Ayah Anak 9 Kongsi Kebaikan Amalan USRAH Keluarga, Jadikan Aktiviti Mingguan!

Share

Setiap mak ayah pasti mengharapkan dapat mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Keluarga bahagia anak-anak yang mendengar kata, saling menyayangi, menghormati diantara satu sama lain. Salah satu caranya ialah dengan mengamalkan usrah keluarga dan jadikan ia sebagai salah satu aktiviti mingguan. Ia mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam meluangkan masa bersama.

Perkara ini telah diamalkan dan kebaikannya dikongsikan oleh Baharuddin Mohamed, boleh dijadikan rujukan.

Hidup berkeluarga

Saya ada 9 orang anak. Paling besar 19 tahun Dan paling bongsu 4 tahun. Malam ni kami buat tahlil ringkas dan usrah keluarga. Doa paling diterima adalah doa dari anak sendiri. Doakan arwah mak dan arwah abah.

Lepas tahlil, hari ni giliran Alya anak ke-5 saya beri tazkirah. Bagus juga tazkirah dia bertajuk ‘Corona virus peringatan dari Allah’. Saya beri 5 bintang.

Hari ni saya nak kongsikan sedikit kebaikan usrah keluarga. Ini adalah dari pandangan saya sendiri.

1. Rindu Suasana Usrah

Usrah keluarga ni adalah aktiviti mingguan. Jika tidak ianya diselang selikan. Ianya menjadi perkara yang dinantikan anak-anak. Anak-anak yang dah dewasa dan keluar ke Universiti akan rindukan suasana usrah bila berjauhan dengan keluarga.

2. Tempat Nasihat Anak

Usrah ini tempat nasihatkan anak-anak. Ianya adalah masa yang sangat sesuai kerana hati anak-anak sedang bersedia menerima sesuatu lebih lagi lepas solat.

3. Latih Anak Bercakap

Usrah ni tempat melatih anak-anak bercakap dan menerima nasihat. Semua diberi peluang meluahkan jika ada yang tak suka dengan ahli keluarga. Tak kira mereka yang lebih muda boleh nasihatkan yang lebih tua. Walaubagaimanapun sikap hormat pada abang dan kakak mereka diutamakan.

4. Beri Arahan Penting

Usrah adalah tempat nyatakan SOP dan target tertentu dalam keluarga dan memberi arahan untuk seminggu yang akan datang jika ada event keluarga yang penting.

5. Anak Mudah Dengar Kata

Saya berpendapat, anak-anak mudah dengar kata jika kita sebagai ibu bapa bersama mereka lebih lagi lepas solat. Masa terbaik untuk memaafkan anak-anak dan isteri juga berlapang dada.

6. Tempat Terbaik Keluarga Berkumpul

Kalau di pejabat kita ada meeting mingguan dan bulanan. Mengapa dalam keluarga kita tak buat. Cara ini adalah cara terbaik untuk kumpulkan semua ahli keluarga dan fokus untuk apa yang mahu dicapai.

7. Jemput Malaikat

Bacaan Quran dan Yassin sebaiknya dibaca dengan kuat supaya rumah kita didatangi oleh malaikat dijauhi dari syaitan yang direjam. Rumah kita syurga kita.

8. Masa Bersama Keluarga

Kita dah tua. Apa guna kita banyak duit, pangkat berjela-jela, projek bersusun-susun kalau masa pun tak ada dengan keluarga kita sendiri yang kita sayang.

Saya mohon maaf. Jauh niat saya untuk riak. Saya juga sedang belajar dan sentiasa memperbaiki keluarga kecil saya. Saya hanya berkongsi yang baik buat ibu dan ayah.

#inikanhebat

Baca Lagi Di Sini:
Kunci Bahagia, Hidupkan TA’LIM Di Rumah Dan Luangkan Masa Di Masjid

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan boleh dijadikan panduan buat buat mak ayah dalam berusaha menjadikan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Banyak kelebihan usrah keluarga ini, semoga menjadi rutin amalan keluarga kita juga.

Sumber: Baharuddin Mohamed

Published by
Suhaidah Abd Wahab