“Bagus Untuk Kesan Murid Tak Pandai Baca Tapi…” Pandangan Cikgu Tentang Program LINUS Selepas PRU Ke-14

Share

Kalau ada anak yang bakal menempuh alam persekolahan, mak ayah memang patut ambil tahu tentang pengetahuan pasal program LINUS. Ya, mungkin ada yang tahu sebut saja tetapi langsung tak tahu apa itu LINUS. Nak tahu lebih dekat, jemput baca perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh ini…

LINUS. Wajar diteruskan atau dimansuhkan?

Baik, perkara pertama aku nak sentuh ialah isu LINUS. Isu ini sebelum ini aku tak boleh nak sentuh secara terus sebelum ini kerana ini program dasar kerajaan. La ni, kerajaan dah berpindah tangan maka aku boleh tulis dan nyatakan pada masyarakat tentang kepincangan dan kekuatan LINUS ini.

Sebelum aku pergi lebih jauh, kau kena faham apa maksud LINUS. LI ialah Literasi. NU ialah Numerasi. S ialah Screening. Pendek kata, LINUS ni nak kesan murid tak tahu baca dan kira.

LINUS ialah satu program bagus yang dirangka oleh kerajaan lama. Sangat bagus program ini. Aku menyokong penuh LINUS diteruskan, namun banyak penambahan baikan perlu dilakukan.

Pertama.

Saringan LINUS yang membebankan dan tak masuk akal sehingga akhirnya guru-guru terpaksa menipu demi kejar due date untuk key in data.

Beban paling utama saringan ini adalah penyediaan bahan. Bahan patut KPM bekalkan pada semua sekolah agar selaras dan sama. Tak perlu cikgu-cikgu sediakan bahan yang berlambak itu.

Cikgu Maths pasti maklum, bahan sangat banyak diperlukan untuk menyaring murid.

Kedua.

Cara pelaksanaan yang langsung tidak logik akal. Guru diminta mengajar setengah jam dan setengah jam seterusnya baru saringan boleh dibuat.

Hal ini mustahil kerana murid itu manusia. Dan manusia ini bergerak, bertanya, nak kencing, mengadu, nak minum air, kacau kawan, bermain dan sebagainya.

Maka bila guru mengajar setengah jam, baru sahaja duduk keluarkan bahan untuk panggil murid buat saringan, muncul murid lain yang sepatutnya buat kerja datang mengacau.

Cikgu, soalan ni macam mana?”

“Cikgu, kena garis ke?”

“Cikgu, saya nak minum air.”

“Cikgu, dia main.”

“Cikgu, dia kacau saya.”

“Cikgu, saya dah siap.”

“Cikgu, dia kentut.”

Bertalu-talu soalan datang dan murid datang mengadu. Semua ini guru kena layan dan jawab satu persatu. Murid tahun 1-3, tuan-tuan maklum sajalah perangai mereka.

Maka sehari dapat menyaring 2-3 murid sahaja.

Sepatutnya, guru yang menyaring LINUS ini duduk tunggu murid setempat. Contohnya di library dan murid yang datang kepadanya seorang demi seorang.

Baru saringan berjalan lancar.

Lebih molek lagi, orang luar yang datang menyaring. Upah budak lepasan U untuk kerja satu dua bulan dan tugas mereka hanyalah menyaring murid LINUS dan key in segala maklumat.

Guru boleh teruskan tugas hakiki seperti biasa di kelas dan mengajar tanpa gangguan serta tekanan dari pihak atasan.

Ketiga.

Masa saringan singkat. Memang tak dan nak saring murid dengan garis panduan pelaksanaan yang diberikan. Tempoh saringan juga tak kena. Bertindih dengan sukan sekolah serta penilaian awal tahun murid.

Pertindihan ini buatkan cikgu tertekan bagai nak gila. Saringan perlu siap dalam masa ditetapkan, murid pula ke padang untuk latihan sukan. Maka akhirnya banyaklah penilaian maya berlaku.

Bukan kerana guru tidak jujur. Tapi terpaksa menipu bila masa dah tamat sedangkan murid belum habis disaring.

Kalau murid nak exam guru lagi tertekan. Nak ajar murid bersedia hadapi peperiksaan, dalam masa yang sama kena saring LINUS. LINUS ini dasar, maka diberi keutamaan sehingga akhirnya murid tidak bersedia untuk hadapi peperiksaan.

Ini sangat merugikan.

Keempat.

Murid yang pandai juga disaring. Ini perkara paling bodoh yang perlu kami laksanakan. Murid pandai baca kira tapi kami terpaksa tanya,

“Ini huruf apa?” sambil tunjuk huruf A.

Metaforanya begini. Anak kau dah pandai berlari siap kayuh basikal lagi, tapi kau panggil dia suruh dia tunjukkan kau bagaimana untuk menirap dan merangkak.

“Abang. Cuba merangkak ayah nak tengok.”

Tak ke bongok suruh anak darjah tiga merangkak.

Murid dah tentu pandai dan pintar tak perlu lalui semua ujian LINUS ini. Baru betul.

Kelima.

Saringan LINUS tak boleh dijalan semua sekali pada satu masa. Kena buat 3 kali saringan pada tarikh berbeza-beza. Kena buat ulangan pula pada murid yang tak lulus. Nak buat saringan umum pun tak cukup masa, nak buat ulangan celah mana?

Tarikh saringan kena tulis satu-persatu katanya takut cikgu menipu. Apa ke gila kerja tulis tarikh untuk setiap item yang ditanya.

Seorang murid 20 item disoal dan kena tulis tarikh berbeza pula. Kalau sekelas 40 orang dan guru kena mengajar 5 kelas? Dah buang masa cikgu berapa jam dah nak tulis tarikh saja.

Jalan je sekali harung untuk murid agak laju. Kalau betul-betul perlahan, boleh la buat dua kali pada tarikh berbeza.

Tulis tarikh tu mansuhkan saja. Buat penat dan habis dakwat sahaja. Dulu-dulu tak ada pun kena tulis tarikh, makin dikaji makin menyusahkan.

Keenam.

Sekolah wajib luluskan murid menjelang tahun 3. Sekolah yang ramai murid tak lulus LINUS kena jawab dengan PPD pula. Kena bagitahu sebab. Kena rancang program interversi pula. Mereka turun pantau dan tengok.

Nama sekolah pula dilelong. Gb dan pentadbir kena menjawab. Maka program interversi kalau pun ada kebanyakannya hanya atas kertas sahaja. Tiada masa untuk jalankan, tiada tenaga kerja untuk run, dan tiada kerjasama murid dan ibu bapa untuk perubahan.

Sebab itu pada akhirnya guru terpaksa menipu data meluluskan murid yang tidak lulus. Jika tidak, guru yang dipersalahkan, sekolah yang kena tekan dan guru tidak tenang.

Seolahnya nak nampak program LINUS ini berjaya capai apa yang mereka hendak walau hakikatnya tidak.

Kenapa malu nak akui ada murid masih tidak mampu baca tulis walau usia dah lebih 10 tahun?

Bukan guru tak usaha. Tapi memang ada murid yang memang slow perkembangan mereka. Ada pula jenis murid kategori masalah pembelajaran. Ada pula murid yang jarang-jarang datang ke sekolah.

Hal ini tidak boleh dielak dan hal ini terjadi bukan salah guru.

Jangan jadikan guru sebagai mangsa bila hal ini berlaku. Kena akui dan terus sokong murid itu.

Cukuplah dulu 6 point utama aku tentang LINUS. Point yang sebelum ini terpaksa aku pendam lama walau aku antara guru yang melaksanakan dasar ini sejak di tahun pertama.

Aku pernah kondem cara saringan ini dulu, kau tahu apa jadi pada aku? Kena hadap kaunseling dan surat tunjuk sebab beb. Sebab tu aku diam sehingga kerajaan bertukar tangan.

Satu dasar yang tidak boleh disentuh dan dikritik sebelum ini kini aku dedahkan pada umum.

Aku yakin dan percaya, ini isu sama yang dialami oleh guru-guru seluruh Malaysia. Dan aku juga percaya, majoriti guru setuju dengan program LINUS.

Program ini sangat bagus untuk kesan murid serta kita ambil langkah untuk pulihkan. Benda baik, kena sokong walau siapa pun perkenalkan. Aku sokong LINUS diteruskan.

Mereka dan aku cuma benci cara pelaksanaan saringan LINUS sahaja. Penuh dengan tekanan dan pelbagai peraturan mengarut semasa saringan dibuat.

Ini kita tambah baik, nescaya program ini lebih mantap dan berkesan. Tolonglah kaji semula dan pertimbangkan cadangan aku supaya program LINUS ini diteruskan dengan lebih efisien dan berkesan.

Ini adalah pendapat peribadi aku sahaja. Kalian bebas untuk bersetuju atau tidak. Ini realiti yang aku dan sahabat-sahabat guru hadapi yang perlu diluahkan secara telus kepada penggubal dan orang atasan KPM.

Aku menulis hal ini bukan untuk menidakkan program LINUS, aku menulis supaya situasi sebenar yang disorok bertahun lama diketahui oleh mereka yang ada kuasa.

Ini tulisan dari pengalaman, bukan tulisan kerana dendam. Bahkan, ini tulisan kerana sayang pada dunia pendidikan.

Salam ingatan dari aku, Cikgu Korea buat pimpinan baru dalam pendidikan.

 

Published by
Nadia