Arwah sering bercakap soal kematian, pesan jangan lengahkan solat. Kemalangan yang meragut nyawa enam sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini, petang semalam sangat menyayat hati.
Dalam nahas tersebut, Ustaz Amiruddin bersama isteri dan empat anaknya meninggal dunia di tempat kejadian. Dalam pada itu, sebelum nahas ini terjadi, Ustaz Amiruddin yang juga lulusan agama dari Mesir pernah bertugas sebagai imam di Masjid Parit Jawa sering bercakap soal kematian dua minggu sebelum tragedi ini terjadi.
Memetik laporan Harian Metro, hal ini dikongsikan oleh rakan karib arwah, Mohd Noor Hamizi, 39.
“Sejak dua minggu lalu, arwah semakin kerap bercakap mengenai kematian, pahala dosa dan hari pembalasan. Dia sering menasihatkan saya supaya tidak leka hal duniawi dan jangan lengahkan solat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Noor mengakui tidak menyangka kata-kata dan nasihat arwah yang juga Imam Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang kepadanya dan rakan lain, petanda sahabatnya itu akan pergi buat selama-lamanya.
“Dia sering ceritakan hal dunia yang sementara, pelbagai perkara pelik (mungkar) berlaku tanpa mengira dosa dalam kehidupan harian sejak kebelakangan ini.
“Sebagai rakan dan menganggap arwah seperti abang kandung, saya akur atas segala nasihat arwah agar bersabar dan jangan bertindak di luar batasan, tetapi saya tidak sangka kekerapan nasihat arwah itu petanda pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, pagi tadi.
Dalam nahas yang terjadi semalam, siasatan awal pihak polis memaklumkan kemalangan terjadi apabila sebuah Honda HR-V sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat telah memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan raya.
“Tiba-tiba sebuah treler yang membawa muatan pasir yang sedang bergerak dari arah yang sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HR-V terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.
“Honda HR-V terbabit yang dilanggar lori pasir berkenaan dan ia turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa tersebut,” kata kata Ketua Polis Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah.
Menurut Ahmad Zamry, lima kenderaan terlibat adalah sebuah Honda HR-V, Perodua Alza, Proton Wira, Perodua Bezza dan sebuah treler jenis Mercedes.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :-“Rasa Ralat Sangat..” Baru Seminggu Kahwin, Suami Maut Nahas Langgar Jalan Lubang
Suami Isteri Maut, Kereta Terbabas Dalam Perjalanan Hantar Barang Anak Masuk Kolej Matrikulasi
‘Baru Tiga Hari Bernikah..’ Suami Redha Pemergian Isteri Dalam Nahas 7 Kenderaan
Nahas 5 Sahabat Rentung Disahkan Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.