“Apakan Daya Saya Terpaksa..” Hampir 10 Bulan 5 Beranak Berhimpit Tinggal Dalam Kereta

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Setiap orang diuji dengan pelbagai cara. Ujian kesempitan hidup memaksa 5 beranak ini terpaksa berhimpit dan tinggal di dalam kereta hampir 10 bulan.

“Mana ada bapa sanggup tengok anak tidur dalam kereta, tapi apakan daya, saya terpaksa,” luah bapa tiga anak dikenali Razak yang sudah hampir 10 bulan tinggal di dalam kereta Proton Wira miliknya kerana tiada tempat tinggal.

Kesusahan Razak, 42, bersama isteri dikenali Siti, 39, dan tiga anak mereka yang berumur tiga hingga lapan tahun itu mendapat perhatian warganet susulan perkongsian pengguna Facebook, Edi Arjuna Pencerita.

Perkongsian itu memberi sinar buat Razak sekeluarga apabila ramai tampil untuk membantu.

Ujian Kesempitan Hidup

Menurut Razak, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti memotong rumput dan pemandu van sekolah, namun ujian kesempitan hidup mencegah ketika pandemik Covid-19.

Katanya, sebelum ini mereka pernah tinggal menyewa di Banting, Selangor dan menumpang di rumah keluarga di ibu negara, namun masalah yang berlaku menyebabkan mereka membuat haluan sendirian dan akhirnya tinggal di dalam kereta.

Lebih memeritkan apabila Razak dimasukkan ke Hospital Temerloh hari ini kerana ketumbuhan pada leher yang disedari sebulan lalu, sakit.

“Sepanjang tinggal dalam kereta, saya sudah bawa anak dan isteri bermalam di merata tempat, antaranya sekitar Nilai, Negeri Sembilan, Banting, Selangor dan terbaharu di Lebuhraya Karak, Pahang.

“Kebiasaannya kami tidur di dalam kereta, namun jika ada rezeki lebih, saya bawa anak dan isteri tidur di hotel bajet.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada gangguan atau masalah malah polis peronda juga bantu, memantau keselamatan kami,” katanya.

Jadi Mekanik Jalanan

Demi kelangsungan hidup, Razak kini mengambil upah sebagai mekanik jalanan tanpa meninggalkan anak dan isterinya, namun upah diterima tidak seberapa menyebabkan sukar untuknya menyewa rumah.

“Saya memang nak sewa rumah cuma apabila dapat duit, kena dahulukan beli makanan dan keperluan anak, termasuk susu dan lampin pakai buang.

“Sebelum ini, ada juga simpan duit tetapi kereta rosak hingga saya terduduk… terpaksa keluarkan duit bagi membaiki kereta.

“Pernah juga berniaga jual air tin tetapi modal tak cukup dan kemudian ambil upah bantu mereka yang perlukan pertolongan akibat kereta rosak di tengah jalan,” katanya.

Ketumbuhan Leher

Razak berkata, dia sedih apabila dimasukkan ke wad (hari ini) pada hari ulang tahun keempat anak keduanya dan tidak dapat meraikan bersamanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan dia perlu dibedah bagi membuang ketumbuhan pada leher, berkemungkinan pada Jumaat.

“Saya harap pembedahan berjalan lancar kerana nak keluar bekerja dan cari duit untuk keluarga,” katanya yang memberitahu sudah dihubungi wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kisahnya tular.

Katanya, JKM bertanya di mana dia sekeluarga mahu menetap selepas ini.

“Kalau boleh saya nak duduk di sekitar Karak dan berharap dapat bantuan bayar wang pendahuluan rumah kerana memang tak mampu buat masa ini,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 4747117432 atas nama Siti Azeryna Daud atau menghubungi isteri Razak 014-878 0368.

Mesti Baca:Guru Tinggal Dalam Kereta, Dapat Cek RM111,200 Dari Anak Murid
Baca Lagi Di Sini:Kemiskinan Bukan Alasan Rumah Bersepah, Tanpa Hiasan Mewah Boleh Saja Bersih Berkemas

Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan urusan buat keluarga ini, dilapangkan rezeki dari dihimpit segala kesusahan.

Sumber: Hmetro
Foto: Edi Arjuna Pencerita

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab