Tidak semua berpeluang menaiki Sleeper Train untuk balik kampung. Begitu juga buat sebuah keluarga yang menetap di Johor Bahru, Johor. Ini adalah pengalaman pertama bagi Wan Nur Surya Binti Wan Rahin sekeluarga menaiki kereta api lama yang mempunyai katil (berth).
Dari Johor menuju Kelantan. Ini cerita perjalanan sebuah keluarga dalam mencari pengalaman berharga selagi nyawa dikandung badan. Ikuti perkongsian yang ditulis wanita ini di dalam Facebook.
Ini adalah pengalaman pertama bagi kami sekeluarga ‘backpacking’ menaiki kereta api lama yang mempunyai katil (berth). Perjalanan yang memakan masa 16 jam tidaklah membosankan malah sangat menyeronokkan bagi kami terutama anak – anak. Setiap waktu mereka menghitung hari untuk menaiki kereta api.
Kami memesan perkhidmatan Grab dari rumah kami ke JB Sentral. Boleh sahaja kami naik di stesen Kempas atau Kulai. Oleh kerana ini pengalaman pertama kami dan kami tidak mahu bersesak, jadi kami mulakan perjalanan kami di JB Sentral.
Tambang Grab dari rumah kami ke JB Sentral – RM37 (termasuk tol).
Perjalanan kami bermula pada pukul 7.15 malam. Anak – anak sangat teruja apabila melihat katil di dalam kereta api. Masing – masing berebut mahu tidur di katil atas. Dari JB Sentral, hanya keluarga kami dan seorang wanita sahaja di dalam koc kami. Seronok la anak – anak berlari ke sana ke sini.
Sementara keretapi belum bergerak, kami cari tandas dulu untuk melihat keadaannya. Terdapat 2 tandas di dalam setiap koc. Satu tandas duduk dan satu tandas cangkung. Jadi, tiada masalah ‘pembuangan’ sepanjang perjalan yang jauh. Hihi… Walaupun tandas agak sempit, tiada masalah bagi kami untuk ambil wudhuk. Untuk ‘membuang’ apatah lagi. Selesa je.
Berbalik kepada katil, tambang adalah berdasarkan katil yang kita pilih. Tambang dari JB Sentral ke Tanah Merah;
Dewasa (Katil bawah) – RM53
Dewasa (Katil atas) – RM47
Kanak – Kanak (Katil bawah) – RM 37
Kanak – Kanak (Katil atas) – RM31
Kanak – Kanak (Tanpa katil) – RM17
Katil sangat selesa. Sama sahaja seperti zaman kita di universiti, tidur di katil double decker. Untuk Ammar dan Areeq, kami tidak ambil katil untuk mereka. Jadi, mereka perlu berhimpit tidur dengan abang dan ayah. Tiada masalah ‘privacy’ kerana setiap katil mempunyai langsir yang dapat menutup katil sepenuhnya.
Semasa saya belajar di Sarawak dahulu, oleh kerana saya berada di katil bawah, pernah saya tutup katil saya menggunakan selimut untuk lebih privacy dan gelap ala – ala ‘nook bed’.
Agaknya orang introvert seperti saya memang sukakan tempat begitu. Tambahan lagi, tidur di atas katil dalam kereta api terasa seperti tidur di dalam buai. Bagaimana seronoknya bayi tidur di dalam buai, begitulah kami, agak lena tidur di dalam kereta api yang berbuai – buai.
Oleh kerana kami bawa highland trail, mudah untuk kami letakkan beg di hujung kaki katil. Jadi, tidak mengganggu laluan penumpang lain untuk ke tandas atau ke cafe. Di waktu semua penumpang sudah menutup langsir masing – masing, suasana mula sunyi dan sepi.
Hanya bunyi geseran roda kereta api di landasan, ibarat ‘lullaby’ yang mendodoikan kami semua tidur. Saya tidak lena tidur, menggigil kesejukan. Aircond sangat sejuk walaupun sudah berselimut dan memakai ‘sweater’.
Artikel berkaitan:
Jeju, Musim Sejuk Umpama Kat Narnia, Best Sangat Percutian Wanita Ini
Seronok Sungguh Wanita Ini Snorkelling & Hiking Di Pulau Coron. Kat Mana Tu?
Ini juga pengalaman pertama kami bersolat di atas katil di dalam kereta api. Saya pernah juga solat di atas katil semasa sedang menunggu giliran bersalin di hospital. Tetapi solat dalam keretapi agak mencabar. Kita perlu seimbangkan badan kita terutama sewaktu sujud. Gegaran kereta api boleh menyebabkan kita hampir tergolek semasa sujud.
Jika lapar, kita boleh ke cafe. Oleh kerana kami berada di koc T8, kami perlu melalui dua gerabak untuk ke cafe. Ada juga pekerja cafe yang akan membawa troli menjual makanan dan air kotak di setiap gerabak tetapi kami lebih suka ke cafe walaupun hanya untuk minum kerana tingkap di cafe bersih dan luas jadi kami dapat menikmati pemandangan dengan lebih jelas.
Kami akan ke cafe sesudah solat Subuh kerana waktu itu masih ramai yang belum mahu meninggalkan katil. Sambil menikmati minuman panas sambil menunggu matahari terbit untuk melihat keadaan di luar. Kalau nak ikutkan, kami akan duduk di situ agak lama juga kerana tingkap di katil agak kusam. Jadi, tidak seronok untuk kami menikmati pemandangan di luar.
Walaupun kereta api melalui kawasan hutan, tetapi kami tetap seronok menikmati pemandangan hutan di luar jendela. Rasa sangat bersyukur kerana negara kita masih mempunyai hutan yang dapat membekalkan oksigen kepada kita.
Kami tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang hampir pukul 8.00 pagi. Agak lama juga kereta api singgah di situ. Kami dapat menyaksikan dua buah gua batu kapur yang sangat indah yang terletak berhadapan stesen tersebut. Apalagi, saya terus membuka pintu gerabak untuk merakam pemandangan yang sangat indah. Rugi jika hanya duduk di katil tanpa berbuat apa – apa.
Baru saya tahu, rupanya staff KTM akan berjalan sepanjang gerabak untuk memberitahu stesen seterusnya. Jika ada yang masih tidur, staff tersebut akan mengejutkan mereka dari tidur dengan memanggil nombor katil mereka. Pengetahuan baru.
Kami tiba di Stesen Kereta Api Tanah Merah tepat pukul 11.30 pagi (20 Ogos 2020)seperti yang tertera di tiket.
Kami pulang semula ke JB dari Stesen Keretapi Wakaf Bharu pada waktu yang sama kami bertolak dari JB Sentral. Harga tambang hanya berbeza RM2.00 bagi dewasa dan RM1.00 bagi kanak – kanak dari harga yang tertera di atas.
Kali ini, saya pula yang tidur di katil atas kerana anak – anak tidak lagi mahu naik. Katil atas sempit sedikit dari katil bawah tapi masih selesa untuk tidur. Bagi saya, katil atas lebih terasa gegarannya berbeza dengan katil bawah.
Kami tiba di Stesen Kulai pada pukul 11.15 pagi (25 Ogos 2020) dan kami mengambil perkhidmatan Grab ke rumah kami dengan tambang RM17.
Perjalanan yang lama membuatkan kita dapat banyak berfikir, bersyukur dengan apa yang kita miliki di sekeliling kita. Perjalanan ini walaupun perjalanan pulang ke kampung, tetapi bagi kami, perjalanan pulang ke kampung pada kali ini sangat istimewa kerana dapat menunaikan hasrat kami untuk menaiki sleeper train. Ia juga satu pengalaman hidup yang tidak dapat dijual beli terutama bagi anak – anak.
Untuk pengetahuan, perkhidmatan ‘sleeper train’ akan ditamatkan dan digantikan dengan ETS. Dahulu, banyak perkhidmatan ‘sleeper train’ di Malaysia. Kini, hanya tinggal laluan Johor Bahru ke Tumpat sahaja. Laluan lain telah digantikan dengan ETS yang lebih canggih dan laju. Tiada lagi katil untuk kita baring dengan selesa. Kerana itulah kami mengambil keputusan untuk menaiki kereta api pulang ke Kelantan.
Agak sedih juga bila melihat teknologi baru yang sentiasa menggantikan apa yang kita ada sekarang. Bagi saya, jika dikekalkan kereta api ini untuk tujuan pelancongan, mungkin lebih baik dari ditamatkan perkhidmatannya dan warisan itu lenyap begitu sahaja. Ibarat kata pepatah, tiada yang lama, tiadalah yang baru kerana nilai klasik itu lebih mahal harganya.
Sumber dan Foto: Wan Nur Surya Binti Wan Rahin