Ayu Damit “Tak Kisah Apa Mereka Nak Cakap, Asalkan Tidak Melampaui Batas”

Share

Lumrah bergelar anak seni, pastinya tidak dapat lari dari gosip dan kontroversi. Malah penyanyi Ayu Damit juga akui tidak kisah apa yang orang di luar mahu memperkatakan tentang dirinya asalkan tidak melampaui batas.

Baru-baru ini heboh dirinya menjadi mangsa tuduhan, apabila ada yang mendakwa dia memakai susuk untuk kelihatan cantik.

Berita tersebut merupakan satu fitnah buat dirinya, namun pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketujuh ini, tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Ayu Damit Tidak Mahu Ambil Serius

Penyanyi yang berasal dari Sabah ini juga akui tidak melihat ia sebagai suatu yang harus diberikan perhatian serius.

“Banyak lagi benda yang saya nak fikir dan berikan perhatian berbanding nak memperbesarkan hal yang saya sendiri tahu tidak benar.

“Tuduhan yang mengatakan saya pakai susuk penyeri wajah agak kelakar bagi saya kerana kalau dia tahu orang yang pakai susuk tak boleh makan sate, sedangkan saya merupakan peniaga sate sejak bertahun lalu,” ungkap Ayu.

Malah para peminatnya juga ada meminta dia menyaman individu yang menfitnah dirinya.

“Ada pihak termasuk peminat yang minta saya saman saja individu berkenaan sebagai pengajaran, tapi bagi saya, tak perlulah nak mengambil serius hal seperti ini.

“Takkan semua benda pun nak saman. Saya tak kisah apa yang mereka nak cakap asalkan ia tidak melampaui batas dan menjejaskan kehidupan saya,” ujar Ayu.

Baca Disini Juga:

Gigih Cari Rezeki, Suami Nasihat Ayu Damit Cukup Rehat

Walaupun Isteri Diberi ‘Me Time’, Hakikatnya Hati Tetap Pada Keluarga Juga, Percayalah!

Isteri Terbaik, Wawa Zainal Tak Simpan Dalam Hati Sentiasa Maafkan Aeril

Masih Giat Usahakan Aktiviti Pertanian

Selain bergelar penyanyi, wanita yang begitu rajin ini juga pemilik Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa.

Ayu juga menambah dia masih aktif dalam mengusahakan aktiviti pertanian.

“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, memang tiada aktiviti seni yang berlangsung, termasuk tawaran menjayakan persembahan seperti kebiasaannya.

“Bagaimanapun saya beryukur kerana mempunyai pendapatan menerusi perniagaan hasil pertanian yang diusahakan bersama suami, selain restoran yang masih beroperasi.

“Alhamdulillah semuanya masih dalam kawalan dan setakat ini saya tidak perlu mengeluarkan wang simpanan walaupun ada ketika turut berdepan dengan keperitan untuk belanja pengurusan terutamanya membawa sewa, gaji pekerja dan sebagainya,” ungkap Ayu yang kini tampil dengan single baharu berjudul Permata.

Sumber: SinarPlus
Sumber Foto: Instagram Ayu Damit
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh