Apa Nak Malu, Taraf Kita Memang Hamba..

Lupa itu memang sifat manusia. Sebab itulah kena ada ingat saling mengingat, supaya dapat menyedarkan kembali kita yang seringkali terlupa ini. Kerana kita adalah Hamba Nya, yang bergelar khalifah untuk memakmurkan bumi tuhan.

Ingatan manis yang dikongsikan Puan Norleen Mohid menjentik rasa hati. Ilmu yang diperoleh ketika beliau melayan IKIM ini bagus untuk ingatan hati dan minda.

3 Tanda Kiamat Makin Dekat

Pesan Nabi (selawat), antara tanda-tanda kiamat makin dekat:

1. Masa semakin singkat

2. Amalan berkurangan

3. Pembunuhan semakin banyak berlaku

Sebab Kita Adalah Hamba..

Zaman kita kanak-kanak dulu, rasa puas bermain dengan kawan-kawan tiap-tiap hari. Cuti sekolah pula panjang bukan main.

Mana tidaknya. Masa dirasakan lambat bergerak. Kadang-kadang tertunggu-tunggu, bilalah nak naik sekolah?

Sekarang, kadang-kadang rasa tak terkejar dek hambatan masa. Celik mata, bersiap-siap satu keluarga, sekejap lagi pandang keluar, eh dah cerah langit.

Buat kerja itu ini, tengok jam, eh dah Zohor. Kejap lagi, hah azan Asar dah?

IKLAN

Kalau leka dengan urusan kita, memang besar kemungkinan solat di hujung waktu atau lebih parah, terlepas.

Dulu, setiap pagi emak abah dok kerah anak-anak mengaji selepas solat Subuh.

Solat fardu, tak boleh main-main. Setiap waktu diingatkan. Mesti buat.

Akhlak dan adab anak-anak dengan orang lain, golongan lebih tua terutamanya, sangat dijaga. Diperhati. Tak kena di mata, ditegur. Diperbetul. Tak dibiarkan sampai terlupa atau anak-anak fikir, perlakuannya dibolehkan.

Jangan Tunggu Tua Baru Nak Sedar

Zaman ini, bukan anak-anak saja. Ibu ayah pun ada yang terlepas solat. SuruhanNya dipandang ringan. Tak buat, tak ada rasa bersalah. Puasa pun sama.

IKLAN

Tak apa, dah tua nanti kita bertaubat. Kita qadha mana boleh. Sekarang ni tak sempat. Banyak kerja nak dibuat.

Ini antara alasan gurauan yang keluar. Itu kalau sempat lagi diberi masa. Kalau ditarik nyawa waktu belum mencecah usia tua?

Dulu, payah kita nak baca dan dengar berita kes bunuh di media.

Sekarang, hampir hari-hari singgah di telinga dan mata. Seolah-olah murah sangat nilai nyawa. Puncanya pun bermacam-macam. Yang jelas, hari ini, makin banyak jiwa yang sakit dan tidak dirawat.

Apa yang kita boleh usahakan dalam waktu yang masih berbaki (tak tahu sampai bila), kita mulakan dengan keluarga sendiri.

IKLAN

Jaga solat, buat apa yang disuruhNya, elak apa yang tidak disukaiNya, apa lagi yang dikata JANGAN.

Sambil tu, perhati sama di keliling kita. Saling ingat-mengingat. Tegur menegur.

Cari Peluang Ke Syurga

Betul, kubur sendiri-sendiri, bukan kubur berjemaah. Cuma kalau kita jaga zon keluarga kita saja, yang lain kita pejam mata, dah tak kena cara. Kata nak sama-sama cari peluang ke syurga, nak elak neraka.

Sambil berusaha, tambah lagi dengan doa. Minta sungguh-sungguh bantuanNya. Apa nak malu. Taraf kita memang hamba. Dia Pencipta. Lagi kita minta, lagi Dia suka.

Masa kita tak lama.
Kita hidup tak menongkat langit.
Dunia ini pun dah tua sangat umurnya.
Bila-bila masa saja boleh binasa.

Sumber/Foto : Norleen Mohid

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI