Bahagia. Siapa yang tak nak hidup bahagia bukan? Lebih-lebih lagi dalam alam perkahwinan. Namun bukan semua orang mampu meraih kebahagiaan. Tidak sedikit rumah tangga yang terkandas di tengah jalan atas pelbagai faktor.
Gagal dalam perkahwinan pertama, bukan penanda akan gagal untuk kali keduanya. Itu yang dibuktikan oleh Sya (nama samaran), lewat 40-an. Dia bercerai pada usia akhir 20-an, akhirnya dia kembali bertemu jodoh tiga tahun lalu dengan lelaki yang diperkenalkan oleh anak-anaknya sendiri. Ikuti perkongsiannya.
Cerai Di Usia 30 Tahun
Siapa yang tak ingin bahagia, lebih-lebih lagi selepas mengahwini lelaki yang dicinainya. Namun, aku antara wanita yang tak bernasib baik itu. Aku menyandang status janda pada usiaku mencecah 30 tahun, dengan tiga orang cahaya mata. Kini mereka bertiga sudah dewasa. Yang sulung, 25 tahun bekerja sebagai pegawai bank, yang kedua 23 tahun, baru saja bergelar seorang guru dan yang ketiga berusia 21 tahun. Masih belajar di peringkat ijazah dalam jurusan undang-undang syariah.
Tak Mudah hidup Sendiri Tapi Tetap Bahagia
Ya, aku yang menuntut cerai. Aku tak ingin mengaibkan bekas suami dengan segala keburukan dalam rumah tangga kami. Bukan juga aku menyalahkan dirinya 100%. Tentu ada silap di pihakku. Tapi cukuplah aku beritahu, aku tak dapat lagi terima bila dia ditangkap khalwat dengan seorang wanita, rakan sepejabatnya.
Hatiku tertutup untuk terus hidup dengannya lagi lantas ku mohon dilepaskan secara baik untuk mencari bahagia aku sendiri. Tiga anak di bawah jagaanku. Syukur aku punya pekerjaan yang membantu aku menyara anak-anak. Malah aku bersyukur, bekas suami tak pernah abaikan nafkah anak-anak. Bahkan kalau minta duit saja atas sebab anak, dia tak pernah tak bagi. Mungkin dia bukan suami yang baik tapi dia tetap ayah yang baik untuk anak-anakku.
Lagi artikel menarik di sini:
Dugaan bergelar Janda, Sering Dipandang Serong Orang!
Suami Tuduh Isteri Mandul, Kahwin Janda Sebelah Rumah!
Mesti Dengan Persetujuan Anak-Anak
Sejak bercerai, pintu hatiku seolah-olah terkunci untuk terima mana-mana lelaki. Tipu kalau kata tak ada yang nak try. Tapi, keutamaanku adalah anak-anak. Aku rasa sudah cukup bahagia dapat bersama mereka. Ternyata mereka sangat memahami keadaan mama mereka. Tak pernah menyusahkan bahkan sangat memahami kesusahanku. Sentiasa ingin buat aku bahagia.
Bukan aku ego, tak perlukan lelaki dalam hidup. Sebagai wanita, aku tetap ada rasa ingin disayangi oleh insan bergelar suami. Tapi entahlah. Waktu anak kecil, aku sibuk jaga mereka. Bila mereka mulai dewasa, aku rasakan diri ini sudah tua untuk mencari cinta baru. Apa pun yang penting lelaki itu mesti diterima oleh anak-anak. Mereka pula tak kisah kalau bertemu jodoh lagi, asal bukan dengan suami orang. Itu saja syarat mereka.
WhatsApp Misteri
Siapa sangka, satu hari aku dapat satu whatsapp daripada nombor yang tak ku kenali. Dia perkenalkan namanya sebagai B. Mulanya langsung tak ku layan. Tapi bila dia memberitahu bahawa nomborku itu diberikan oleh anak bongsuku, akhirnya aku layankan juga.
Rupanya B memiliki sebuah firma guaman dan anakku dan rakan-rakannya pernah menemu ramahnya untuk satu tugasan universiti. B merupakan pakcik kepada salah seorang rakan universiti anak bongsuku.
Sejak itu, sering kali juga B menghantar mesej. Orangnya baik dan berusia awal 50-an. Dia duda kematian isteri dengan dua orang anak. Namun kedua anaknya itu kini berada di luar negara. Seorang bekerja di Australia dan seorang lagi belajar di UK.
Anak-Anak Aturkan
Aku tak menyangka, anak-anak menjemput B makan malam di rumah. Waktu itu kebetulan anak B yang belajar di UK juga pulang bercuti. B datang bersama anaknya dan anak saudaranya yang merupakan kawan anakku.
Ku lihat anak-anak menyukai B. Malah anak B juga kelihatan baik dan dapat bergaul mesra dengan anak-anakku.
Cuba Ukir Bahagia Untuk Kali Kedua
Dipendekkan cerita, atas aturan anak-anak, aku dan B disatukan. Pada saat itu, cinta belum muncul namun entah mengapa aku terbuka untuk menerima B. Mungkin kerana anak-anak merestuinya. Itu perkara paling penting untukku.
Perkahwinan kami diuruskan oleh anak-anak bahkan siap majlis bersanding. Syukur, kini sudah lebih tiga tahun kami bergelar suami isteri. Masih dalam proses saling mengenali diri masing-masing. Namun ku rasakan makin aku mengenalinya, semakin aku jatuh sayang padanya. Terima kasih Allah kerana hadirkan seorang lelaki yang baik sebagai pelengkap hidupku dan anak-anak.
Untuk wanita di luar sana yang mungkin pernah berstatus janda, jangan serik untuk kembali cari bahagia. Yang penting, jangan putus berdoa ye.
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI