Ashraf Sinclair Meninggal Dunia Usia 40 Tahun Akibat Serangan Jantung!

Share

Penyakit jantung ternyata ‘pembunuh’ paling senyap yang tidak dijangka bila boleh berlaku serangannya. Terbaru, Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair atau lebih dikenali sebagai Ashraf Sinclair dilaporkan telah meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Menurut portal berita Indonesia Kompas.com, berita pemergian suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL disahkan Doddy yang juga pengurus BCL.

“Betul (meninggal dunia). Serangan jantung. Pagi tadi,” kata Doddy menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita.

Difahamkan Ashraf menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 pagi tadi.

Suami Bunga Citra Lestari

Ashraf dilahirkan di London pada 18 September 1979. Abang kepada model jelita Aishah Sinclair itu mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada 2005.

Ashraf kemudian berkahwin dengan Bunga Citra Lestari pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Ashraf meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

Sementara itu di Instagram pelakon ini, ramai rakan artis Malaysia dan Indonesia yang turut berduka dan mengucapkan salam takziah. Antaranya seperti Neelofa, Nora Danish, Luna Maya, Aeril Zafrel, Laudya Cynthia Bella, Yasmin Hani, Hunny Madu, Baim Wong dan sebagainya.

MW: Mingguan Wanita mendoakan semoga roh allahyarham Ashraf Daniel Mohamed Sinclair ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Salam takziah buat keluarga, semoga tabah dengan dugaan ini.

Sumber: Kompas.com, Sinar Harian, Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab