Hiburan

Bad Indigo Meninggal Dunia Di Tempat Kerja

Share

Hari ini, dunia hiburan tanah air kehilangan sebutir bintang apabila penyanyi Bad Indigo   meninggal dunia di tempat kerjanya iaitu di bengkel kenderaan di Ampang, jam 7 malam.

Menurut rakan sekerjanya, Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah.

“Memang mengejutkan. Katanya, dia tengah sakit dan berlaku hipoglisemia, dia diberi minum air. Tiba-tiba, dia senyap.

“Bos dia yang juga kenalan saya baru hubungi saya. Jenazah masih lagi di bengkel,” katanya memetik Harian Metro.

Bad Indigo Meninggal Dunia Di Tempat Kerja

Berita mengejutkan tersebut dikongsikan rakan seperjuangan penyanyi itu, Liza Hanim menerusi muat naik dalam Instagram sebentar tadi.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru dapat berita Bad Indigo telah kembali ke rahmatullah.

“Saya akan kongsi butiran lanjut dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata Liza, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abd. Halim.

Kali terakhir Bad memuat naik hantaran di laman Instagram miliknya ialah tiga hari lalu berupa video yang meniup semangat kepada pengikutnya di platform itu supaya tidak berputus asa dan mengingati Allah setiap kali dilanda ujian.

 Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis. Bad pernah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 selepas mereka mula rapat ketika bergelar peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Juga Baca:https://www.mingguanwanita.my/bad-indigo-bakal-kudung-cacat-kekal-hanya-mampu-berdoa-suami-terus-diberikan-kesembuhan/

Tetapi selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan itu diduga dengan masalah kesihatan Bad yang menghidap diabetes sehingga perlu memotong semua jari kaki kirinya.

Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

Published by
Rosmah Idayu