Kehilangan insan yang tersayang dalam sekelip mata pasti akan memberi kesan yang mendalam kepada seseorang. Bagi yang pernah melaluinya ia diibaratkan seperti kaca yang terhempas ke batu, berat dan menyakitkan. Ada pula mengandaikan dunia menjadi gelap-gelita lantaran tidak mampu menanggung kesedihan.
Walaupun pelbagai cara dilakukan bagi meredakan kesedihan ini, namun ia sesuatu yang sukar dan mengambil masa. Mungkin sebulan, tiga bulan, enam bulan atau bertahun-tahun lamanya. Hiburan terbaik kala sedih dan terluka akibat kehilangan mereka yang dicintai adalah dengan meningkatkan keimanan kepada Allah.
Sebagai seorang bapa Kamaruddin, reda dengan pemergian anak bongsu lelaki, Allahyarham Muhammad Izzat Faqih, 25 yang bertemu ajal ketika sedang bermain badminton di sebuah gelanggang dekat Salor, Kota Bharu pada 9 September lalu.
Arwah yang merupakan seorang jurugambar dikatakan rebah secara tiba-tiba ketika sedang bermain badminton bersama rakan-rakannya.
Menurut abang arwah Muhammad Izzat Faqih, Nasir Nasir Kamaruddin, 28, sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu dia dan keluarga terus bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan arwah.
“Sejurus sahaja kami sampai pihak perubatan mengesahkan adik sunggah meninggal dunia,” katanya seperti mana dipetik dari akhbar Sinar Harian.
Katanya lagi, semasa Muhammad Izzat Faqih rebah, rakan-rakan sepermainan sempat melakukan bantuan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR). Hasil bantuan itu arwah sedar seketika dan sempat mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Nasir berkata, arwah adiknya yang merupakan lulusan Syariah dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu memang aktif dalam sukan futsal, badminton dan mendaki.
“Saya sempat berbual dengan arwah sebelum dia keluar bermain badminton tetapi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,” ungkapnya yang turut memberitahu jenazah Muhammad Izzat Faqih dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasar.
Anak Yang Baik – Cikgu Kamaruddin
Selepas lebih dua bulan pemergiaan arwah, penulis sempat menghubungi bapanya dan ternyata Kamaruddin atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Kamaruddin menerangkan mereka masih bersedih dengan pemergiaan arwah namun menerima segala suratan dengan reda.
“Arwah merupakan seorang yang baik dan tidak menunjukkan sebarang kelainan. Dia seorang yang aktif bersukan dan suka ambil gambar perkahwinan. Pada awalnya memang terkejut dengan pemergiannya namun itu semua kerja Allah dan setiap yang hidup pasti akan pergi.
“Memang sedih dan masih terasa ketiadaan arwah. Malah kadang-kadang tu terbayang-bayang kelibat arwah. Memandangkan ini pertama kali kami kehilangan anak sebaknya hanya Allah saja yang tahu.
“Arwah juga baru lepas konvo bulan januari lalu di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias). Malah setiap hari jumaat iaitu selepas solat Jumaat saya akan buat bacaan tahlil untuk arwah. Arwah seorang anak yang sangat manja dengan ibunya. Dia lain sikit setiap kali keluar rumah akan cium pipi ibu dan seorang anak yang sangat menghormati orang tua,” ungkap Cikgu Kamaruddin yang akui sifat manja arwah membuatkan kehilangannya amat dirasai.
Memandangkan arwah meninggal sewaktu sedang bersukan, ditanya adakah dia fobia untuk membenaran anak-anak yang lain bergiat aktif dalam aktiti kecergasan, Cikgu Kamaruddin sentiasa memberi ingatan kepada anak-anaknya.
“Memang anak-anak lelaki saya jenis yang minat bersukan. Setakat ini tak fobia. Cuma saya ingatkan anak-anak sebelum bersukan, pastikan badan sihat dan jangan terlalu paksa diri jika terlalu letih,” ungkap Cikgu Kamaruddin.
Sebagai seorang bapa, penulis juga bertanya apakah antara doa yang sering diungkapkan buat arwah.
“Saya sentiasa mendoakan agar roh arwah dirahmati Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh,” bicara Cikgu Kamaruddin.
“Tertunggu-Tunggu Muhammad Izzat Faqih Pulang Ke Rumah” Ibu
Sewaktu berbicara dengan Cikgu Kamaruddin, dia menasihati penulis agar menemubual isterinya. Ini kerana isterinya, Hasnah Mamat, merupakan insan yang sangat rapat dengan arwah Muhammad Izzat Faqih.
Sewaktu menemubual Hasnah suara ibu ini kedengaran serak dan jelas sekali dia begitu sebak apabila suaranya bergetar.
“Saya memang rapat dengan arwah. Sebelum melangkah keluar rumah dia akan salam tangan dan kucup pipi saya. Dia manja sangat maklumlah anak lelaki bongsu. Dia memang duduk rumah walaupun melanjutkan menyambung pelajaran sebabnya tempat dia belajar berdekatan dengan tempat tinggal kami.
“Pada awalnya memang tak boleh terima, maklumlah pagi tu dia keluar ke Kota Bharu kemudian tengahari berada di rumah dan sempat memetik rambutan bersama sepupu-sepupunya yang baru tiba dari Kuala Lumpur.
“Kemudian dia keluar bermain badminton dan terus pergi untuk selama-lamanya. Arwah jenis yang selalu balik ke rumah dan saya sehingga sekarang masih tertunggu-tunggu kepulangannya. Tapi sekarang ini saya reda dengan pemergiannya,” jelas Hasnah.
Ditanya adakah arwah Muhammad Izzat Faqih menunjukkan sikap yang aneh sebelum pemergiannya, ibu kepada lapan orang anak ini menerangkan arwah sememangnya seorang yang suka berhias.
“Dia ada minta saya catkan biliknya warna putih. Dia jenis yang suka warna putih sehinggakan alas meja semuanya putih. Maklumlah dia jurugambar dan seorang yang suka pada seni. Dia juga jenis yang suka berhias.
“Saya tak sempat tunaikan kehendak dia. Tak sangka rupa-rupanya permintaan itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” ujar Hasnah.
Penulis juga sempat bertanya apakah kenangan paling manis sepanjang hayat arwah. Hasnah menerangkan arwah seorang anak yang baik dan taat pada agama.
“Dia jenis yang suka berpuasa. Malah pada bulan Ramadan pula jika saya tidak ke masjid, dia akan imamkan solat tarawih dan kami solat bersama di rumah. Arwah jika anak yang bijak sewaktu darjah tiga dia sudah menjadi pengawas sekolah. Dan dia juga pernah menjadi editor sebuah majalah,” akhiri Hasnah yang akui arwah merupakan anak yang paling rapat dan dia bersyukur kerana Allah pernah pinjamkan arwah dalam hidupnya.