Kali ini Mingguan Wanita Talkshow telah memilih topik yang memang ‘pedas’ iaitu Asam Pedas Power. Pasti ramai yang menggemari masakan ini bukan?
Pada tahun 2009, asam pedas telah mendapat pengiktirafan kebangsaan sebagai antara masakan warisan Malaysia.
Asam pedas ialah sejenis masakan Melayu yang popular di Malaysia. Setiap negeri sememangnya mempunyai cara yang tersendiri dalam masakan asam pedas masing-masing. Namun, yang agak popular seperti ramai orang tahu adalah asam pedas Melaka dan asam pedas Johor.
Dikatakan asam pedas yang sedap adalah asam pedas yang seimbang rasa pedas, masam dan masinnya. Walau bagaimanapun negeri-negeri lain juga ada cara memasak asam pedas mereka yang tersendiri. Ada yang pekat kuahnya dan ada pula yang cair. Antara rempah ratus yang perlu ada seperti serai, asam asam jawa, daun limau purut, cili kering dan sebagainya.
Asam pedas boleh dimasak menggunakan daging, ikan, ayam, seafood dan sebagainya. Terpulang pada selera masing-masing. Dikongsikan tiga jenis asam pedas untuk anda cuba sendiri di rumah.
Asam Pedas Telur Masin
Bahan-bahan:
2 biji telur masin
1 sudu teh halba
4 sudu makan cili kering – kisar
5 biji bawang merah – kisar
2 ulas bawang putih – kisar
½ inci halia – kisar
½ inci kunyit hidup – kisar
Sedikit air asam jawa
2 tangkai daun kesum
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
1 mangkuk air
Cara Membuat:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan halba dan terus masukkan bahan kisar serta cili kering kisar. Bila cili sudah garing dan pecah minyak, masukkan air dan perahan air asam jawa. Kacau sebati.
2. Bila kuah mendidih, pecahkan telur masin satu persatu ke dalam periuk. Apabila telur sudah keras, masukkan daun kesum. Kacau perlahan untuk menggelakkan telur hancur. Biar ia mereneh dan perasakan dengan garam secukup rasa.
3. Angkat dan sedia dihidangkan.
Asam Pedas Ekor Berempah
Bahan-bahan:
1 kg ekor lembu – rebus hingga empuk
3 sudu makan pes asam jawa
2 sudu makan kerisik
1 sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk lada sulah
5 tangkai daun kesum
2 biji tomato – belah empat
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk menumis
Bahan Kisar:
10 tangkai cili kering
5 biji cili merah
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 batang serai
3cm lengkuas
3cm kunyit hidup
3cm halia
Cara Membuat:
1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan serbuk ketumbar, lada sulah, jintan manis dan jintan putih. Kacau lagi.
3. Seterusnya masukkan ekor yang telah direbus bersama air rebusannya sekali.
4. Seterusnya masukkan air asam jawa, daun kesum, garam dan gula secukup rasa.
5. Biarkan terus mereneh lebih kurang 10 minit atau kuah menjadi pekat.
6. Akhir sekali angkat, dan sedia dihidangkan.
Asam Pedas Tumis Ikan Tenggiri
Bahan-bahan:
2 keping ikan tenggiri
3 sudu makan cili kisar
5 biji bawang merah – kisar halus
4 ulas bawang putih – kisar
2cm halia – kisar
2cm belacan – disangai
2 batang serai – dititik
3 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan – belah dua
2 biji tomato – belah empat
1 cawan air asam jawa
5 batang bendi
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Cara Membuat:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar, belacan dan serai sehingga pecah minyak.
2. Tuang air asam jawa dan air secukupnya. Masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan. Gaul rata.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan bendi dan tomato. Biarkan sehingga masak.
4. Perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Apabila kuah kelihatan pecah minyak, angkat dan sedia untuk dinikmati.
Memang menarik topik hari ini. Jangan lupa saksikan episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 8 malam ini. Siti Elizad dan Radin Amir akan membincangkan topik ini bersama-sama tetamu istimewa yang akan memeriah perbincangan di studio MW. Turut Diadakan demo memasak daripada chef terkenal.
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121