Bahagia…! Semua orang perkahwinan mereka bahagia namun tak semua mampu menggapainya. Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.FB: https://www.facebook.com/Promind-Training-And-Consultation-136635193169189/
Bahagia Tak Semudah Diucap
Setiap orang mempunyai dua harapan apabila berkahwin. Pertama; mengahwini orang yang dia cintai. Kedua; bahagia hingga ke akhir nyawa. Ada orang yang sangat bertuah. Allah makbulkan kedua-dua harapan ini. Ada juga orang yang hanya dapat salah satu.
Berkahwin dengan orang yang dicintai tetapi hanya kekal selama tujuh hari. Ada pula yang berkahwin tanpa didahului cinta tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Itu juga pasti yang terbaik dan hanya Allah yang mengetahui rahsia dan hikmah kejadian itu.
Pilih Bahagia
Mengikut pengalaman saya sebagai Kaunselor Keluarga, wanita lebih memilih untuk bahagia walaupun tidak kenal berbanding mengahwini pemuda cinta hati tetapi hanya kekal tujuh hari.
Namun untuk bahagia ke akhir hayat itu tidak mungkin berjaya tanpa cinta dan kasih sayang. Untuk kekal untuk mencintai pasangan pasti ada senarai cabaran yang tersendiri.
Cakap memang senang tetapi bagaimana untuk terus mempertahankan perkahwinan itu sekiranya dilanda dugaan hebat? Itulah yang akan saya kongsikan dalam nota minggu ini.
Tahap Kegembiraan
Untuk cara yang pertama ini saya kongsikan dahulu hasil kajian penyelidik daripada University of Rochester. Mereka mendapati ada empat cara pasangan menerima sesuatu berita baik.
- Seronok dan teruja.
- Gembira tetapi tidak ditunjukkan.
- Tidak ada respons.
- Meleceh dan memperkecilkan.
Penyelidik ini mendapati individu yang selalu memperkecilkan pencapaian pasangan mempunyai tahap kegembiraan yang rendah dalam perkahwinan mereka.
Contohnya “Elehh..orang lain pun beli juga kereta. Kereta baru lagi. Bukan kereta ‘second hand’ macam kereta Abang ni”.
Bahagia Tapi Tak Tunjuk
Suami mana yang tidak sakit jantung dapat isteri macam ini? Apa yang mengejutkan ialah rasa gembira tetapi tidak ditunjukkan kepada pasangan juga tidak elok untuk mencapai kebahagiaan. Maknanya kita tidak boleh hanya simpan rasa seronok itu dalam hati.
Hanya individu yang seronok dan teruja apabila pasangan mereka gembira atau mencapai kejayaan boleh menjadikan pasangan bahagia. Oleh itu selepas ini jangan malu-malu lagi. Raikan kejayaan dia. Dia gembira dan anda juga bahagia.
Bila Diri Dihargai
Tidak ada perasaan lebih berbunga selain perasaan apabila diri dihargai. Suami dan isteri mempunyai peranan saling melengkapi. Alangkah bahagia pasangan yang menghargai peranan pasangan mereka.
Dengan ucapan ‘terima kasih’, senyuman atau apa sahaja yang menunjukkan penghargaan pasti akan membuatkan pasangan rasa bahagia. Sebagai contoh suami memuji masakan isteri dan isteri mengucapkan ‘terima kasih abang’ apabila suami selesai mengemop lantai pasti mengikat pasangan itu hingga ke akhir hayat.
Sambutlah Suami
Bagaimana pula pasangan yang tinggal bersama? Pejabat mungkin berbeza tetapi setiap hari tentu masing-masing kembali ke rumah yang sama. Adakah semasa berpisah di waktu pagi isteri datang mencium tangan suami? Adakah setelah balik waktu petang suami senyum lalu mencium pipi isteri? Atau masing-masing naik kereta sendiri dan tidak kisah bila suami atau isteri mereka pulang dari pejabat hari itu?
Sebab itu dalam Islam disuruh isteri menyambut suami di muka pintu. Sediakan air atau minum petang bersama. Itu jika isteri tidak bekerja. Jika isteri bekerja pula tentu suami boleh belikan sedikit juadah minum petang dan janji sampai di rumah untuk minum petang bersama isteri.
Krisis Bermula Dari Isu Kecil
Saya selalu kata krisis rumah tangga selalu bermula daripada isu yang kecil-kecil. Saya juga kata kebahagiaan rumah tangga datangnya daripada perkara kecil-kecil yang dibuat bersama. Suami siang ikan dan isteri gorengkan. Hujung minggu keluar berjoging bersama. Atau sesekali keluar tengok wayang berdua. Perkara-perkara kecil yang dibuat bersama inilah yang menghantar mesej di dalam minda bawah sedar bahawa pasangan kita dekat di mata dan dekat di hati.
https://www.mingguanwanita.my/lima-tahun-tinggal-serumah-dengan-madu-kebersamaan-rahsia-harmoni/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI