Awasi Tanda-Tanda Ini, jika Ada Anda Mungkin Di Ambang Perceraian!

Share

Awasi tanda-tanda yang mungkin mula wujud dalam rumah tangga kita, yang boleh membawa kepada kehancuran perkahwinan yang dibina bertahun-tahun lamanya.

Sejak kebelakangan ini selalu sangat kita dengar pasangan bercerai. Tolak tepi dulu kes perceraian artis sebab golongan bukan artis pun ramai yang bercerai. Ada orang kata bercerai itu seperti letupan gunung berapi. Tidak ada tanda tiba-tiba pasangan yang mereka kenal itu bercerai. Benarkah pasangan itu tiba-tiba sahaja bercerai?

Awasi Tanda-Tandanya

Bolehkah anda yang sedang membaca nota ini dengan penuh bahagia bersama suami tercinta tiba-tiba esok terus bercerai? Atau adakah sebenarnya ada tanda-tanda yang kita perlu awasi untuk mengelakkan perceraian itu daripada berlaku?

Sebenarnya apabila berlaku perceraian, yang terkejut hingga jatuh dari bangku ialah keluarga, rakan-rakan, jiran yang perihatin atau rakan pejabat kepada bekas suami-isteri yang bercerai itu. Pasangan yang bercerai itu tidak terkejut kerana mereka baru nampak makna daripada tanda-tanda awal lama sebelum perceraian itu berlaku. Faham ya? Saya mahu kongsikan tanda-tanda awal dan bukan sebab kenapa perceraian itu berlaku.

Anggapan Salah Terhadap Pasangan

Pertama sekali ialah anggapan anda kepada pasangan selama ini rupa-rupa tidak betul.

Anda sangka dia lelaki romantik, baik dan bakal ahli syurga yang setaraf dengan anda. Dalam masa 7 hari berumahtangga anda tahu yang dia tidak sebaik anda dari segi agama. Anda pula sangka kebahagian dalam rumahtangga syurga dunia itu akan tiba tanpa anda diuji terlebih dahulu.

Anda jadi panas sendiri dan menanggalkan jubah kesabaran dalam ujian pertama alam rumahtangga. Anda tidak peduli. Anda langgar dia dan anda jadi hakim yang mencampakkan dia ke dalam neraka sebelum anda sendiri masuk syurga. Olehkerana dia memang tidak sebaik anda maka terus dia hadiahkan talak tidak sampai sebulan anda jadi isteri dia. Nampak?

Rimas Dengan Perubahan Gaya Hidup

Sebelum berkahwin ada seorang gadis yang sangat aktif. Anda ada kerjaya profesional di pejabat dan minat sukan aktif di hujung minggu. Pendek kata kalau diikat suruh diam satu hari anda boleh hilang separuh nyawa. Takdirnya anda bertemu jodoh atas pilihan keluarga seorang lelaki yang tenang, perlahan, sentiasa kemas dan tersusun.

Pendek kata memang lelaki yang berfikiran selamat dan tidak suka mengambil risiko tanpa sebab. Setelah berkahwin anda rasa lingkungan sosial anda semakin kecil. Anda mula rimas dan merasa seperti ada tenaga membuak-buak yang tidak dapat dilepaskan.

Anda mula membandingkan suami anda dengan suami rakan baik anda yang ada minat yang serupa. Anda mula bersuara keras bila meminta izin untuk berjumpa rakan-rakan lama. Jika anda mula rasa berapi apabila permohonan anda itu ditolak maka cepat-cepatlah ubah sudut pandang itu. Anda seorang isteri dan bukan lagi gadis lincah seperti dahulu.

Baca artikel menarik lain di sini:

Banyak Punca Perceraian, Hal Remeh Pun Boleh Jadi Sebab!

Sekiranya Failkan Perceraian Adalah Langkah Terakhir, Ini Prosedur Yang Isteri Perlu Lakukan

Jangan lupa follow Mingguan Wanita di instagram

Sifat Terlalu Cemburu

Cemburu dan kepercayaan. Dalam rumah tangga kedua-dua hal ini umpama gula putih. Jika tidak ada minuman jadi tawar. Jika terlalu banyak pula pasti suatu masa nanti akan bawa penyakit potong kaki. Adakah anda seorang yang terlalu cemburu atau seorang yang terlalu percaya kepada suami? Secara umum di hujung kiri suami cepat rimas dengan isteri yang terlalu cemburu.

Di hujung kanan jika terlalu percaya, mudah pula dia bermain silap mata di belakang anda. Maka imbangkanlah dengan berhati-hati. Jangan berada terlalu jauh di kiri atau terlalu jauh di sebelah kanan. Itu semua umpama bom jangka yang boleh meletupkan rumahtangga anda nanti.

Faktor Kewangan

Ada banyak lagi yang mahu saya kongsikan tetapi yang terakhir ini barangkali yang paling kritikal. Duit! Cinta perlu dalam rumahvtangga tetapi rumahvtangga lebih perlukan duit. Bukan rahsia dalam situasi hari ini ramai pasangan yang isteri berpendapatan lebih tinggi.

Saya bukan Ustaz untuk bercakap pasal hukum memberi nafkah tetapi inilah cabaran terbesar untuk isteri hari ini. Jika degup jantung anda berdegup marah setiap kali membayar bil-bil rumahvtangga menggunakan duit akaun anda mungkin ada tindakan yang perlu dilakukan.

Duduk dan bincang dengan suami. Jika tidak jalan maka ubah cara fikir. Allah Maha Mengetahui. Dia pasti memberikan pahala besar berlipat ganda atas setiap sen yang anda beri untuk rumahtangga anda. Waa..seronoklah para suami, bila semua ditanggung isteri. Serahkan suami bertuah itu kepada-Nya. Biar Allah yang menghukum mereka. Mengerti?

Sumber: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation

Published by
Nurul Azwa