Benarlah seperti yang dijanjikan hidup berumah tangga rezeki akan datang melimpah ruah. Yang penting susah senang bersama dan saling membantu. Begitu jugalah yang diberitahu oleh anak seni yang mempunyai bakat serba boleh Muhammad Alif Mohd Satar atau lebih glamor dengan nama pentasnya Alif Satar, 27.
Sejak berusia 16 tahun, dia sudah berjinak dalam dunia seni. Namun selepas berkahwin dengan isteri kesayangan Sha Dila Halid, 33 dan kini merupakan bapa kepada dua orang puteri yang bernama Alisha Anugerah, 2 tahun 6 bulan dan Ariana Mecca yang kini berusia 10 bulan nama Alif semakin melonjak naik dan rezeki dalam kerjaya juga begitu murah.
“Semua ini rezeki daripada Allah, saya mula terlibat dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun. Rasanya ramai wartawan hiburan yang kenal saya dari awal penglibatan. Malah saya pernah datang ke Karangkraf dengan berpakaian sekolah. Sebabnya memang wartawan mahu saya mengenakan uniform sekolah untuk sesi fotografi.
“Alhamdulillah saya percaya rezeki yang datang selepas berkahwin dan rezeki anak-anak. Semua ini berkat doa daripada mama dan ayah yang banyak beri sokongan dalam kerjaya seni ini. Dulu masa saya tidak ada kenderaan mama dan ayah yang akan hantar ke lokasi persembahan. Selepas saya berkahwin dan dapat anak-anak yang comel, Alisha dan Ariana saya bersyukur Allah beri saya rezeki lebih.
“Sebelum ini, masa di awal-awal karier saya pernah terfikir kenapa orang lain senang saja nak popular. Nasib saya tidak seperti mereka sedangkan saya pun boleh berlakon dan menyanyi. Rupa-rupanya Allah nak beri rezeki lewat sedikit dan saya peroleh selepas sudah berkeluarga.
“Walaupun lambat sedikit berada di puncak namun saya tidak pernah menyerah kalah dan bersungguh-sungguh dalam memberi komitmen terhadap kerjaya seni. Syukur dengan kerja kuat dan doa selama ini Allah makbulkan dan berikan yang terbaik buat kami sekeluarga,” terang Alif yang begitu gembira setiap kali menyentuh tentang keluarga kecilnya.
Memandangkan jadual kerjanya yang begitu padat Alif terpaksa mencuri masa untuk bersama keluarga.
“Saya cuba seimbangkan masa antara kerja dan keluarga. Hujung tahun biasanya saya peruntukan masa berehat dan bersantai. Bila ada masa luang biasanya saya lebih suka duduk di rumah. Saya hanya akan duduk di dalam bilik saja sambil melayan karenah anak-anak. Saya beri ruang kepada anak-anak menonton video di telefon pintar dan menonton TV.
“Biasanya saya kalau bekerja tidak akan berhenti selama sembilan bulan. Cuma rehat dalam seminggu sehari atau dua hari saja. Jadi masa sehari dua itulah saya gunakan sebaiknya dengan menonton wayang dan kadang-kadang bawa keluarga saya ke rumah mama dan ayah. Bagi anak-anak rasa lebih seronok, saya akan bawa mereka pergi berkelah ke Tasik Titiwangsa atau makan piza di kolam renang berdekatan rumah.
“Kalau bercuti pun paling jauh saya akan bawa keluarga ke Sabah dan tahun ni saya rancang nak bawa mereka ke Pulau Pinang. Sebenarnya selepas berkahwin, saya dan isteri tidak pernah pergi bulan madu berdua. Kalau ke luar negara sebelum ini Shad sarat mengandung dan dia tidak larat nak melancong.
“Apabila sudah ada anak memang susah sikit nak melancong ke luar negara. Mungkin tunggu anak-anak dah besar sikit barulah senang nak bawa mereka berjalan-jalan,” luah Alif yang berasakan dirinya cukup bertuah kerana dalam usia yang muda dia sudah mempunyai dua orang anak. Alif juga berkongsi semasa isterinya dalam pantang, dia yang menyediakan masakan untuk isteri tercinta.
Menyentuh tentang pendidikan pada anak-anak yang diterapkan, Alif menjelaskan dia dan isteri memiliki cara yang berbeza.
“Macam Shad suka anak-anak bermain dengan toys. Kalau saya pula beri pendedahan anak-anak dengan menonton TV atau gajet tapi saya mengawasi apa yang anak saya tonton. Bila anak-anak menonton TV atau filem kartun, mereka akan menari, hafal skrip dan belajar bahasa Inggeris.
“Saya ajar anak-anak bercakap dalam bahasa Inggeris kemudian bila mereka sudah besar dan bersekolah nanti mereka akan bercakap bahasa Melayu pula. Tentang sekolah pula, saya fikir mereka masih kecil dan biarlah mereka membesar mengikut usia mereka. Saya sedang fikir nak bagi kelas menari pada anak sulung sebab nampak dia cenderung pada tarian.
“Saya tidak paksa anak ke sekolah, saya mementingkan sosial dulu, kemahiran itu penting. Sekarang ini keadaan jauh berbeza, remaja berusia 16 tahun pun sudah pandai berniaga di Instagram. Jika satu hari nanti anak saya pilih kerjaya seni saya tidak kisah. Sebab mama dan ayah saya juga tidak kisah saya pilih seni walaupun mereka golongan yang terpelajar.
“Mama dan ayah tidak paksa saya masuk kolej. Mereka sokong bakat yang dimiliki anak mereka. Jadi saya pun nak buat perkara yang sama dengan apa yang dididik oleh mama dan ayah saya. Apa yang anak nak jadi saya sentiasa sokong tapi perlu disiplin,” akur Alif.
Pada sesi fotografi tersebut penulis juga sempat menemu bual Shad. Jelasnya walaupun penat namun dia berasa cukup puas dapat menjaga sendiri anak-anaknya.
“Saya menjaga sepenuh masa anak-anak, bila tengok orang jaga anak macam senang. Sebenarnya sangat sukar. Susah jaga anak, namun saya bersyukur kerana ada pembantu.
“Walaupun penat tapi puas hati sebab jaga sendiri. Dulu masa bekerja saya berasa risau dan tidak senang hati memikirkan anak-anak. Ibu berkerjaya mahupun suri rumah, penat sama saja. Saya bersyukur sebab dapat jaga anak-anak sepenuh masa,”ujar Shad.