Tiada daya upaya kita sebagai manusia untuk menolak segala ketentuan Allah. Diuji dengan kebahagiaan, kesenangan bahkan kesakitan semuanya atas ujian dari Yang Maha Esa.
Kesakitan seorang anak kecil, adik Adam Hadid bin Aniq Ekmal yang menderita kanser Ganglioneuroblastoma tahap 4 cukup meruntun hati. Ganglioneuroblastoma atau lebih mudah disebut kanser saraf yang dideritainya adalah penyakit yang amat jarang terjadi. Ia biasa menyerang kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dan banyak berlaku di luar negara.
Menurut ayahnya, Aniq Ekmal yang Mingguan Wanita hubungi menjelaskan, awal anaknya dikesan mengidap kanser bermula dengan demam sebelum pemeriksaan menggunakan ultrasound mendapati ketumbuhan sebesar 10×11 cm berada di bahagian buah pinggang anaknya.
“Awalnya doktor bertanya kalau anak ada alami cirit-birit. Kata doktor lebih baik buat ultrasound untuk tengok sama ada ususnya tersumbat atau bagaimana. Dari situlah terjumpa ketumbuhan sebesar ini.
“Kemudian doktor maklumkan untuk rawatan sebegini hanya ada di Kuching atau Kuala Lumpur. Beberapa hari selepas terjumpanya ketumbuhan itu, kami yang ketika itu menetap di Bintulu terus mengambil keputusan anak menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, dari ujian dilakukan di dapati ketumbuhan itu adalah kanser ganglioneuroblastoma tahap 4 sekaligus memerlukan jagaan rapi di hospital berkenaan.
“Sebelum terlantar sakit, Adam seorang yang sangat lincah, suka bermain bola, bergelak ketawa, kuat tenaga tapi dengan penyakit ini membuatkan dirinya terlantar seperti hari ini bermula dari akhir Februari 2022.
“Buat masa ini, anak saya sudah menjalani pembedahan membuat ketulan tersebut. Sebelah dari buah pinggangnya juga tidak dapat diselamatkan kerana sudah dijangkiti dan sudah dibuang ketika pembedahan kali pertama itu. Anak saya juga sudah melalui kemoterapi sebanyak lapan kali. Sekarang selain pemeriksaan darah hampir setiap hari, Adam juga perlu menunggu giliran untuk menjalani pemindahan sum sum tulang.
“Kalau bagi kes kanser seperti leukimia, kita boleh ambil dari adik beradik tapi bagi kanser saraf ini, sum-sum itu perlu diambil dari tulangnya sendiri. Dari penerangan doktor, prosesnya agak sukar kerana mereka perlu biakkan sum-sumnya terlebih dahulu sebelum memecahkan yang lama dan gantikan dengan sum-sum baru ini. Kalau dah buat semua itu, barulah rawatan penting iaitu immunotherapy (qarziba) yang mana ubatannya berharga RM500,000 digunakan untuk rawatan kansernya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Adam orang ketiga guna ubat ini
Jelas Aniq, ubatan yang diimport dari luar negara ini bukan sudah lama digunakan dalam negara sebaliknya Adam adalah individu ketiga percubaannya.
“Kes kanser saraf ini memang agak luar biasa dan jarang ditemui. Jadi ubatannya juga berbeza, tidak seperti rawatan kanser lain. Kos ubat saja cecah RM500,000 tidak termasuk rawatan lain. Alhamdulillah dengan bantuan orang ramai, syarikat tempat saya kerja, keluarga yang besar dalam tempoh 5 hari kos sumbangan yang diperoleh berjaya dikumpulkan untuk rawatannya pada November akan datang.
“Tidaklah dapat sampai RM500,000 tapi buat masa ini ia sudah mencukupi buat anak saya. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan hanya Allah yang mampu membalasnya. Kanser bukan kos yang murah dan pastinya akan ada lagi rawatan diperlukan dari masa ke semasa,” katanya memaklumkan dirinya mempunya dua orang cahayamata.
Bagi yang mahu menyumbang untuk rawatan adik Adam Hadid, boleh salurkan ke akaun maybanknya, Aniq Ekmal Bin Dolfatah di 154017525360 (Maybank). Moga setiap ganjaran kita lakukan untuk meringankan bebanan mereka yang diuji diberikan ganjaran syurga dari Allah taala. Masa yang sama, doakan agar adik Adam Hadid kuat melalui ujian ini pada usia sekecilnya. Moga Allah mengangkat semua kesakitannya dan ganti dengan kesembuhan.