
Isi Kandungan
TogglePersonaliti terkenal, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar, 39 berkongsi di instagramnya yang dirinya sudahpun menjadi isteri kepada Fairos Khan Abdul Hamid pada 1 Mei lalu bersamaan 15 Syaaban 1439H iaitu jatuh pada hari Nisfu Syaaban.
Beliau yang juga bekas pembaca berita TV3 dan pernah berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ini turut memaklumkan yang suaminya, Fairos adalah sahabat yang dikenali sejak 20 tahun yang lalu. Cuma setahun yang lalu, hubungan antara mereka mula menjadi rapat.
“”Setelah mengenali hati budi, pasangan bujang bernama Fairos Khan Abdul Hamid menjadi ‘mangsa’. Beliau yang memahami rentak kehidupan dan kehendak saya berlatarbelakangkan TV penyiaran sebagai pekerjaan.
Maklum beliau lagi majlis pernikahannya diadakan di kediaman pengantin perempuan secara tertutup dihadiri keluarga terdekat dinikahkan oleh ketua Pendaftar nikah, cerai dan rujuk Jawi Wilayah Persekutuan, Ustaz Hazman Hashim berwalikan bapa beliau.
“Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang untuk memahami naluri saya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan. Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua.”
Takkan Sesaat Melupakan 2 Orang Anaknya
“Tidak pernah sesaat sekalipun saya melupakan atau akan melupakan kedua-dua anakanda saya. Malah jika diberi peluang dan kesempatan, tanggungjawab dan kasih sayang sebagai ibu sentiasa sedia dicurahkan. “
Akui Azrinaz jujur, “Bukan material yang dicari, cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini dikala susah senang, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.
“Kami bukanlah sempurna, dengan ketidaksempurnaan inilah yang melengkapi kami berdua. Dari lubuk hati, maaf dipohon, 10 jari disusun kerana berita ini tidak dikongsi dengan rakan2 media terlebih dahulu mahupun sahabat handai.”

Memilih Untuk Lebih Privacy
“Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’ begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti.
“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan IzinNya segala usaha telah dipermudahkan dalam setiap perancangan yang hanya memakan masa 2 bulan.”
“Akhir kata, tiada siapa yang lebih pakar, lebih pintar, lebih arif, lebih mahir dalam masa depan seseorang. Terimalah ketentuan jodoh seperti yang telah ditentukan Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia yang lebih mengetahui. Assalammualaikum.”
Sumber/Foto : Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Satu-satunya Kayu Siling Rumah Tak Roboh & Hanyut, Selamatkan Nyawa 7 Beranak

Isi Kandungan
ToggleBerlegar di media sosial gambar rumah yang tinggal tangga batu pink selepas dilanda banjir di Hulu Langat. Ada juga yang terpaksa memanjat hingga syiling rumah demi menyelamatkan nyawa. Menggambarkan betapa dashyatnya tragedi banjir yang melanda kawasan itu.
Norismahida Ismail berkongsi pengalaman yang dikongsikan anak mangsa banjir Hulu Langat. Yang mana kesemua mangsa 7 beranak itu selamat berlindung atas kayu siling rumah. Itu saja bahagian yang tinggal, sedangkan lainnya sudah dihanyutkan dek banjir.
Alhamdulillah, kesemuanya masih selamat. Biarpun malam kejadian, 7 beranak ini perlu memanjat tinggi sehingga ke loteng demi menyelamatkan nyawa.
Ini kisahnya,
Semalaman (ketika status dikongsi pada 30 Disember 2021) diorang berlindung dalam siling. Antara hidup dan mati. Tawakal Alallah..
Setiap kali kayu balak menghentam, setiap kali tu jugalah rumah bergoyang. Kedudukan mereka juga bergoyang. Allahuakbar.
7 beranak. Mak, ayah, pak long 5 baranak. Sesungguhnya sisa hidup mereka masih panjang..
‘Kayu Siling Rumah Selamatkan Nyawa’ Ceritanya Macam Ni
17/12/2021 – sabtu malam – Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat
Dalam pukul 10 lebih malam tu, air mula masuk rumah. Ayah dan mak dah mula angkat sikit-sikit barang ke tangga batu (rumah kayu tinggi bersambung dengan batu bahagian bawahnya)
Bantal tilam kain baju di bilik pija dan cik pon ayah angkat ke tangga. Ayah fikir air naik sikit je. Bilik mereka berdekatan dapur (bahagian bawah – rumah batu).
Dekat pukul 11 air dah mula naik sampai paras pinggang. Pak long 5 beranak (rumah sebelah, rumah batu setingkat) terus berlari ke tangga depan rumah ayah.

Terpaksa Panjat Hingga Palang Kayu Siling Rumah
Air semakin naik. Laju sangat. Dah paras dada di bahagian rumah kayu (tingkat atas). Tak boleh nak lari ke mana dah. Turun ke tanah, confirm tenggelam lemas. Arus deras.
Mula nya takut nak panjat ke loteng. Tapi, itu je jalan yang ada untuk selamatkan diri. Terpaksalah.
Mak ayah dah tua, selalu je tak larat. Pak long pula baru pulih lepas kena serangan strok.
11 malam. Masa panjat tu beralaskan meja makan.
Dah sampai atas. Bertenggek pula atas palang kayu siling rumah lama tu. Masing-masing goyah, kuat lagi ke kayu ni.. berpuluh tahun dah ni.
Ada sekali tu, anak bongsu paklong terjerlus kakinya ke siling rumah. Allahuakbar.. syukur sempat berpaut.

Berjiran Dengan Rumah Tangga Pink Viral
Rumah mereka dan rumah tangga pink yang viral tu kira rumah pertama yang di himpap balak hutan. (Rumah tangga pink viral tu rumah sepupu mak, pija panggil dia Mak Long)
Takde rumah lain sebelum rumah mereka. Hanyalah bukit tinggi yang dipenuhi pokok hutan berbatang besar.
Masa kejadian tu, air dari kawasan bukit bersama batang-batang balak laju turun dan terus hentam rumah mereka.
Sampai konkrik dapur tu pon tercabut. Habis barang dalam dapur hanyut entah ke mana. Yang tinggal hanya peti ais tercabut pintu Allahuakbar.
Kuasa Allah rangka rumah kayu tempat mereka berlindung tu masih bertahan. Padahal bahagian lain dinding rumah kayu tu separuh ranap dek hentakan balak. Total lost. Subhanallah..

Jentolak dari orang perseorangan, Alhamdulillah Allah gerakkan hati beliau. Semoga beliau sentiasa dalam rahmat Allah.
Jiran Fikir 7 Beranak Dihanyut Dek Banjir
Jam 6 pagi, air dah surut. Mereka turun dan bergerak ke rumah tinggi di seberang jalan.
Rupanya malam tu, semua jiran ingat mereka dah hanyut di bawa arus deras.
Semuanya kuasa Allah.
Hari ke 2 pasca banjir, dengan ihsan seseorang, mereka ber 7 ditempatkan di sebuah rumah flat – berdekatan.

Inilah serba sikit cerita dari mulut anak mangsa – pija; adik ipar Kak Is Shafizah ShaAzman Ikhwan Ismail
Bak kata suami Kak Is “kalau saya jadi diorang, kalau rumah tu di robohkan nanti, saya ambil kayu tempat bertahan tu”.
Subhanallah. Kak Is menulis cerita ni sebab rasa rare, kuasa Allah rumah tu dan bahagian siling tak roboh. Sedangkan bahagian lain dah hanyut entah ke mana.

Ramai yang tanya nak bantuan apa, buat masa ni mereka tak nak barang sebab tak tahu nak letak kat mana. Tapi mereka perlukan tempat tinggal.. nak bina semula rumah, harap cepatlah dapat bantuan.
Baca sini : Seawal usia 4 tahun, anak ini sudah terdedah misi bantuan banjir
Kepada netizen yang datang, acah-acah bagi sampul kosong dan mintak mak dan ayah berlakon untuk ambik gambar/video tu bawak-bawak lah istighfar yer. Belum kena kat awak..takkan lah kene kat batang hidung atau keluarga sendiri baru nak terngadah.
Allahuakbar..
Semuanya pinjaman dari Allah. Nyawa kita juga.
Setiap kali hujan, kami suami isteri jadi risau.. risau banjir berulang. Terbayang-bayang muka mak ayah pija saat tu..terbayang-bayang trauma mangsa-mangsa banjir.
Wallahualam..
Coretan ini sekadar perkongsian dari Kak Is
Mingguan Wanita : Syukur keluarga ini masih dilindungiNya. Semoga mereka tabah menghadapi musibah hebat ini dan Allah gantikan kehilangan harta benda dengan lebih baik lagi.
Sumber/Foto : Norismahida Ismail
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Saya Ingat Sudah Mati, Tapi Syukur Allah Beri Peluang Kedua,”-Intan Noor Balqis

Isi Kandungan
ToggleNama Intan Noor Balqis binti Mohd Fauzi tidak semena-mena menjadi bualan ramai apabila kemalangan yang menimpanya ketika mahu pergi ke tempat kerja tersebar di laman web dan media sosial pada 29 Disember 2019.
Taip sahaja carian, Gadis koma setelah ‘melayang’ dari fly over di Bangsar. Sudah pasti kisah ngeri yang berlaku pada pukul 3.30 petang Ahad itu boleh dibaca. Melihatkan gambar-gambar kemalangan yang tersebar di internet itu juga sudah pasti ramai yang akan sangka Intan Noor Balqis sudah tidak ada di dunia ini.
Namun nyawanya panjang. Setelah koma selama 5 hari, gadis berusia 21 tahun telah membuka mata. Kini setelah hampir tiga bulan kejadian berlaku, Intan Noor Balqis sudi berkongsi cerita mengenai tragedi ngeri yang menimpanya.
Ketika ditemuramah, Intan Noor Balqis baru dua minggu keluar dari hospital. Kini dia berada di Kelantan. Dia terpaksa meninggalkan ibukota Kuala Lumpur kerana ibunya berada di Kelantan. Sepanjang proses pemulihannya ini Intan Noor Balqis banyak bergantung kepada ibunya.
Trauma
Mengingat kembali kejadian yang berlaku pada hari tersebut, Intan Noor Balqis atau lebih mesra dengan sapaan Intan ini jadi trauma.
“Sekarang ini saya ada rasa sedikit trauma. Mula-mula dulu tidak ada rasa trauma macam sekarang. Sekarang ini juga jika mak saya hendak naik motor pun saya sudah menggigil takut di rumah. Saya takut apa-apa terjadi pada mak.”
Intan mengatakan kemalangan yang berlaku itu bukan disebabkan salah dirinya. Salah orang lain.
“Masa kejadian saya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Berhati-hati saya menunggang motor. Sampai sahaja berhampiran fly over, tiba-tiba ada sebuah kereta Myvi masuk lorong jalan yang saya lalu dengan secara mengejut dan hampir melanggar saya. Saya brek motor secara mengejut sebab mahu mengelak kereta tersebut.
“Akibatnya motor saya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Keadaan tersebut membuatkan saya terpelanting dan terus terjatuh ke bawah. Semasa terpelanting itu saya hanya fikir mati. Tidak sangka Allah beri peluang kedua untuk saya teruskan kehidupan.”
Terpelanting dan kemudiannya terjatuh ke bawah. Betapa ngerinya apabila mengingatkan kejadian tersebut. Kesakitan yang dialami sudah pasti tidak terkata. Akui Intan, semasa dia terbaring di atas jalan itu dia boleh katakan rasa sakit yang dialami seperti dirinya ditindih oleh 10 orang.
“Saya tidak boleh bernafas. Hanya ingat mati sahaja. Sakit sangat.”
Dari atas jambatan Intan tercampak jatuh ke jalan di bahagian bawah jambatan di hadapan lampu trafik menghala ke Kg Abdullah Hukum. Anggaran ketinggian jambatan itu adalah antara 40 hingga 45 kaki.
Koma Selama 5 Hari
Ternyata Allah memelihara Intan sewaktu kemalangan tersebut. Siapa sangka ketika kejadian berlaku, kebetulan ada kawannya yang berada di jalan yang sama. Apabila kawannya melihat Intan terus dia meluru untuk membantu.
Intan bersyukur kerana ada kawannya kerana sebelum tidak sedarkan diri, Intan sempat berbisik pada kawannya itu.
“Saya beritahu kawan saya untuk tolong telefon kakak saya. Tolong beritahu kakak saya yang saya mengalami kemalangan. Saya rasa 2 atau 3 minit selepas saya minta kawan sampaikan pesanan saya itu saya terus pengsan. Saya hanya sedar sekejap apabila ada orang kejutkan saya.
“Ketika itu saya berada di zon merah di hospital PPUM. Sedar sekejap. Kakak kata saya agak trauma, lemah tapi masih lagi sedar dan mampu berbicara. Jantung saya bengkak dan ini membuatkan saya semakin lemah.
“Tekanan darah yang semakin rendah juga mengakibatkan saya tidak dapat menjalani pembedahan kaki dan tangan pada hari kejadian. Sebaliknya saya terus dimasukkan ke wad ICU.”
Selama 5 hari Intan berada dalam keadaan koma. Dia betul-betul koma selama 3 hari dan 2 hari doktor telah mengambil keputusan membiarkan dirinya dalam keadaan koma kerana ketika itu jantungnya masih bengkak.
Cerita Intan lagi, sewaktu koma juga jururawat yang menjaganya memberitahu yang tangannya terpaksa diikat. Ini kerana kadang-kadang tanpa diduga, Intan akan bergerak-gerak tanpa kawalan di atas katil. Dia seperti mengamuk. Bagi memastikan dirinya tidak mencederakan diri dengan lebih teruk, tangannya itu terpaksa diikat.
Intan memberitahu dia sebenarnya tidak tahu dirinya koma. Dia rasa dirinya seperti sedang tidur. Dan kemudian dia terjaga sebab dia rasa haus dan mahu minum air.
“Sebaik sedar dari koma saya rasa bersyukur sebab Allah dah makbulkan doa saya dan bagi saya peluang kedua untuk hidup.”

Selama 15 hari Intan ditahan di hospital. Dia ditahan di ICU selama 9 hari dan ditahan di wad biasa selama 6 hari.
Kecederaan yang dialaminya agak teruk sebab itu dia berada lama di hospital. Intan mengalami kecederaan tulang belakang T12, 2 jari kiri tangan patah, pergelangan tangan patah dan lengannya juga patah. Kaki kanannya turut patah. Manakala kecederaan di bahagian punggung pula memerlukan 10 jahitan.
Tarikh 13 Januari 2020 barulah Intan dibenarkan keluar dari hospital.
“Terima Kasih Kepada Semua Yang Mendoakan Saya.”
Perkembangan terkini Intan agak memberangsangkan. Dia sudah boleh duduk sendiri. Dia sudah mampu mengangkat tangan yang patah. Jari juga boleh digerakkan. Begitu juga dengan kakinya sudah boleh digerakkan sahaja tetapi tidak boleh berpijak.
Namun begitu dia masih tidak mampu menguruskan diri sendiri. Dia hanya boleh terbaring di atas katil. Jika dia bergerak pun hanya menggunakan kerusi roda. Malah untuk membuang air besar dan air kecil juga turut menggunakan lampin pakai buang.
Perancangan Intan adalah untuk meneruskan rawatan fisio sehingga sekurang-kurangnya menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Intan turut mengikut semua jadual rawatan yang diarahkan oleh doktor di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan.
“Keluarga banyak memberi semangat kepada saya supaya tidak berputus asa dalam tempoh pemulihan. Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur sebab Allah dah bagi peluang untuk saya berubah dan bagi saya peluang untuk saya berjasa kepada mak saya serta adik beradik saya.
“Terima kasih kepada keluarga. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan agar saya sembuh. Sebab doa mereka itu juga saya kuat dan saya sihat. Saya juga terima kasih kepada mereka yang telah menderma kepada saya untuk meringankan beban dan kos rawatan.”
Intan sangat berharap diberi kesihatan baik dan kembali pulih seperti sediakala. Dia berharap sangat dirinya boleh kembali bekerja seperti biasa di San Francisco Coffee.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin membantu Intan Noor Balqis bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 514123682947 Nor Fairiyuslina bt Mohd Fauzi (Kakak kepada Intan Noor Balqis)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tiada lagi Panggilan Ali, Asmidar..” Luah Ogy Ahmad Daud Atas Pemergian Azmil Mustapha

Isi Kandungan
ToggleBagi yang mengikut perkembangan kedua-dua pelakon ini dan pernah menonton filem-filem lakonan seperti Ali Setan pada tahun 1980-an, panggilan Ali dan Asmidar begitu sebati dalam diri mereka. Turut terkesan dengan berita pemergian bekas pelakon Azmil Mustapha ini, pastinya pelakon Ogy Ahmad Daud yang sering menjadi heroin gandingan beliau didalam lakonan satu ketika dahulu.
“Lepas ini, tiada lagi panggilan Asmidar dan Ali,” luah pelakon terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih popular di sapa sebagai Ogy Ahmad Daud.
Menurutnya, panggilan tersebut sememangnya digunapakai olehnya dan Azmil Mustapha sejak membintangi filem yang sekali gus mencipta fenomena tersendiri, Ali Setan.
“Dia menggelarkan diri sebagai Ali, malah turut memanggil saya dengan Asmidar. Panggilan itu terus ‘lekat’ sampai hari ini,” kata pelakon ini.
Akibat Komplikasi Jantung
Azmil meninggal dunia akibat komplikasi jantung di kediaman keluarganya di Seksyen 9, Shah Alam, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.Bintang filem Mekanik itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun.Menurut adik kepada Allahyarham, Aziq Mustapha berkata, arwah difahamkan meninggal dunia sewaktu tidur kerana tidak terjaga ketika dikejutkan.
“Kali akhir saya dapat bercakap dengan dia adalah pada tahun ini. Ketika itu saya mengundang dia untuk datang ke program Huru Hara.
“Tapi, dia menolak kerana katanya ini bukan masa yang sesuai. Lagipun, dia kata dah lama tak tengok TV.
“Sebab itu, saya agak terkejut dengar berita pemergiannya. Badan saya pun menggigil,” katanya.
Pemergian Dipermudahkan
Bagaimanapun, bintang filem Langit Cinta ini bersyukur kerana pemergian Azmil dipermudahkan.
“Alhamdulillah, dia mendapat keredaan ALLAH SWT malah dia pergi juga dengan mudah dan tenang,” katanya.
Bukan sahaja menjadi sahabat baik dan rakan lakon, aktres berusia 56 tahun ini turut menganggap Azmil sebagai abang.
“Dia menjaga saya seperti adik terutama ketika kami sama-sama menjalani penggambaran filem Ali Setan.
“Saya juga tak pernah dengar dia bercakap buruk pasal orang, semuanya baik-baik sahaja. Dia seorang yang sangat selesa untuk berkawan dan berbual,” katanya lagi.
Paling Kuat Beri Sokongan
Malah, katanya, Azmil adalah individu yang paling kuat memberi sokongan terhadap apa sahaja yang dilakukannya.
“Masa saya mula-mula berhijrah, dia orang pertama datang ketuk pintu rumah saya dan bagi sokongan.
“Masa saya pilih untuk kembali berlakon selepas berhijrah, dia juga sokong dan katakan itu adalah ketentuan ALLAH.
“Dia juga nasihatkan saya agar jangan melupakan-NYA dalam setiap apa yang lakukan,” katanya.
Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz, Shah Alam untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Info Ekstra!
- Ustaz Azmil Mustapha adalah seorang pelakon dan penceramah lelaki Malaysia yang pernah menjadi fenomena pada lewat tahun 1980-an di Malaysia. Bermula dengan filem yang mencecah kutipan Box Office iaitu filem Mekanik (1983) yang turut dibintangi Lagenda bola sepak tanah air iaitu Dato’ Mokhtar Dahari sebagai pemain undangan.
- Antara filem yang turut melonjakkan nama beliau adalah Ali Setan (1985),Ali Setan 2 (1986) dan Suara Kekasih (1986). Gandingan paling ideal pada era tersebut adalah antara beliau dan Fauziah Ahmad Daud. Selain itu antara filem-filem yang turut mendapat sambutan adalah seperti Driving School (1990), Iman Alone (1998) dan Fifty Cent (1991).
Azmil merupakan bekas mahasiswa dari Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat. Menuntut selama lima tahun di Universiti Indiana dengan membawa pulang segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Filem, Radio dan Televisyen ketika kembali ke Malaysia pada tahun 1979.
- Memenangi anugerah Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) – Filem Ali Setan.
- Beliau bersara ketika nama beliau di kemuncak kerjaya sekitar 1980-an, Namun beliau tidak pernah kesal dengan keputusan yang diambil. Beliau menumpukan hidup beliau dengan memberi ceramah-ceramah agama.
- Sebelum ini Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Shamira. Manakala dengan isteri kedua pula, dia kurniakan empat anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman.
- Perubahan yang berlaku dalam hidup ayah tunggal kepada lima orang anak dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina itu disifatkan sebagai satu nikmat yang terlalu indah buatnya.
Team Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Azmil Mustapha, semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang soleh dan beriman. Amin
Al Fatihah
Sumber: Sinar Online & Wikipedia
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI