Tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap masalah kurang atau hilang pendengaran baru hendak meningkat naik. Malah masih terdapat stigma negatif masyarakat terhadap mereka yang mengalami masalah kurang atau hilang pendengaran ini.
Lebih awal mereka yang mengalami masalah pendengaran ini membuat rawatan awal yang sepatutnya akan melambatkan proses masalah hilang pendengaran itu menjadi lebih teruk. Adalah dinasihatkan kepada individu untuk melakukan ujian pengesanan tahap pendengaran dengan pengamal perubatan profesional dalam bidang pendengaran.
Bukan pekak tetapi kurang mendengar
Menurut Audiologist Nessa Hearing Sdn Bhd, Hakim Zin, hilang pendengaran merupakan satu kekurangan kebolehan telinga mendapatkan bunyi dan untuk menghantar maklumat bunyi ke otak sehingga menyebabkan fungsi pendengaran terjejas.
Apabila seseorang itu mengalami masalah kurang pendengaran, mereka akan menunjukkan tanda-tanda awal yang masalah itu berlaku.
“ Jika seseorang itu menunjukkan tanda-tanda awal, ini bermakna mereka bukan pekak tetapi kurang mendengar. Amat berbeza antara kedua ini. Kalau seseorang itu pekak, walau kita telah menjerit di hadapannya dia masih tidak dapat mendengar. Orang yang mengalami masalah kurang pendengaran ini mereka boleh mendengar tetapi kurang jelas sehingga meminta orang yang sedang bercakap dengan mereka mengulang ayat yang telah dicakap itu berulang-kali.”
Faktor-faktor yang memberi kesan kepada masalah hilang pendengaran
1-Penuaan.
2-Jangkitan pada telinga.
3-Pendedahan pada bunyi bising.
4-Kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan.
Jenis-jenis kategori hilang pendengaran.
1-Hilang pendengaran tahap ringan.
-Mereka yang berada pada tahap ringan akan meminta orang yang sedang bercakap mengulang ayat itu beberapa kali.
2-Hilang pendengaran tahap sederhana.
-Mereka yang berada pada tahap sederhana akan memintan orang yang sedang bercakap itu bercakap dengan kuat sedikit dan berulang.
3-Hilang pendengaran tahap teruk.
-Pada tahap teruk ini, orang yang sedang bercakap itu seperti sudah mereka sedang bercakap dengan orang yang mengalami masalah pendengaran. Orang yang bercakap ini perlu berada lebih dekat dan menepuk bahu mereka yang mengalami masalah pendengaran dan kemudiannya baru bercakap di hadapan mereka. Kalau perbualan itu berlaku di tempat bising, pada tahap teruk ini pendengaran itu memang amat terjejas sebab bunyi bising itu menganggu si pendengar untuk menangkap apa yang diucapkan oleh mereka yang bercakap. Kategori teruk ini mula bergantung pada si pendengar perlu membaca gerak bibir.
4-Hilang pendengaran tahap sangat teruk.
-Mereka yang berada pada tahap teruk ini 100 peratus bergantung pada bacaan gerak bibir.
Bagaimana untuk mengesan diri mengalami masalah hilang pendengaran?
Setiap individu perlu melakukan ujian mengesan tahap pendengaran yang dilakukan oleh Audiologist. Audiologist adalah pengamal perubatan profesional yang boleh mendiagnos masalah hilang pendengaran dan mereka yang layak untuk memberi nasihat dalam memilih alat bantuan pendengaran yang bersesuaian.
Ujian tertentu akan dilakukan lebih lanjut untuk mengesahkan punca-punca masalah kurang dan hilang pendengaran. Setelah ujian mengesan tahap pendengaran dilakukan, audiologist akan menerangkan keputusan yang telah didapati dan menyediakan panduan terhadap penyelesaian terbaik dalam situasi yang sedang dihadapi.