“Arwah lambang kasih sayang pertama saya.” Jelas ibu Zulfarhan alami katarak yang serius akibat kerap menangis setelah pemergian anak sulungnya.
Pilunya bila membayangkan apa yang dilalui oleh ibu dan keluarga allahyarham Zulfarhan ini. Kehilangan anak yang menjadi harapan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi cara pemergiannya cukup menyayat hati, semoga keluarga ini kuat!
Arwah Lambang Kasih Sayang Pertama Saya
Ibu kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman, 58, dilihat menangis teresak-esak ketika membacakan kenyataan impak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.
Hawa sebelum itu dilihat beberapa kali menahan sebak dan berhenti menangis sebelum meneruskan bacaan kenyataan impaknya.
“Arwah anak sulung yang mana sepatutnya jika masih hidup, beliau yang akan membantu keluarga dengan membiayai adik lain menyambung pelajaran di universiti kerana suami saya telah bersara dan kini menyara hidup dengan memandu teksi manakala saya hanya kerani di sebuah sekolah menengah.
“Kehilangan arwah beri kesan kepada saya dan suami kerana kami menanam impian arwah akan menjaga kami ketika usia tua.
“Saya juga mengalami kesedihan berpanjangan apabila nama arwah disebut. Arwah adalah lambang kasih sayang pertama saya dan suami dalam membina rumah tangga,” katanya.
Ibu Zulfarhan Alami Katarak Serius Akibat Kerap Menangis
Menurutnya, kejadian menimpa anaknya empat tahun lalu itu menyebabkannya mengalami trauma, katarak serius dan penyakit darah tinggi.
“Saya mengalami katarak serius akibat kerap menangis yang melampau serta mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam.
“Kejadian ini menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak-anak sendirian menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegini akan berulang kembali.
“Kejadian ini memori perit untuk saya terima kerana arwah anak yang menceriakan suasana rumah dan mesra dengan ahli keluarga lain.
“Walaupun pemergiannya hampir empat tahun, saya rasakan seperti baru semalam terjadi,” katanya.
Membantah Hukuman Ringan
Dalam kenyataan impaknya itu, Hawa berkata, dia sekeluarga membantah hukuman ringan dicadangkan untuk tertuduh.
Ads
“Saya mahukan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang menyebabkan saya kehilangan insan yang amat bermakna dalam hidup saya dan hukuman ini menjadi contoh kepada masyarakat yang lain supaya lebih berhati hati-hati dalam bertindak.
“Hukuman ini diharap dapat membuka mata dan minda masyarakat supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa lain dan merasai keperitan kehilangan anak yang disayangi dan merupakan harapan keluarga,” katanya.
Tertuduh Dipenjara 18 Tahun
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan enam tertuduh dipenjara 18 tahun mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana disabit bersalah menyebabkan kematian kepada Zulfarhan tanpa niat.
Keputusan itu diubah hari ini daripada Pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas peguam bela membuktikan tertuduh tiada niat membunuh.
Semua tertuduh kecuali tertuduh kelima, Mohamad Shobirin bersama 12 lagi rakan dihukum penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Semua mereka yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Mingguan Wanita : Budaya buli sebegini tidak boleh dijadikan kebiasaan kerana mangsa buli tidak kiralah buli fizikal atau mental akan mengalami trauma berpanjangan. Mak , ayah perlu terapkan kepada anak-anak sejak kecil agar menjauhi perbuatan buli kerana kesannya amat besar terhadap orang lain.
Anda sebagai isteri tentu rasa sangat bahagia jika suami sentiasa di depan mata dan anak-anak yang baik. Namun bayangkan jika anda dikelilingi orang yang murung. Besar kemungkinan anda juga terpalit dengan rasa kemurungan itu.Lebih-lebih lagi jika suami, orang yang paling rapat dengan diri anda sendiri yang mengalami kemurungan. Sebagai isteri, anda perlu main peranan dalam memberikan sokongan emosi buat suami menangani kemurungan itu.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Masalah
Suami yang ada masalah di tempat kerja, dihimpit hal kewangan atau masalah hubungan dengan anda sangat terdedah kepada kemurungan ini. Keadaan ini adalah benar kerana kira-kira satu pertiga penduduk di negara ini mengalami penyakit kemurungan seumur hidup. Ini berdasarkan statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2015. Dengan cabaran peningkatan kos hidup hari ini pasti situasi kemurungan ini semakin mencengkam.
Anda mungkin tidak terkesan dengan keadaan ini jika suami sentiasa senyum semasa di rumah. Tetapi bagaimana jika sebaliknya? Dua hari lepas, dia balik dalam keadaan macam naga. Anak-anak yang tidak tahu apa-apa, semua ditengkingnya dengan kata-kata berapi. Semalam dia senyap dan banyak termenung. Puas anda bertanya tetapi dia kata ‘tidak ada apa-apa!’. Malam tadi dia mengigau sehingga bertempik-tempik. Semua itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Sekarang izinkan saya bertanya. Apa yang perlu lakukan sekarang?
Faham
Pertama sekali anda tidak boleh bertindak balas tanpa faham situasi suami. Ya, anda rasa dia menengking tanpa sebab. Anda betul tetapi kena segera beristighfar dan berundur. Anda tahu bahawa itu bukan sifat suami anda yang sebenar. Salurkan apa juga ayat-ayat kasar yang dia hembus ke telinga kanan terus keluar ke telinga kiri. Jangan benarkan tengkingan itu melencong masuk ke dalam hati. Saya pasti Allah akan memberikan pahala mudah yang melimpah ruah apabila anda sebagai isteri mengamalkan tip pertama ini.
Emosi Kena Teguh
Untuk berada di samping suami yang kemurungan, emosi isteri perlu teguh dan kuat. Anda tidak tahu selama mana keadaan itu akan berlaku tetapi yang pasti emosi anda perlu bertahan selama kemurungan itu berterusan. Semua itu bukan mudah tetapi juga bukan mustahil. Seperti menakung ‘air tempayan’ maka air itu perlu dilepaskan keluar. Kalau tidak nanti jadi tempat nyamuk membiak. Bagaimana untuk melepaskan tenaga negatif itu?
Cara terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh. Apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh maka sesuatu yang ajaib berlaku. Tubuh secara semula jadi mengeluarkan hormon dopamine, endorphin dan serotonin. Anda tidak perlu ingat nama hormon-hormon ini tetapi cukup mengetahui inilah hormon yang mendatangkan rasa lega dan gembira. Maka bila suami tidak ada maka bersenam dan kemaskanlah rumah. Pasti anda rasa lega dan sedia untuk satu pusingan lagi.
Diri Sendiri
Siapa atau apakah yang menjadi cabaran terbesar anda dalam menghadapi suami yang kemurungan? Bukan suami tetapi sebenarnya ialah diri sendiri. Apabila dalam kesedihan kita cenderung membandingkan diri dengan orang lain yang kelihatan ceria. Secara tidak sedar kita mula menghitung kesusahan yang pernah dilalui.
Yang peliknya kita hanya menghitung hal-hal yang tidak elok saja. Adakah selama hidup ini tidak ada rahmat Allah yang kita nikmati?. Oleh itu elakkan daripada membandingkan diri kita dengan orang lain yang dirasakan lebih hebat.
Jika cabaran kemurungan suami ini menjadi cabaran, pasti ada orang lain menghadapi cabaran hidup yang sepuluh kali lebih getir. Sebab itu kita perlukan agama untuk faham erti reda dalam hidup. Apa juga cabaran yang sedang dihadapi pasti bukan satu yang sia-sia. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik untuk anda kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ini bukan mengharapkan anak lelaki buat kerja-kerja rumah dan memasak sepanjang hidupnya, tetapi menjadikan dia manusia yang serba boleh. Dia boleh menukar tayar, boleh memanggang daging, mencuci pakaian, memotong rumput di halaman rumah dan sebagainya.
Nak tahu cara mudah nak mendidik anak lelaki biasa dengan semua kerja rumah ini macam mana? Semak perkongsian daripada doktor Taufiq Razif ini…
Biasakan Anak Lelaki Buat Kerja Rumah
Saya pernah tengok ada anak lelaki jadikan mak dia hamba. Daripada buang sampah sampai la basuh mangkuk jamban pun maknya yang terpaksa buat.
Selidik punya selidik rupanya si emak terlampau manjakan si anak lelaki!
Niat dah baik tapi caranya tu salah. Anak mungkin berhak jadi raja hanya ketika umurnya di bawah 2 tahun tapi bukannya sampai umur 20 tahun!
Tanpa sedar kasih sayang tadi menjadi ‘delicious poison’ yang membunuh kepimpinan dalam diri si anak tadi.
Sebab tu la :
+ jangan takut bagi anak lelaki cuci pinggan
+ kena berani suruh anak lelaki buang sampah
+ kena tegas suruh anak buat kerja mengemas
+ kena biasakan anak lelaki memasak
+ kena ajar anak yang kerja rumah bukannya kerja orang perempuan semata
Ini semua adalah persediaan hidup untuk menjadikan anak seorang pemimpin. Pemimpin adalah orang yang memahami dan tahu keperluan orang yang di bawah tanggungjawabnya suatu hari nanti.
Taufiq Razif
Bapa yang percaya anak takkan bertukar pondan hanya kerana pandai memasak dan mengemas rumah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Benarlah hati manusia adalah milik Allah. Sekali Allah balikkan hati seseorang, tidak mampu kita mengubahnya. Zuhail sendiri tidak menyangka dirinya dapat bertemu semula kekasih pertamanya ketika kursus di Melaka hujung tahun. Hanya sekadar bertukar-tukar nombor telefon, akhirnya membibitkan kemesraan.
Zuhail seorang bapa kepada empat orang anak. Dirinya dan isteri, Misya telah mendirikan rumah tangga hampir sepuluh tahun. Berkahwin atas aturan keluarga membuatkan perasaan cinta antara Zuhail dan Misya kurang mendalam. Tetapi ianya bukanlah alasan buat Zuhail melupakan tangungjawabnya.
Biar pun hubungan mereka agak dingin, tetapi isterinya tidak pernah berkecil hati, malah sentiasa berusaha memenangi hati tercinta. Hingga ke satu saat Zuhail terpaksa mengalah dan cuba belajar menyanyangi isterinya, tetapi perasaan itu seakan-akan tidak ikhlas.
Sebenarnya perasaan kasihan melebihi rasa sayang pada Misya. Namun begitu, perkara itu tidak pernah Zuhail ungkapkan. Setiap kali Zuhail melihat pengorbanan Misya yang melahirkan anak-anaknya, membesarkan anak-anak serta menguruskan keperluan dan anak-anak membuatkan Zuhail rasa bersalah.
Zuhail juga manusia biasa, kesempatan bertemu kekasih lamanya, Nadia seolah-olah memberi harapan baru untuknya merasai rasa cinta yang sebenar. Nadia masih seperti dahulu, cantik, bekerjaya dan amat memahami setiap kemahuan Zuhail.
Menyemai Cinta Lama
Dalam diam, Zuhail dan Nadia menyulam cinta yang terlarang. Zuhail yang hanyut dek asmara tidak mengetahui bahawa Nadia sebenarnya masih lagi sah bergelar isteri orang. Zuhail seakan-akan hilang arah hingga tidak mampu membezakan intan dan permata.
Di rumah Zuhail semakin dingin dengan Misya, anak-anak juga tidak diendahkannya. Zuhail kerap menghabiskan masa dengan telefon daripada bercakap dengan Misya atau pun anak-anak. Hilang gurau senda dan bila Zuhail bersuara, pasti tinggi suaranya.
Pernah sekali ibu Misya tenat, Zuhail langsung tidak ambil peduli. Malah di suruh anak dan isterinya pulang ke kampung sendiri. Disebabkan sukar menguruskan anak-anak sendirian menaiki bas, Misya pendamkan hasrat hatinya biar pun perasaannya tidak keruan.
Paling syahdu apabila Misya mendapat panggilan bahawa ibunya telah pergi buat selamanya. Misya langsung meminta pertolongan rakan baiknya untuk membawa dirinya dan anak-anak pulang ke kampung. Kali ini Misya tekad untuk tinggalkan Zuhail. Dirinya tak ubah seperti sampah diperlakukan Zuhail.
Kenyataan Yang Pahit
Zuhail yang langsung tidak mempedulikan tentang isterinya keliru apabila pulang ke rumah, rumah seakan sepi. Tetapi perkara ini langsung tidak berbekas di hatinya, malah dia makin galak untuk bertemu Nadia. Terasa hidupnya bebas kini tanpa isteri dan anak-anak.
Sedang asyik menikmati hidangan makan malam di restoren, Zuhail tiba-tiba ditumbuk oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah suami kepada Nadia. Zuhail amat kecewa dan rasa tertipu. Selama ini Nadia mengakui dirinya telah bercerai.
Zuhail yang patah hati mencuba nasib untuk memujuk Misya, tetapi Misya langsung tidak memberi peluang kepadanya. Misya benar-benar terluka dengan tindakan Zuhail yang mengabaikan dirinya dan anak-anak. Lebih melukakan hati Misya apabila suaminya langsung tidak muncul di hari pengebumian ibunya.
Benarlah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Selama ini Zuhail mengejar kaca, rupanya permata yang berada disampingnya tidak pernah dihargai.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!