Melalui fasa perceraian sebelum ini, siapa sangka jodoh akan kembali mengetuk pintu hati penyanyi era 80-an, Suliza Salam. Penyanyi yang juga merupakan ibu kepada Ismail Izzani ini menemui sinar bahagia dalam perkahwinan keduanya. Suliza Salam selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Ismail A Ahmad pada Disember lalu.
Baru-baru ini, pasangan ini diraikan dalam sebuah majlis resepsi secara tertutup yang dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai terdekat kedua belah pihak.
Menurut Suliza, setelah lebih lima tahun mengenali suami, hubungan mereka berubah daripada persahabatan kepada ikatan yang lebih mendalam.
“Bercerai bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dalam setiap kesedihan pasti ada hikmahnya. Kak Su mula rapat setelah melalui fasa perpisahan.
Keprihatinan dan kesungguhannya untuk sentiasa berada di sisinya, bukan hanya untuk diri kak Su tetapi juga untuk anak-anak dan cucu-cucu, benar-benar menyentuh hati. Malah kematangan dan keyakinan dia juga berjaya meyakinkan Kak Su. Usia bukan ukuran yang penting kesanggupan diri untuk memikul tanggungjawab”ujar Suliza berkongsi momen bersama Mingguan Wanita.
Tambahnya lagi, cinta tidak terhad pada angka tetapi lebih kepada keserasian, kepercayaan, dan keikhlasan dalam memikul tanggungjawab.
“Kadang-kadang kita terlalu memikirkan apa orang kata, sedangkan bahagia itu adalah hak kita sendiri. Tuhan sudah menentukan jodoh, tugas kita adalah menerima dan menghargainya,” ujar Suliza lagi.
Namun, sesuatu yang membuatkan kisah ini lebih manis adalah dorongan anak sendiri, Ismail Izzani yang mahu mama tersayang hidup gembira.
“Dalam nada berseloroh tetapi penuh makna, Ismail berkata, “mama boleh nikah, tapi hanya dengan dia,” kerana dia sudah lama mengenali dan mempercayainya. Kata-kata itu bukan sekadar gurauan, malah menjadi pemangkin kepada restu keluarga yang semakin kuat menyokong penyatuan kami,”ujar Suliza Salam lagi.
“Kadang-kadang kita terlalu memikirkan pandangan orang lain, sedangkan yang paling penting adalah ketenangan dan kebahagiaan diri sendiri. Allah yang tentukan jodoh kita, bukan manusia,” kata Suliza penuh syukur.
Keikhlasan dan keyakinan dalam membina rumah tangga bersama telah memberikan Suliza kekuatan untuk melangkah ke fasa kehidupan yang baharu. Perkahwinan ini bukan sekadar satu ikatan, tetapi juga satu janji untuk sama-sama menjaga dan menyayangi hingga ke akhir hayat.
Baru-baru ini, pasangan ini diraikan dalam majlis resepsi yang diadakan dalam suasana penuh kekeluargaan. Suliza anggun mengenakan dress merah jambu di samping suami tersayang.
Walaupun pada awalnya Suliza lebih selesa dengan majlis yang tertutup, atas permintaan anak-anak dan keluarga, mereka mempunyai pandangan berbeza. Pasangan ini diraikan dalam suasana penuh kegembiraan.
“Melihat senyuman orang tersayang pada hari bahagia membuatkan Kak Su semakin yakin bahawa inilah keputusan yang terbaik dalam hidup.
“Bila kita ditemani orang yang betul, tiada alasan untuk menolak kebahagiaan. Semuanya selesai dengan baik, dan yang paling penting, kami mendapat restu daripada semua yang kami sayangi. Syukur, Alhamdulillah,” ujar Suliza dengan nada penuh emosi.
Semoga rumah tangga yang baru dibina ini terus dirahmati, penuh dengan kasih sayang, kepercayaan, dan kebahagiaan. Sesungguhnya, jodoh adalah rahsia Tuhan yang terindah!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE