Bersedekah merupakan amalan yang mulia. Lebih-lebih lagi ia perkara sunat yang sangat dituntut pada hari Jumaat. Seringkali kita terlepas pandang untuk bersedekah pada ahli keluarga sendiri berbanding mengutamakan orang lain. Sedangkan bersedekah dan memberi sumbangan kepada ahli keluarga sendiri seperti isteri dan anak-anak adalah
lebih afdal dan besar ganjaran pahalanya. Malah, bahagiakan isteri juga adalah sedekah terbaik bagi seorang suami.
Jemput baca perkongsian daripada Dr Taufiq Razif ini mengenai keutamaan amalan bersedekah;
“Semoga Allah murahkan rezeki abang “
Terharu pulak bila isteri saya cakap macam ni kat saya. Ceritanya macam ni. Tadi lepas solat Jumaat saya cari cari peminta sedekah di sekitar Masjid Al Azim Melaka ni tapi tak jumpa.
Habit saya memang tiap kali lepas solat Jumaat saya kena bagi sedekah. Tak kisah banyak ke sikit tetap kena bagi sedekah. Jenuh cari peminta sedekah kat masjid ni tapi tak jumpa jugak.
“Adui. Macam mana ni. Tak tenang pulak hati ni kalau tak dapat bersedekah lepas solat Jumaat “
Tiba-tiba Allah campak ilham dalam hati saya. Lebih kurang macam ni :
“Eh. Kamu tahu tak orang yang paling utama terima duit sumbangan kamu adalah isteri dan anak anakmu sendiri “
Allah. Terus saya berjalan ke kereta yang saya parking depan masjid. Lantas saya hulur duit yang saya niat nak bagi pada orang lain tu pada isteri saya yang tengah tunggu saya dalam kereta.
“Nah duit sayang “
“Eh kenapa abang? “
“Abang tak jumpa peminta sedekah tadi. Abang lupa, orang paling utama abang patut bagi sedekah dan sumbangan adalah isteri dan keluarga abang sendiri “
Terus dia cium duit tu tanda dia sangat menghargai pemberian saya dan dia ucapkan satu perkataan yang buatkan hati saya sangat sebak. ” Semoga Allah murahkan rezeki abang ”
Saya terdiam seketika. Ya Allah. Kalimat inilah kalimat doa yang akan memperlebatkan rezeki saya sekeluarga!
Patutlah ada satu hadis Nabi riwayat Muslim. Dalam Hadis tu sebut yang sedekah yang paling besar pahalanya adalah sedekah kepada keluarga kita sendiri.
p/s : Bahagiakan isteri adalah sedekah terbaik seorang suami.
Untuk mendapat perkongsian lanjut boleh ke Telegram Channel Nota Parenting Dr Taufiq Razif di sini.
Baca Lagi Di Sini: Rezeki Suami Tambah Murah Bila Ringan Tulang, Tak Lokek Belanja Isteri, Itulah Sebaik-Baik Sedekah
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi pesanan buat suami, sedekah yang paling terbaik dan besar pahalanya adalah kepada keluarga sendiri. Selalulah bersedekah pada isteri dan anak-anak di rumah, semoga bertambah murah rezeki dan berlipat kali ganda ganjaran yang diperolehi.
Sumber: Dr Taufiq Razif
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Teruskan Kehidupan Tanpa Suami, Wanita Ini Buat Dua Kerja Untuk Besarkan Anak-Anak
Setiap mahligai yang dibina atas dasar suka sama suka atau lebih tepat lagi atas dasar cinta pastinya mengimpikan hubungan yang berkekalan hingga ke hujung nyawa. Tapi siapalah kita manusia yang hanya mampu merancang, segalanya telah ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa. Rumah tangga yang dibina oleh Elinaton Misrani, 35, bersama bekas pasangan hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja.
Bangkit
Hati mana yang tidak sedih dengan perpisahan yang melanda. Baru sahaja ingin mengecapi rasa bahagia, punya teman hidup ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata yang masih kecil pelengkap masjid yang dibina. Namun seperti wanita yang senasib dengannya, Elinaton perlu bangkit demi kelangsungan hidup diri dan dua orang anak yang masih panjang perjalanan hidup.
“Perkahwinan saya dan bekas suami atas dasar cinta. Kami melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012. Saya sangkakan dialah imam yang akan membimbing saya hingga ke syurga. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan buat saya.
“Campur tangan orang ketiga dalam hidup kami menambahkan lagi kekusutan yang ada. Ditambah dengan ketidak sefahaman antara kami berdua. Mungkin ini semua ujian untuk saya tempuhi bagi mematangkan lagi diri dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran. Saya anggap jodoh antara kami tidak panjang,” ujar Elinaton memulakan bicara.
Bangkit Demi Anak-anak Yang Masih Kecil
Usia anak-anak yang masih kecil ketika ditinggalkan oleh sang ayah pastinya tidak banyak memberi kesan kepada si kecil. Tapi buat ibu mereka, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Usia perkahwinan yang masih baharu dengan anak-anak yang masih kecil, hidup bagaikan hilang arah, hilang tempat bergantung harap.
“Teramat pedih rasanya ketika mula-mula berpisah. Hanya air mata peneman hidup. Setiap hari saya menangis mengenang nasib diri. Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikiran, saya kebingungan, diselubungi dengan dilema ke mana arah tuju haluan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini. Setiap hari saya berdoa semoga ditunjukkan jalan diberi petunjuk untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak tersayang.
“Tapi dalam masa yang sama Allah hadirkan rasa kesedaran untuk saya terus bangkit demi tanggungjawab bukan sahaja terhadap diri malah untuk anak-anak yang masih kecil. Dengan keadaan saya yang sering bersedih saya risau anak-anak akan terabai dan akan ada kesan buruk terhadap mereka. Saya tak mahu berterusan mengenang nasib diri, dipandang rendah dan disisihkan, saya perlu bangkit walaupun tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi,” ujar Elinaton lagi.
Tambah Kemahiran
Mujurlah diri ketika berpisah mempunyai pendapatan sendiri. Tapi berapalah sangat jumlah yang diperolehi lebih-lebih lagi untuk membesarkan anak-anak yang kini sudah berusia enam tahun. Tapi Elinaton percaya dengan rezeki Allah, yang penting usaha dan tawakal. Justeru bagi menambah pendapatan yang sedia ada, pelbagai usaha dilakukan oleh wanita ini.
“Saya tak terus meratap dengan keadaan yang menimpa saya perlu bangkit dari kejatuhan, redha dengan apa yang berlaku. Apa yang saya lakukan adalah terus berdoa, berusaha dan bertawakal serta mengharapkan bimbingan dari-Nya. Semoga akan ada sirna buat saya dan anak-anak di hujung perjalanan kehidupan kami nanti.
“Alhamdullilah, sedikit sebanyak saya bersyukur mempunyai pekerjaan tetap. Dapatlah membantu saya demi meneruskan kelangsungan hidup. Tapi jujur saya katakan ianya sangat mencabar kerana berapa sangatlah gaji yang saya dapat dengan jawatan sebagai seorang pembantu operasi. Saya perlu buat sesuatu dan tak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Rezeki tak akan datang bergolek tanpa usaha.
“Setelah hidup sendirian saya banyak terlibat dengan persatuan ibu tunggal. Dari situ saya mengikuti kursus-kursus bagi mempertingkatkan jati diri dan kemahiran yang ada. Saya belajar di Giat Mara, CIC dan beberapa lagi pertubuhan untuk melengkapkan diri dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini. Alhamdullilah dengan kemahiran yang saya ada, saya mengambil upah menjahit secara sambilan untuk menambah pendapatan saya sekeluarga,” ujar wanita yang berasal dari Bera, Pahang ini.
Sokongan Keluarga
Dalam meniti kebangkitan hidup, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting buat Elinaton. meskipun sedih dengan apa yang berlaku terhadap salah seorang wanita dalam keluarga mereka, ahli keluarga ini reda dan sering menasihati supaya terus tabah menghadapi ujian yang melanda.
“Ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain banyak membantu saya untuk bangkit semula. Mereka juga turut bersedih dengan keadaan yang menimpa saya ini dan sering menjadi tempat untuk saya mengadu dan sentiasa menasihati diri ini supaya tabah menghadapi dugaan Allah ini. Doa mereka juga buatkan saya bangkit dan kuat seperti hari ini. syukur Alhamdullilah.”
Bagi Elinaton wanita yang senasib dengannya perlu meneruskan kehidupan walaupun tanpa seorang suami di sisi. Pesannya jangan sesekali menyalahkan takdir. Hakikatnya anda semua bukan keseorangan. Bersyukurlah kerana masih ada keluarga, rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan di saat anda memerlukan. Paling penting selagi masih mampu untuk bekerja, jangan cepat putus asa dan kuatkan iman yang ada untuk menghadapi apa sahaja ujian dan dugaan yang melanda.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup
Suraya Abu Hassan, 26 tahun, tidak pernah menyangka bahawa dirinya akan mengalami lumpuh separuh badan.
Segala-galanya bermula dengan sakit kepala yang dialami secara tiba-tiba. Namun, dia tidak menghiraukannya kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun 2009.
Setelah tiga hari menamatkan peperiksaan, sekali lagi dia mengalami masalah yang sama. Kali ini lebih teruk kerana dia hampir pitam. Kejadian itu berlaku ketika dia menemani emaknya, Saayah Zaini ke Pekan Sehari berdekatan rumahnya.
Mereka kemudiannya balik ke rumah. Keadaan Suraya yang semakin membimbangkan menyebabkan emaknya membawa dia ke Klinik Desa Felda Lepar Utara, Pahang. Namun setelah bertemu doktor, Suraya hanya diberikan ubat tahan sakit.
Sebaik kembali semula ke rumah, badannya menjadi lembik. Kali ini bapanya Abu Hassan Zakaria segera membawanya ke hospital Temerloh.
Pembedahan
Doktor di Hospital Temerloh telah mengesyorkan agar Suraya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan scan oleh doktor di HKL mendapati ada air yang tersumbat pada otaknya.
Doktor segera melakukan pembedahan membuang air di bahagian kanan otaknya. Kesan pembedahan membuatkan Suraya tidak boleh bercakap lebih kurang 2 bulan lamanya.
“ Saya terbaring seperti mayat hidup. Itu yang saya rasakan ketika itu. Anggota badan terutamanya sebelah kiri tidak boleh bergerak. Perasaan saya pada ketika itu usah cakaplah.
Asyik menangis. Kalau diingatkan saat-saat tersebut memang menyedihkan,” ujar Suraya mengimbau kisah hampir Sembilan tahun lalu.
Walau lumpuh sebelah badan, Suraya masih mampu berjalan. Namun begitu langkahnya agak lemah. Nasib baik dia tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Sambung Pelajaran
Lumpuh sebelah badan menyebabkan cita-cita Suraya tidak kesampaian. Lama juga dia mendiamkan diri di rumah tanpa melakukan sebarang kerja atau bergaul dengan ramai orang.
Dia mengakui keadaanya itu bukan sahaja memberi kesan pada dirinya malah emak dan ayahnya turut menerima tempiasnya.
“ Emak dan ayah risau tengok keadaan saya. Saya sedar saya perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa risau mereka itu. Dahulu saya fikir selepas SPM saya mahu menyambung pengajian. Saya mahu masuk Universiti. Cita-cita saya mahu jadi guru. Itu yang saya sedih bila jadi lumpuh sebelah badan.
Pada suatu hari saya, abang saya telah mengesyorkan saya belajar di PLPP Bangi yang kebetulan tidak jauh dari rumah dia. Saya setuju dan mengambil kursus IT dan Pembantu Tadbir.
Saya duduk di asrama. Itulah pertama kali saya berada berjauhan daripada keluarga. Di situ juga saya sedar masih ramai lagi OKU seperti saya. Malah ada yang lagi teruk daripada saya.
Melihatkan kesungguhan kawan-kawan OKU di sana telah menambah keyakinan saya untuk mengubah nasib. Saya akhirnya berjaya menamatkan kursus di sana.”
Jadi Guru Tadika Pasti
Sejak menamatkan pengajian di PLPP, Suraya telah mendapat kerja sebagai guru di sebuah Tadika Pasti yang terletak di Felda Lepar Utara Satu .
Tadika ini terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap kali pergi kerja, Suraya akan memandu sendiri kereta yang telah diubahsuai. Ternyata kekurangan diri bukan penghalang buat dirinya untuk berdikari.
Jadi guru menyeronokkan Suraya. Setiap hari dia perlu melayan kanak- kanak berusia 4 tahun. Keletah mereka menghiburkan hatinya.
“ Kadang-kadang ada juga mereka bertanya pada saya apabila mereka melihat saya berjalan dalam keadaan tidak teratur. Kak Su, kenapa jalan macam itu? Itu antara soalan yang biasa saya terima dari mereka. Saya hanya mampu senyum sahaja apabila mendengar soalan tersebut.
” Tugas saya di tadika itu mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mewarna. Apabila tengok kanak-kanak ini saya rasa gembira. Kecacatan tidak menghalang kerjaya saya.
Paling penting saya perlu ada kesabaran. Saya perlu sabar menghadapi dugaan dan berusaha untuk membangunkan diri. Itu paling penting.”
Penyelidik UM Ajar Suraya Melakukan Regangan
Prihatin terhadap nasib insan yang kurang bernasib baik telah membuatkan sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya.
Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamakan ‘Be Able’ yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana.
‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016 dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UM Cares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan dan Pakar Prostetik dan Ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Nasrul Anuar Abdul Razak yang mengetuai delegasi penyelidik ini berkata, walaupun perjalanan mereka ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik ini.
“ Objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dan menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan.
Melihatkan keadaan Suraya ini saya percaya dengan latihan regangan yang betul dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi.”
Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten.
Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal.
Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.
Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Ada Gambar Aunty Tak Pakai Baju Dalam Telefon Ayah.’ Bapa Simpan, Anak Yang Ketagih
‘Ada gambar aunty tak pakai baju dalam telefon ayah.’ Bapa simpan dalam galeri, anak yang ketagih sama. Memang sukar untuk dipercayai, tapi itulah realiti terjadi.
Ayah-ayah yang melayan video porno menganggap perbuatan itu biasa sebenarnya menjadi luar biasa bila anak yang belum mengerti apa-apa turut sama menonton tanpa bapa sedari.
Ada Gambar Aunty Tak Pakai Baju
“Mak, adik tengok gambar aunty tak pakai baju dalam telefon ayah,” kata Mira ke mak dia. Mira bukan nama sebenar ya.
Terkejutlah maknya. Bersungguh tanya ke anak apa yang dia tengok. Anak pun cerita ada banyak gambar aunty-aunty bogel dalam telefon ayah dia.
“Makcik mana pula ni?” Terbakarlah hati mak ni nak tahu sangat. Telefon suami tanya gambar apa yang dia simpan dalam handphone.
Dalam gugup tu ayah mengaku juga akhirnya. Selalu tengok gambar dan video lucah yang kawan-kawan kongsi dalam group WhatsApp. Iya, dalam group WhatsApp dengan kawan-kawan lelaki, kongsi tengok sama-sama.
Baca Di Sini:
Ibu Ayah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita. Marah Anak, Sebenarnya Kita Marah Diri Sendiri
“Patutlah Lambat Sembuh, Beri Ubat Tak Ikut Dos,” Lagi Mudaratkan Kesihatan Anak
‘Cepat Marah Bila Anak Buat Perangai.’ Mereka Tak Kecil Selamanya, Sabarlah Sekejap!
Dalam Telefon Ayah
Semua kawan-kawan lelaki dalam group tadi dah jadi suami orang. Sudah ada anak-anak. Tapi melayan video dan gambar yang mereka ambil daripada laman sesawang lucah. Letak pula dalam group tu.
Komen dan gelak sama-sama. Balik rumah tak delete pula semua gambar dan video tadi. Mungkin sengaja simpan sebab nak tengok banyak kali.
Lagi bala bila anak tengok telefon, bagi sahaja. Tak pantau juga anak tengok apa. Buka WhatsApp pandai pula anak tadi tengok mesej-mesej ayah dia. Jumpa lah gambar aunty-aunty tadi.
Ya Tuhan. Mujur Mira ini jenis buka mulut dan bercerita ke mak dia. Kalau kena yang jenis diam dan curi-curi tengok selalu, silap-silap termasuk kategori kes yang ketagih pula melayan porno.
Kita selalu tertanya-tanya apa punca atau di mana laluan access anak-anak ini mula melayan pornografi.
Anak Yang Ketagih
Mengikut statistik, kes begini kebanyakan bermula daripada mak ayah sendiri.
1. Mak ayah tak pantau anak-anak selalu. Terutama bila sampai masa penggunaan gajet dan internet.
Betul kita bagi untuk pembelajaran, tapi wajib sekali dengan pantauan. Kita kena tengok anak tonton apa di Youtube, di WhatsApp group dengan kawan-kawan atau website apa yang mereka layari.
Termasuk hal tidak pantau ini adalah bila anak-anak selalu guna telefon atuk atau nenek. Atuk atau nenek ni tak pandai nak kata tidak, bila cucu minta bagi sahaja.
Ada kes yang tuan Akhi Fairuz Al-Jengkawi dapat dulu. Seorang anak dapat access daripada telefon atuk dan nenek ini untuk layan porno. Umur baru 6 tahun. Tepuk dahi juga dibuatnya.
Jadi kena pantau. Kena tanya anak tengok apa dekat telefon. Tanya selalu supaya anak-anak tahu kita ambil tahu apa yang mereka tengok.
Bapa Simpan
2. Masa dengan anak-anak kurang. Masa kualiti anak-anak tidak terisi dengan betul, maka mereka akan cenderung mencari aktiviti lain untuk penuhi masa mereka.
Tangki emosi aspek masa dan perhatian untuk anak-anak daripada sudut psikologi bukanlah memerlukan masa yang panjang seperti 1-3 jam. Cukup sekadar 15 ke 30 minit yang berkualiti.
Kita berjaya isi masa dengan anak-anak selama 30 minit, mereka akan rasa penuh dan cukup perhatian untuk sehari.
3. Selalu biarkan anak-anak tanpa aktiviti. Mereka tiada content. Duduk rumah lama tak buat apa-apa, sudahnya sunyi dan bosan.
Jadi kawan-kawan akan jadi tujuan utama setiap masa mereka. Dengan kawan-kawan ini kita tak boleh nak kawal sangat, sebab kita tak tahu apa aktiviti mereka.
Bila dah keluar sama, duduk dalam bilik sama-sama. Macam-macam boleh jadi.
Maka rancanglah aktiviti dengan anak, bina jadual aktiviti. Biar masa anak-anak terisi dengan aktiviti bersama mak ayah.
Jangan Ambil Lewa
4. Mak ayah ambil sambil lewa tentang pendidikan seksual. Yang akhirnya anak-anak tak faham menonton porno adalah satu kesalahan.
Tak diajar juga yang akibat melayari porno ini memberi kesan jangka panjang yang merosakkan fungsi otak.
Akhirnya mak ayah cuma mengharap anak-anak tahu sendiri, belajar sendiri yang porno itu salah. Bukan mak ayah yang ajarkan daripada awal.
Maka bila ternampak kawan-kawan tengok, dia tengok sekali. Tanpa dia tegur kawan sendiri. Dia nampak ada gambar lucah di telefon ayah atau ahli keluarga lain, dia biar dan tak adukan kepada orang lain.
Balasan Atas Dosa
Kawan-kawan yang baik, satu perkara lagi.
Sengaja saya ketepikan soal ayah yang melayan gambar dan video lucah tadi. Sebab nak sebut dihujung ini.
Kalau boleh saya tanya, apa perasaan kalian sebagai mak ayah bila dapat tahu anak ketagih porno?
Takkanlah tergamak nak rasa biasa sahaja sebab kalian pun buat juga. Normal lah tu layan semua video dan gambar lucah begitu. Macam tu?
Mestilah tidak kan. Perkara salah yang kita buat, kita mesti tak mahu anak kita ikut.
Kalau Menyesal Bertaubat
Namun percayalah, jika kita tidak tinggalkan dan bertaubat sungguh-sungguh atas kesalahan kita, kemungkinan untuk anak-anak kita mengikut apa yang kita buat itu adalah tinggi.
Inilah kafarah atau balasan kepada dosa yang kita kekalkan. Jadi kena ambil perhatian soal ini.
Jaga diri kita, jaga juga diri anak-anak. Kita baiki diri, Tuhan permudahkan urusan mendidik anak-anak. Percayalah.
Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Mingguan Wanita : Jika kita tak mahu anak-anak buat perangai tak senonoh, kita ubahlah diri kita dahulu.
Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI