Penting sebenarnya untuk ayah jadi bff atau teman baik anak perempuan, yang boleh bercerita apa saja termasuklah hal yang peribadi untuk anak perempuan kongsikan.
Sebagaimana ayah ini, Ammar Kamilin tersedar betapa tak mudahnya untuk mendapatkan momen berdua bersama anak perempuannya. Untuk membolehkan anak itu berkongsi cerita dengan si ayah tanpa didengar oleh adik-adik yang lain.
Sibuknya Ayah, Tak Sempat Bercakap Dengan Anak Perempuan
“Dia macam ada masalah dengan ayah dia. Ayah dia terlalu sibuk, sampai tak sempat bercakap dengan dia.
Mula-mula dia tak kisah sangat. Dia faham, ayah dia bekerja untuk sara keluarga. Tapi, lama-lama dia macam kecil hati, sebab dengan abang dan kakak dia, ok je ayah dia layan. Dengan adik-adik dia pun ok.” Panjang lebar dia bercerita.
“Tapi, pelajaran dia di sekolah, elok kan. Tak silap abah, ‘Top 5’ lagi.”
“Itulah. Pelajaran dia masih ok. Tapi, itu tahun lepas. Kebelakangan ni, dia macam banyak berkhayal dan tiba-tiba menangis. Risau juga, takut dia ‘stress’ dan ‘effect’ pelajaran dia.”
Abah hanya mengangguk-angguk. Mengenangkan karakter rakan perempuan yang dia diceritakan.
Abah memang biasa dengan kebanyakan rakan-rakan dia. Hampir satu kelas pernah bersembang dan bergurau mesra dengan abah.
Kebiasaan, semasa mengambil dia di depan sekolah, sempat juga menyapa mereka dan mengambil hati dengan soalan-soalan bertanya khabar.
Ada antara mereka pernah datang ke rumah untuk buat tugasan sekolah dan belajar bersama.
Rakan yang diceritakan ini pernah bertandang ke rumah. Sudah pasti, perasaannya lebih berat apabila terkenang ujian yang sedang dilalui anak remaja ini.
Abah tidak pasti apa yang difikirkan oleh bapa-bapa sehingga ada antara mereka ‘terlepas pandang’ perasaan anak remaja perempuan.
Ini ‘Alarm’ Untuk Ayah Agar Kekal Di Sisi Anak Remaja Perempuan
Dalam kes anak ini, dia berada di ranking tengah dalam susunan adik beradik. Dia memiliki kakak dan abang yang hampir dewasa, juga memiliki adik-adik kecil di bawahnya.
Ads
Abang dan kakak sudah boleh membawa diri, walaupun tidak dipeduli si ayah.
Adik-adik masih dijaga dan dikawal oleh ibu.
Lalu dia yang di tengah-tengah, seperti terabai. Masih di peringkat awal remaja, tetapi dibiar keseorangan berdikari.
Saya tidak mendabik dada, konon bapa sempurna. Ada masa terlupa juga.
Apabila cerita begini diceritakan oleh anak, ia seperti ‘alarm’ yang mengingatkan diri sendiri supaya kekal berada di sisi anak remaja, terutamanya perempuan.
Walaupun, umumnya, mereka lebih rapat dengan ibu, tetapi ada sisi seorang bapa yang masih mereka perlukan (bagi yang punya bapa).
Para bapa, tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar memperuntukkan masa khusus untuk anak remaja perempuan?
Tanpa ada abang, kakak, atau adik-adik bersama mereka.
Mereka perlukan masa ‘berkualiti’ bersama kita. Mereka tidak akan berbincang isu-isu ‘dewasa’ sekiranya wujud terlalu ramai gangguan di sekeliling mereka.
Macam anak remaja perempuan saya, dia cukup tidak selesa apabila mahu mengadu sikit, adik-adik terlopong mendengar bersama-sama di sebelah abahnya. Dia terus ‘turn off’. Di rumah, memang ruang itu hampir tiada.
Ads
Lalu, dia memilih untuk banyak diam. Yang ruginya, saya sebagai bapa. Tempoh paling kritikal perkembangan seorang remaja, tidak dapat dikongsi bersama.
Tetapi, Allah ilhamkan ruang yang saya tidak nampak sebelum ini sebagai ‘sesi berdua berkualiti’ bersama dia.
Waktu pergi dan balik sekolah setiap hari di dalam kereta.
Hanya itu waktu kami boleh bercakap berdua sesuka hati tanpa didengari sesiapa.
Jika sebelumnya, waktu itu dia isi dengan tidur selenanya. Sekarang, seboleh mungkin saya isi dengan aktiviti yang menghalang dia tidur.
Waktu itulah, saya mendapat pelbagai cerita dari sudut pandang seorang remaja perempuan. Saya boleh kata, bukan mudah mengumpan mereka membuka mulut. Kita perlu dapatkan ‘kepercayaan’.
Bagaimana?
Pastikan, waimma satu patah perkataan yang mereka sebut, tidak disampaikan pada orang lain. Sekali mereka terdengar kita ‘tercerita’, kepercayaan akan hilang. Membina semula kepercayaan, perlukan usaha berkali ganda.
(cerita rakan tadi, dicerita atas keizinan)
Anak Ini Semakin Dewasa
Sesekali dia tertidur semasa saya memandu, saya renung wajah anak perempuan remaja ini.
Dia makin dewasa.
Budak kecil yang saya letak dalam bakul motor dan bawa meronda waktu petang, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang meradang jika saya sorokkan bantal busuknya sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang memeluk kaki saya dan minta didukung, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang setiap hari menyanyi riang lagu ‘Barney and friends’ dan memeluk saya sebagai Barney, sudah ‘tiada’.
Tahu-tahu, stereng kereta basah disebabkan tangan yang mengesat airmata terus hinggap padanya.
Begitu saya hiba, kerana,
Budak kecil yang setiap masa dulu, sebelum tidur mahu abah bacakan kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran, sudah tidak perlukan abah untuk memeluk dia sebelum tidur.
Dia sudah remaja. Menuju dewasa.
Semuanya telah lepas. Yang tinggal, kenangan.
Sedang saya hiba,
Kepalanya menunjal-nunjal batang gear manual kereta Myvi yang sedang bergerak.
‘Hai anak. Abah tahu nak tukar gear. Tak perlu tanduk gear abah ni.’
Saya tersenyum dalam leleh airmata. Menolak perlahan kepalanya ke tingkap. Penat sangat agaknya.
Dia bukan tak perlukan abah. Cuma, keperluannya sudah berbeza.
Dia sudah tak perlu didukung, tetapi dia mahu seorang abah yang mendorong.
Dia tak perlu pencerita, tetapi dia mahukan seseorang untuk bercerita.
Dia tak perlu bantal busuk, tetapi dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan dia dalam sukar, sama seperti fungsi bantal busuk pada dirinya dulu.
Ads
Bapa.
Ini bukan cerita anak saya saja. Cerita anak remaja kita jua.
Usahakan ‘5C’ Pada Anak Remaja Perempuan
1. Cakap
Bapa kena selalu bercakap dengan anak perempuan. Jangan biarkan sehari berlalu dalam hidup kita tanpa sepatah perkataan untuk dia. Dia perlu tahu, dia masih ada tempat dalam hidup ayahnya. Dia perlu rasa ‘visible’ di mata ayahnya.
Anak perempuan yang sunyi dari suara ayahnya, cenderung mencari suara lelaki lain untuk mengisi kekosongan itu.
Mahukah begitu, wahai ayah?
2. Cakna
Bapa perlu ambil tahu, apa keperluan anak perempuan. Terutama apabila mereka baligh. Mereka sudah mula mempunyai hormon yang dirembes mengikut kitaran. Dia akan berperangai saling tak tumpah seperti ibunya. Haruslah, mereka sedang menuju dewasa. Jadi, emosi mereka, bapa perlu cakna (ambil tahu).
3. Calm
Bapa perlu sentiasa tenang dalam menangani anak perempuan. Tunjukkan pada mereka, kemampuan kita mengawal emosi, barulah mereka dapat meniru yang baik daripada kita.
Ada masa kita betul, ada masa mereka juga mungkin betul.
Elakkan panas baran tak tentu hala. Maki sesedap rasa. Mereka akan takut dan menjauhkan diri.
Tahu kan, statistik menunjukkan ramai lelaki di rumah orang-orang tua? Elakkan daripada puncanya kerana perangai kita yang mudah ‘naik hantu’.
4. Ceria
Bapa perlu menunjukkan sisi ceria seorang ayah. Ayah perlu dilihat ‘jinak’ oleh anak perempuan supaya mudah didekati. Tiada siapa yang berani dengan ayah yang bengis 24 jam.
Kalau pun tidak pandai berhumor, tunjukkan kita mampu ketawa. Kalau mampu ‘gila-gila remaja’, itu lebih mereka suka, kerana kita ‘match’ dengan mereka.
Ya, perkara serius, kita perlu kekal serius. Bercanda mengikut kesesuaian ya.
5. Cinta
Ini yang terpenting bagi saya, tetapi diletakkan terakhir supaya tidak dilupakan.
Bawa anak remaja perempuan mencintai Allah. Cari ruang menjadi imam untuk mereka. Ambil peluang bercerita kisah-kisah perempuan baik dalam sirah Islam.
Sentiasa ingatkan mereka, “Abah tidak selalu ada, tetapi Allah sentiasa ada dan dekat dengan kita. Mengadu dan meminta pada Dia. ”
Satu lagi abah, Dalam masa sama, usah berhenti menunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Peluk dan cium mereka. Elakkan mereka kekok memeluk kita dek kerana lama tidak menyentuh mereka.
Dia, anak kita. Budak kecil yang kita buatkan susu dan tukar pampersnya. Masih budak yang sama, cuma dia sedang mendewasa. Jauh dalam hatinya, kita kekal abah dia. Sampai bila-bila.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin, Bahu untuk anak perempuan bersandar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sangat penting mendidik anak-anak agar mampu bertanggungjawab dan berdikari baik di rumah mahupun pada diri sendiri. Cara ini hanya mampu dilakukan bagi mak-mak yang ‘malas’. Tidak terlalu rajin membuat segala kerja rumah dan urusan anak-anak atas bahu sendiri. Sebaliknya tetap meminta bantuan dan mengharapkan anak-anak turut melakukan bersama-sama.
Perkongsian daripada Puan Nurul Ilyaniini wajar mak-mak jadikan panduan;
5 tip didik anak ada common sense di rumah dengan cara mak ‘malas’
#1 Sebelum Tidur
Mak ‘malas’ tak sediakan barang sekolah anak dia. Dia galak anak dia yang kemas sendiri. Cari sendiri baju, seluar, seluar kecil.
#2 Anak Makan
Mak ‘malas’ tak kemas meja makan. Mak ‘malas’ kata, “lepas makan kemas meja, basuh pinggan, itu tanggungjawab”. Budak kecil umur 3 tahun sudah kena selesai sendiri. Mak ‘malas’ cuma touch up kasi elok saja.
#3 Anak Main
Mak ‘malas’ tak penat-penat kemas semua. Dia panggil semua datang kemas. Semua kena stop main. Kena kemas. Kadang-kadang mak ‘malas’ memetir juga. Memetir dengan ayat berpengaruhlah, bukan berleter.
#4 Anak Mandi
Baju sepah depan tandas, dalam tandas. Mak ‘malas’ tak kutip. Mak ‘malas’ kata, “baju kotor masuk bakul”. Yang kecil umur 3 tahun pun kena buat. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
#5 Spring Cleaning Rumah
Mak ‘malas’ tak buat sendiri-sendiri. Mak ‘malas’ kata, “Anak-anak hari ini spring cleaning, Kakak sapu sampah, mop, abang dengan adik cuci toilet, abi buang sampah, kemas dapur”. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
Hakikatnya mak ‘malas’ bukan malas. Mak ‘malas’ nak bagitahu semua orang ada tanggungjawab. Mak ‘malas’ bukan kuli. Tak ada raja, tak ada permaisuri, tak ada kuli. Ini keluarga kita, tanggungjawab kita. Yang ada pembantu rumah lagi kena hati-hati. Anak kita ada tendency meraja.
Pesan mak ‘malas’,
Ummu Ilham
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Mak-mak janganlah terlampau rajin buat semua benda dan perkara di rumah.Nanti diri sendiri juga yang penat. Jadilah mak yang ‘malas’ agar anak turut dapat rasa bertanggungjawab di rumah sendiri dan berdikari sendiri.
Setiap mak ayah mendambakan anak-anak yang bijak, pandai dan miliki IQ yang tinggi dalam pendidikan yang diterimanya. Semua ini boleh dikatakan kena bermula dari anak dalam kandungan lagi.
Anugerah Allah dan pastinya cukup menggagumkan bila anak miliki IQ tinggi dan boleh dikatakan anak genius yang mempunyai kepintaran luar biasa.
Inilah yang boleh diberikan pada kanak-kanak Malaysia yang baru mencecah umur 3 tahun tapi mempunyai kepintaran luar biasa dengan miliki IQ yang tinggi mengalahkan orang dewasa.
Miliki IQ Tertinggi, Anak Genius
Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim, yang menetap di United Kingdom bersama kedua ibu bapanya diterima masuk ke Mensa UK setelah mendapat skor 142 dalam ujian Stanford Binet – penilaian keupayaan kognitif yang digunakan untuk mengukur tahap kecerdasan IQ.
Menurut laporan Mɛtro UK, nilai tersebut meletakkannya dalam 0.3 peratus tertinggi penduduk. Ibunya, Nur Anira Asyikin Hashim yang berusia 30 tahun berkata bahawa rahsia kepintaran anaknya adalah pendedahan kepada buku seawal umur 2 tahun.
Tambah Anira, anaknya itu mula menyebut perkataan pertama ketika berusia 7 bulan dan apabila berumur 2 tahun, Haryz sudah boleh membaca sendiri buku ceritanya.
Anira dan suami, Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, kedua-duanya yang memiliki latarbelakang kejuruteraan sememangnya tidak pernah menyangka bahawa anak mereka memiliki kepintaran sedemikian.
“Kami tidak mempunyai banyak pengalaman, jadi kami fikir kanak-kanak memang begitu. Tapi sebaik sahaja dia mula dihantar ke pusat asuhan, kami diberitahu bahawa keupayaan dirinya melebihi budak lain. Ketika itu kami sedari bahawa dia agak istimewa,” jelas Anira.
Setelah mengetahui akan kepintaran dan kemahiran yang dimiliki anak mereka, pasangan itu kemudiannya telah mencipta satu saluran YouTube dinamakan ‘Little Haryz’ agar ianya dapat memberi galakan kepada kanak-kanak lain.
Meskipun memiliki IQ yang tinggi, namun Haryz masih lagi bersikap seperti kanak-kanak seusianya. “Dia suka lompat pada lopak air, melukis, menyanyi dan semua perkara yang budak seusianya lakukan”.
“Rancangan televisyen kegemarannya merupakan Story Bots dan Numberblocks namun dia lebih gemar berbual dengan orang yang lebih dɛwasa.”
Selain membaca, kanak-kanak pintar berkenaan juga gemar bertanya dan bercakap mengenai angkasa lepas dan juga nombor. Agak mengujakan dan kami akan membantunya dengan memberi keyakinan padanya agar dia dapat berbakti kepada masyarakat di masa akan datang”.
“Apa yang penting adalah Haryz gembira dengan apa yang dilakukannya dan kami akan sentiasa berbangga dengannya tidak kira apa sahaja pencapaiannya”, ujar ibu kepada kanak-kanak luar biasa itu.
Tiada Amalan Spesifik – Anira
Ditanya petua atau amalan surah tertentu sewaktu mengandungkan anak sulungnya, Nur Anira berkata sebagaimana ibu-ibu mengandung yang lain, dia juga mengamalkan membaca al-Quran selain membaca bahan berkaitan persediaan ke alam ibu bapa, serta bahan berkaitan pengajiannya.
“Tidak ada surah spesifik yang saya amalkan, saya membaca mana-mana sahaja surah dari al-Quran.”
“Saya kerap berdoa agar dikurniakan anak yang sempurna dan baik hati. Tidak terlintas langsung yang saya akan mempunyai seorang anak yang berkebolehan,” jelasnya.
Bercerita bagaimana Haryz mendapat pengiktirafan berkenaan, menurut Nur Anira, ia bermula apabila dia dan suaminya, Mohd Hilmy Naim diberitahu oleh guru di ‘nursery school’ bahawa perkembangan anaknya dalam pembacaan adalah lebih terkehadapan berbanding rakan seusianya di dalam kelas.
“Oleh itu, kami membawanya berjumpa seorang psikologis kanak-kanak pintar di Britain, dengan harapan dapat mengenalpasti di mana kelebihan dan kekurangannya.
“Haryz dinilai secara tidak formal dalam ujian Stanford Binet dan mendapat skor 142. Kami sekaligus diberi borang untuk dihantar ke Mensa,” ujarnya.
Sungguhpun empat tahun menetap di negara orang, Nur Anira berkata dia dan suami tetap mengajar Haryz bertutur dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu.
“Haryz boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu. Kami menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu ketika berada di rumah bersama Haryz. Namun, Haryz lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris. Haryz juga belajar beberapa ayat Mandarin dari neneknya kerana neneknya seorang yang berbangsa Cina,” ujarnya.
.
Bergerak Seiring
Ditanya perancangan untuk Haryz, Nur Anira berkata dia dan suami enggan memaksa, sebaliknya lebih suka membiarkan anak sulung mereka menentukan minatnya sendiri dan bercampur dengan kanak-kanak seusia dengannya.
“Kami mahu kedua-dua IQ dan EQnya bergerak seiringan. Matlamat kami adalah memastikan Haryz boleh pergi lebih jauh dalam minatnya tak kira apa jua bidang yang diminatinya.
“Kami tiada halangan dan kami akan cuba sedaya upaya memberikan sepenuh sokongan, pengisian dan dorongan untuk dia kekal ceria dan seronok dalam apa jua yang dilakukannya.
Kami mahu dia terus ke hadapan dengan keinginan sendiri, jauh sekali untuk memaksa dirinya,” katanya.
Penting untuk setiap ibu bapa memainkan peranan sewaktu tumbesaran anak-anak, khususnya menjaga emosi mereka tanpa mengambil kira soal pencapaian.
.
“Pada pandangan saya, setiap anak dianugerahkan sisi keistimewaan masing-masing. Anak adalah anugerah yang tidak ternilai dan sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan terpenting dalam menjaga emosḭnya tidak kira apa sekalipun pencapaiannya.
“Cuba berikan sepenuh perhatian apabila anak bercakap dan cuba menjawab segala pertanyaannya dengan baik. Ibu bapa perlu sering memberikan pujian terhadap apa jua usaha anak supaya mereka terus terdorong untuk ke hadapan,” katanya.
Berkahwin lain bukan bermakna seorang isteri lupakan arwah suami, tak perlu pun meratapi kematian pasangan setiap masa hingga mengabaikan masa depan.
Memang bukan mudah untuk menelan kehilangan orang tersayang terutamanya pasangan. Ambil lah masa secukupnya untuk menghilangkan kesedihan, namun jangan pula keterlaluan.
Malah tidak bermakna apabila seseorang wanita berkahwin lain itu tandanya dia sudah melupakan arwah suaminya. Mana mungkin seorang isteri melupakan suaminya yang pernah hidup bersama.
Bila Nora Berkahwin Lain
Kongsi Muhammad Hassan, kadang-kadang pelik masyarakat kita. Agaknya turun-temurun jenis hasad dengki ini tak boleh dibuang. Yang peliknya sama kaum sendiri.
Saya baca komen-komen terhadap status Penyanyi Nora yang telah berkahwin dengan rakan arwah suami sendiri . Ada yang kata:
“Ingatkan Nora tak kahwin dah, semasa suami dia meninggal menangis beria-ria”
“Dulu berapa kali pengsan mengenangkan arwah suami sebab terlampau sayang, lama-lama hilanglah sayang”
Ada yang siap tag pasangan lagi. Nanti jika saya mati, awak jangan mengada nak kahwin lagi tau!
Allah… Bila saya baca ni, mudahnya orang kita menghukum dan menulis tanpa sedikit pun fikir soal hati orang lain.
Soal jodoh, mati, rezeki Ini semuanya dalam rahsia Allah. Tiada sesiapa pun boleh tentukan.
Berkahwin Lain Bukan Bermakna Lupakan Arwah Suami
Tiada syarat seseorang itu sayang kepada pasangan yang telah meninggal dunia, tidak boleh kahwin. Dan bukan bermakna apabila berkahwin lagi tanda tidak sayang atau melupakan.
Soalah-olah apabila suami meninggal menjadi satu aib pula bagi wanita untuk berkahwin lagi. Hairan saya dengan masyarakat kita. Dari dulu sampai sekarang mentaliti ini masih wujud.
Sedangkan sayang kepada si mati itu bukan bermakna tidak akan kahwin lagi. Sayang kepada si mati, kita akan berbakti kepadanya dengan menjaga amanah atau wasiat yang telah si mati tinggalkan.
Rasulullah s.a.w tersangat sayang kepada Saidatina Khadijah r.a, bahkan apabila Rasulullah s.a.w kahwin dengan isteri-isteri lain, sikit pun tidak melupakan Khadijah r.a.
Pernah satu ketika. Apabila rasulullah s.a.w berada bersama Aisyah r.a di rumah. Kakak kepada Khadijah r.a datang ke rumah untuk ziarah Rasulullah s.a.w. Kakak Khadijah r.a memberi salam.
Rasulullah s.a.w terbangun. Dan menyahut salam. Adakah itu Khadijah? Kerana suara kakak Khadijah hampir sama dengan arwah. Kerinduan Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah r.a sangat kuat.
Dan setiap kali Rasulullah s.a.w sembelih kambing atau unta. Rasulullah s.a.w tidak akan lupa untuk agihkan daging-daging ini kepada rakan-rakan Siti Khadijah. Kerana ingin terus berbakti walaupun kekasih hati telah pergi. Sehinggakan Aisyah r.a merasa cemburu dengan Khadijah r.a.
Inilah bukti cinta dan sayang kepada pasangan yang telah meninggal dunia. Bukan kita menyeksa, meratapi kematian dengan menangis setiap masa. Bahkan islam melarang perbuatan ini.
Buanglah sifat hasad dengki kita itu. Malah, buanglah sifat iri hati kepada orang lain. Buanglah mentaliti kolot ini. Tanda-tanda kita tidak bahagia apabila kita tidak senang melihat kebahagiaan orang lain.
Mingguan Wanita : Soal jodoh ini Ketentuan Allah SWT, siapa kita untuk menghalangnya. Doakan yang baik-baik pada orang lain, insyallah pasti ada yang baik-baik juga untuk mak, ayah. Insyallah.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...