelum polis mendapat perintah mahkamah dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Samarahan membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap suspek bermula hari ini sehingga 17 Februari depan.
Majistret Dayang Roseling Awang Mahdini membenarkan permohonan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.
Katanya, suami mangsa mendakwa menemui wanita itu dalam keadaan sedemikian selepas pulang daripada mengambil anak perempuan mereka berusia lapan tahun dari sekolah.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati suri rumah warga Indonesia berusia 36 tahun itu mati akibat dikelar,” katanya.
Sumber: Hmetro