“Ayah Hidap Angin Ahmar, Ibu Kanser” Anak Tunggal Tak Fikir Langsung Nak Kahwin. Besar tanggungjawab dan pengorbanan yang perlu dipikul oleh anak tunggal ini, apabila menjaga mak ayah yang sakit.
Sejak enam tahun lalu, kehidupan Mohd. Yusri Haiqal Mohd. Yusop, 33, mengurus dan menjaga bapa, Mohd. Yusop Sulaiman, 63, yang menghidap angin ahmar sementara ibu, Mahani Saleh, 58, pula pesakit kanser sejak dua tahun lepas.
Tak Fikir Nak Kahwin
Menurut Mohd. Yusri, ketika ini dia tidak langsung memikirkan masa depannya termasuk berumah tangga selain memastikan kedua ibu bapanya gembira di sebalik kesakitan dihadapi.
“Dulu saya kerja kilang di Kulim dan apabila ayah sakit, saya terpaksa pulang. Sebagai anak tunggal inilah tanggungjawab saya menjaga kerana dahulu mereka jaga saya sejak lahir, kini tugas itu saya pikul.
“Tak fikir langsung nak kahwin. Lagipun siapalah yang mahukan orang seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chegar di sini semalam.
Ayah Hidap Angin Ahmar, Ibu Kanser
Katanya, bapa diserang angin ahmar setelah terjatuh di rumah akibat penyakit darah tinggi sebelum ujian keluarga itu berterusan apabila ibunya pula disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga dan terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober tahun lepas.
Ads
“Mak jalani kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar sebanyak enam kali dan kemudian radiografi di Hospital Pulau Pinang. Saya perlu bagi semangat kepadanya,” katanya.
Jelasnya, dia kini bekerja sebagai pembantu am di sebuah kedai besi di Jalan Langgar, di sini untuk menanggung keluarga dan memerlukan pekerjaan yang fleksibel kerana perlu membawa ibu dan bapa ke hospital.
Sementara itu menurut Mahani, dia disahkan menghidap kanser itu setelah mengesan ketulan di payudara kanan.
Ads
“Tahun lepas saya ambil keputusan untuk buang payudara dan sekarang sedang kemoterapi. Rawatan ini memang melemahkan tetapi saya kena kuat. Alhamdulillah saya ada seorang anak yang sentiasa berada di sisi,” katanya.
Katanya, perbelanjaan mereka seharian adakalanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam, 02084020262878 (Mahani Saleh).
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
Amar dan Aiman yang kini berusia 2 tahun
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Nizam hadapi semua dengan redha
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sungguh malang tidak berbau, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri dipercayai akibat dicampak dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, oleh bapa saudaranya.
Adiknya yang juga bayi perempuan berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dipercayai dihempas ke lantai di kediaman berkenaan.
Kelar Pergelangan Tangan Sebelum Cederakan
Dalam kejadian 3.40 petang itu, difahamkan, suspek berusia 29 tahun turut mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa.
Ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Taiyoob, 31, berkata, terdahulu, dia terdengar jeritan ibunya meminta tolong sebelum mendapati adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.
Terdengar Bunyi Bisikan
Katanya, kejadian berkenaan berlaku dengan pantas dan dia turut mendapatkan bantuan jiran bagi menenangkan suspek.
“Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.
“Adik saya (suspek) turut mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudara,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, bayi dan kanak-kanak itu berada di kediaman itu yang juga rumah nenek mereka, susulan ibunya masih dalam tempoh berpantang.
Menurut Taiyoob, pihaknya memohon orang ramai supaya tidak menularkan kejadian itu bagi menjaga privasi keluarga.
“Diharap, semua pihak faham keadaan dan hormati pendirian keluarga bagi tidak mengulas lanjut.
“Suspek adalah adik saya sendiri dan dia menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga anak-anak yang menjadi mangsa ini cepat sembuh. Ahli keluarga yang mempunyai masalah mental dan kesihatan perlu perhatian penuh bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Zulin Aziz kunci mulut punca pergaduhan dengan suami. Lumrah dalam perkahwinan, pastinya ada dilambung badai apatah lagi usia perkahwinan yang masih muda.
Tidak ada angin dan ribut, pelakon dan pengacara terkenal, Zulin Aziz sebelum ini mengejutkan peminat dan pengikutnya di akaun Instagram dengan berkongsi hantaran mengenai status rumah tangganya.
Dalam hantaran yang dikongsikan Zulin sebelum ini memberi bayangan rumah tangganya dengan Farhan Norzaini yang berusia 14 bulan seperti tidak dapat dipertahankan lagi. Pada masa yang sama Zulin juga menegaskan perkongsian mengenai rumah tangganya dengan bukanlah sekadar gimik yang didakwa segelintir warganet.
Zulin dan suami kemudiannya memberitahu mahu perbaiki rumah tangga.
Zulin Aziz Kunci Mulut Punca Pergaduhan Dengan Suami
Pasangan yang bernikah di Masjid Negara, pada 20 Februari tahun lalu itu sewaktu Aidilfitri, kelihatan begitu bahagia menyambut Syawal bersama.
Seperti mana dilaporkan Harian Metro, Zulin Aziz memberitahu dek kerana menghormati keluarganya, dia memilih untuk mengunci mulut dan enggan mendedahkan secara terperinci punca pergaduhan dengan suami.
Malah dia memohon agar mendoakan yang terbaik buat rumah tangga mereka.
“Doakan yang baik-baik hubungan kami semakin rapat selepas apa yang berlaku.
“Lebih baik saya tidak memanjangkan perkara ini.
“Orang boleh membuat spekulasi tentang apa yang berlaku, tetapi hanya kami berdua saja tahu puncanya.
“Lagi kita bercakap, lagi banyak perkara tak baik keluar dari mulut orang.
“Itu adat dalam rumah tangga, apatah lagi kami baru setahun dalam perkahwinan. Kadang-kadang perkara-perkara kecil pun boleh menjadi punca.
“Apa pun kami berdua berdoa semakin matang,” ungkap Zulin.