Bukan dalam drama Jangan Benci Cintaku saja kes suami curang boleh berlaku tetapi dalam dunia realiti pun sama naik! Lagi teruk sampai ada yang sampai terlanjur, baik dengan isteri orang atau wanita bujang.
Para isteri yang terlibat, ada yang cuba mencari ketenangan dengan membaca pelbagai buku, blog dan laman web untuk merawat hati yang dah hancur luluh, agar mampu bangun dan menghirup udara Allah ini dengan kekuatan baru dan tidak terusan kecundang dalam penderitaan.
Dalam masa yang sama, pelbagai persoalan timbul dalam benak fikiran masing-masing, apakah mahu diteruskan perkahwinan ini? Jika tidak, bagaimana dengan nasib anak-anak?
Sebenarnya jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah SWT. Sekiranya jodoh kita telah tiada, maka jalan ke arah itu amat mudah dan dilorongkannya tanpa banyak onar. Namun jika jodoh masih panjang, maka usaha kita mahu memutuskannya akan dipenuhi dengan pelbagai masalah dan rintangan.
Ada isteri yang berfikir dan mengambil kira nasib anak-anak lalu berniat untuk meneruskan perkahwinan dan mahu menerima kembali suami mereka walau mengetahui kecurangan suami. Namun yang menjadi halangan untuk hidup kembali seperti dahulu adalah emosi yang tercalar dan hati yang dah terluka. Bagaimana mahu merawatnya?
Setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita, Allah SWT telah menjadikan atas sesuatu asbab dan punya hikmah yang tertentu. Tidak ada suatu pun yang dijadikan-Nya dan yang ditakdirkanNya berlaku itu dengan sia-sia dan tanpa perancangan.
Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allahlah yang hebat dan yang pasti berlaku. Kita merancang untuk hidup bahagia, daripada mula bercinta sehingga ke akhir hayat. Namun Allah merancang untuk menjadikan perkahwinan kita sebagai medan ujian untuk melihat sejauh manakah kita mengaku menjadi hamba-Nya.. Namun dosa dan kebaikan yang kita lakukan adalah dengan pilihan kita sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Allah mengizinkan dan Dia yang Maha Mengetahui.
Paling utama untuk semua isteri bagi merawat hati yang terluka di atas tindak tanduk suami adalah memikirkan dahulu dosa sendiri. Jangan fikir dosa suami dan dosa orang lain. Nampakkan ‘peranan’ kita dalam ‘mendorong ‘suami yang berdosa untuk muhasabah diri kita, kenapa Allah SWT uji kita begitu.
Tiada guna kita asyik fikir kenapa suami sampai hati melakukan dosa, tidak takut kah dengan Allah, tidak ingat kah pada anak-anak. tidak sayang kah pada kita dan pelbagai.-bagai lagi. Ini kerana ia bukan penyelesai masalah. Malah makin mengeruhkan suasana dan membuatkan kita semakin menderita sedangkan kita tidak mampu berbuat apa-apa.
Muhasabah diri kita, apa yang tidak beres dalam hubungan dengan suami. Apa yang dia benci tapi kita tetap buat walau telah ditegur atau ada suami yang pendiam tidak bersuara walau tidak berkenan dengan perangai isteri.
Adakah kerana mulut yang kuat berleter dan menjawab?
Adakah kerana muka yang mudah masam dan memuncung?
Adakah kerana lidah yang lincah mengeluarkan kata-kata yang pedih, penuh sinis dan sindiran?
Anggaplah itu kerana kafarah dosa kita sendiri atau sebagai ujian dari Allah untuk menaikkan martabat kita.
Untuk merawat hati yang terluka, kita perlu fokus pada diri kita, dosa kita dan hubungan kita sendiri dengan Allah SWT Tidak boleh sekali-kali kita merasionalkan hati kita bahawa kita perlu fikir tentang dosa dan tindak tanduk suami. Tidak akan terubat hati kita kerana fikirkan dosa suami, hanya akan menarik bisikan syaitan, hawa dan nafsu yang tidak pernah menjanjikan penyelesaian sebaliknya kemusnahan yang besar.
Nampaklah Allah SWT dalam segala hal. Anggaplah ini sebagai kasih sayang Allah SWT agar kita tidak terusan lalai, agar kita tersedar daripada tipu daya dunia yang tak pernah alpa menarik manusia untuk terusan melupakan kehidupan yang sebenar di akhirat nanti.
Insya-Allah, carilah ilmu atau rawatlah diri dari belenggu emosi dan bisikan buruk dalam hati kita. Sesungguhnya dunia ini hanya sementara. Anak dan suami adalah tempat kita berbakti sebagai bekal di akhirat nanti.