Awas! Anak Yang Kerap Ditengking, Mudah Alami Konflik Identiti

Jaga-jaga mak ayah, dalam mendidik anak menjadi apa yang kita harapkan, tanpa sedar mak ayah tengking mereka. Kononnya mahu beri kesedaran segera pada anak, padahal itu tindakan membawa padah.

Padahnya bila anak-anak membesar nanti. Emosi ini lah nanti yang anak-anak akan alami. Dan inilah yang dikongsikan Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani. Hadam betul-betul ya mak ayah.

Akibat Anak Yang Kerap Ditengking, Dimarah

Anak-anak yang kerap ditengking, dimarah akan lebih kerap berkhayal.
Semakin kerap mereka berkhayal, semakin tinggi risiko mendekati konflik identiti.

Konflik identiti yang berterusan akan membawa kepada Kecelaruan Identiti.
Daripada kecelaruan identiti inilah membentuk Kecelaruan Peribadi.

Secara mudah faham, jika anda dari kalangan ibubapa yang kerap memarahi anak, menengking dan seangkatannya, cuba berubah watak 360 dalam masa 30 minit.

Anda akan dapat perhatikan anak juga akan berubah air wajah.

Memori pada anak, jika mereka tidak lantunkan semula pada kita (semasa mereka dewasa kelak), mereka akan lantunkan pada anak-anak mereka pula.

Bertegas itu perlu. Namun, berkeras itu tidak wajar.
Amat berbeza BERTEGAS dan BERKERAS.

Anak-anak hari ini adalah masa depan kita akan datang.
Semoga sentiasa dipandu ALLAH dalam mendidik anak-anak dan keluarga.

Jika Sudah Terlajak Memarahi.. Mak Ayah Cepat-cepat Buat Ini

Kembali berikan perhatian pada anak. Anak tersebut perlukan perhatian.

Ads

Malam sebelum dia lelapkan mata, berbual dengan dia.
Pastikan dia terlelap semasa sedang berbual dengan kita.

Ini akan menguatkan Rabithah (ikatan) antara ibu ayah dan anak.
Anak tersebut akan risau untuk berbuat kejahatan kerana dia merasakan ibunya sentiasa bersamanya.

Sebelum Nak Tengking Anak, Cuba Mak Ayah Pandang Cermin

Sering tengking anak?

Apa yang anda rasa selepas tengking anak?

Puas atau menyesal?

Sebelum hendak menengking atau bertempik pada anak, cuba sekali pandang diri pada cermin.

Ads

InsyaALLAH, rasa ingin menengking anak akan turun ke tahap setakat menegur anak.

Orang dahulu, mereka menengking anak pada zaman yang kurangnya PENDEDAHAN bersifat pemberontakan. Oleh sebab itu, mereka mampu berkata, “orang dulu tengking anak, ok je, anak jadi orang.”

Cuba perhati kenapakah ALLAHyarham Tan Sri Dr P Ramlee mengarahkan filem ‘Anakku Sazali’? Mempamerkan anak pada zaman itu, jika terlalu berlembut, akan berlaku seperti watak Sazali. Kenapa? Tahap rasa ingin tahu anak-anak sememangnya tinggi, apalagi jika ada rakan sebaya yang mencucuk.

Bila Gajet Jadi Pengganti Ibubapa..

Zaman sekarang berbeza, gajet di tangan anak berusia seawal 2 tahun. Seawal 7 tahun sudah mempunyai akaun whatsapp, fb dan instagram.

Jika kita masih menggunakan cara menengking, bertempik pada anak, mereka akan mula mencari ‘jalan sendiri’ untuk mempamerkan rasa tidak puas hati mereka dan dalam masa yang sama membuatkan ibubapa diam, tidak menegur mereka, kerana mereka mempunyai pelbagai jalan. Salah satunya adalah bermain permainan video.

Dari sini, kita akan dapat perhatikan, anak kecil seawal usia 2 tahun, sudah tahu cara memberontak dan ‘bijak’ mengawal ibubapa, sudah terbalik, sepatutnya ibubapa yang mengawal anak.

Ads

Kita nampak penangan gajet itu seperti tiada maksud, namun, sebenarnya implikasinya membawa maksud yang besar.

Apabila dari awal, anak sudah hilang keperluan perhatian, mereka akan mencari perhatian dengan cara sebagaimana perhatian kepada mereka hilang. Iaitu gajet.

Ubah Cara Kita Memandang Anak..

Anak mahu dilayan, dimanjakan. Namun, apabila sebelah tangan memegang gajet, sambil mata tepat ke arah skrin gajet, sebelah tangan memegang anak, sambil mata anak tepat pada wajah ibubapa yang mata ibubapa tersebut sedang fokus memandang skrin gajet berbanding anak yang sedang dipegang dan sedang memandang mereka. Sedarkah kita sedang membuatkan anak mencipta alam mereka sendiri?

Mereka membesar dalam alam mereka sendiri dengan persepsi mereka sendiri.

Sudahnya, ibubapa ‘terpaksa’ menggunakan jalan tengking dan tempik untuk ‘bercakap’ dengan anak, isyarat lepaskan geram, marah.

Berbeza dengan orang dahulu, mereka tengking atau tempik, bukan untuk lepaskan geram atau marah, mereka menegur, dan pada waktu itu pendedahan tarikan perhatian tiada, kerana untuk memiliki peti televisyen pun adalah suatu yang agak mustahil.

Ubah cara kita memandang anak, akan terubah cara anak memandang kita.

Sumber/Foto : Wan Asrul Al-Kalantani

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI