Ajal maut ketentuan tuhan.Dalam masa Ramadan berbaki lebih kurang seminggu lagi, keluarga Anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang, Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, diuji kehilangan anak tersayang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jenderam/Salak, Sepang semalam.Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan pada 8.20 pagi itu membabitkan Proton Iswara dan Proton Saga yang kedua-duanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
Wan Kamarul berkata, anggota APM yang maut ialah penumpang Proton Iswara, Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, dari Sungai Pelek, Selangor yang meninggal dunia di tempat kejadian.Beliau berkata, pemandu Proton Iswara yang juga anggota APM, Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dan pemandu Proton Saga, seorang wanita yang memandu secara bersendirian masing-masing mengalami cedera ringan.
Katanya, ketika kejadian kereta yang dinaiki dua anggota APM itu hilang kawalan di kawasan jalan berselekoh menyebabkan terbabas dan memasuki lorong bertentangan.
“Ketika kejadian permukaan jalan basah dan rata di selekoh berbukit. Pemandu Proton Saga yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan menyebabkan pelanggaran.
“Pihak paramedik yang datang ke tempat kejadian mengesahkan kematian anggota APM berkenaan, manakala anggota APM dan pemandu Proton Saga yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.
Difahamkan, dua anggota APM dalam perjalanan ke tempat kerja manakala pemandu Proton Saga menghala pulang ke rumah selepas menziarah saudara.
Sementara itu, menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin, arwah pernah menyerahkan kad undangan perkahwinan kepadanya namun majlis terpaksa ditangguh.
“Arwah Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, sempat menyerahkan kad undangan majlis perkahwinannya kepada saya awal Mac lalu. Namun majlis itu terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan kerajaan,”
katanya.Menurutnya, walaupun majlis perkahwinan sepatutnya diadakan 28 Mac lalu terpaksa ditunda namun Nurul Ain langsung tidak menunjukkan riak kecewa.
“Malah, dia komited dengan tugas sebagai anggota APM dan pasukan barisan hadapan sepanjang pandemik Covid-19.
“Mangsa berasal dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Dengkil, begitu menitikberatkan tugas diamanahkan hingga sanggup melupakan seketika impian menaiki jenjang pelamin” katanya.
Menurutnya, kemalangan maut meragut nyawa Prebet (PA) Nurul Ain dalam nahas jalan raya di Jalan Jenderam/Salak, Sepang jam 7.50 pagi semalam amat mengejutkan ramai pihak.
Difahamkan mangsa bersama rakan Pbt (PA) Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dalam perjalanan memulakan penugasan di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sepang.
Azli berkata, Nurul Ain dianggap anggota APM yang memiliki semangat luar biasa berikutan dia tidak pernah mengambil cuti sejak mula bertugas pada 2013.
“Jika ada masalah, dia pandai sembunyikan dari ketua dan hanya berkongsi dengan rakan yang rapat. Dia akan tetap kelihatan ceria sepanjang masa.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Jumaat lalu. Saya sempat meminta bantuannya memasukkan gambar program kami ke dalam laman sosial Facebook,” katanya.
Dia berkata, kebiasaannya Nurul Ain memulakan tugas jam 8 pagi hingga jam 4 petang membabitkan pelbagai penugasan dan panggilan kecemasan.
“Sebelum ini dia pernah terbabit dengan operasi menyelamat mangsa lemas di Pantai Bagan Lalang, Sepang dan banjir besar. Banyak jasa disumbangkan,” katanya.
Menurutnya, Nurul Ain yang juga anak bongsu daripada tiga beradik turut dikagumi kerana kecekapannya memasak di APM.
Difahamkan sehingga petang semalam, jenazah mangsa masih berada di bilik mayat Hospital Serdang, berikutan proses bedah siasat hanya akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 dilakukan terlebih dahulu.
Baca Lagi Di Sini: Tangguh Kahwin Demi Rawat Pesakit, Doktor Meninggal Akibat COVID-19
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Pergi dalam bulan yang mulia ketika dalam perjalanan memulakan tugas, semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.
Sumber: Hmetro